top of page
Search

Lampu Tandas Mati Ketika Mandi

Assalamualaikum KC,


Saya Wind dari Malaysia. Hari ini saya ingin berkongsi kisah seram dengan mengenai asrama lama yang pernah saya diami di Johor yang namanya akan saya rahsiakan. Kejadian ini berlaku semasa saya menuntut di sebuah kolej di sana. Saya dan kawan-kawan saya sebelum ini menyewa di sebuah rumah sewa, namun kami terpaksa keluar dari situ kerana tuan rumah ingin mengambil semula rumah itu. Kami terpaksa mencari rumah baru. Kami telah membuat keputusan untuk tinggal semula di kediaman kolej kerana kesuntukan waktu dan telah membuat rayuan untuk kembali menggunakan kemudahan di kolej untuk menggunakan asrama namun tiada ruang kosong.


Pihak kolej telah memberitahu kami yang mereka mempunyai satu lagi kediaman yang boleh kami gunakan iaitu di sebuah asrama lama yang telah lama tidak digunakan. Di asrama lama itu terdapat sekumpulan pelajar yang tinggal di sana, mungkin mereka juga tidak mempunyai kediaman lain, maklumlah kami semua dalam semester terakhir. Oleh itu, saya dan dua orang kawan saya pun membuat keputusan untuk tinggal di asrama yang diperuntukkan.


Keesokan harinya saya dan kawan-kawan pun pindah ke asrama tersebut yang lokasinya agak jauh dan terpencil. Suasananya agak suram kerana jauh dari kawasan perumahan dan lokasinya berdekatan dengan kilang-kilang. Semasa saya dan kawan-kawan sampai di sana, kami dapat melihat bangunan asrama sangat besar, luas dan mempunyai banyak bilik, membuatkan kami terasa sedikit seram.


Pada satu hari saya ada bertanya pelajar-pelajar di situ jika mereka ada mengalami sebarang gangguan sepanjang berada di sana dan mereka berkata ada. Saya pun menjadi takut bila mereka berkata ada. Salah seorang daripada mereka memberitahu bahawa mereka pernah ternampak sebuah lembaga berdiri di atas bumbung sewaktu mereka sedang lepak lewat malam. Selain itu, mereka juga pernah dengar suara perempuan mengilai di bilik yang saya duduki iaitu bilik yang berada di belakang dan bersebelahan dengan tandas.


Bukan itu saja. Saya juga ada terdengar beberapa cerita mengenai asrama ini melalui pengawal keselamatan yang menjaga kawasan ini. Namun apa yang mengejutkan saya adalah, asrama ini sebenarnya merupakan asrama wanita yang telah lama ditinggalkan. Patutlah saya rasa pelik dengan semua tandas di sini kerana tidak mempunyai cermin, mungkin ada kisah di sebaliknya yang tidak saya ketahui.


Satu malam, saya mengajak kawan-kawan saya menemani saya mandi di tandas kerana pada sebelah petangnya, saya tidak mandi membuatkan saya rasa tidak selesa untuk tidur. Kebiasaannya saya berani untuk mandi seorang diri walaupun tengah malam tetapi pada malam itu saya rasa tidak sedap hati dan rasa lain sekali. Maka sebab itu saya cuba mengajak beberapa kawan saya untuk mandi sekali supaya tidak rasa takut. Malangnya semua tidak mahu kerana dah terlalu lewat malam. Hendak tak hendak terpaksa saya pergi seorang diri.


Sewaktu berjalan menuju ke tandas itu, fikiran saya memikirkan perkara yang bukan-bukan kerana teringatkan kisah-kisah seram yang pernah saya dengar sebelum itu. Sampai saja di situ, keadaan di dalamnya memang sunyi. Tanpa membuang masa, saya pun tanggalkan baju dan mandi, tuala saya gantungkan di atas pintu kerana tiada tempat gantung dan di sini bermulanya kisah seram saya.


Sewaktu saya sedang mandi dan sambil meletakkan sabun pada badan, tiba-tiba lampu tandas itu mati. Saya biarkan saja kerana fikir mungkin sekejap saja dan saya sambung bilas badan. Apa yang saya perhatikan, lampu yang mati tiu hanya mati di bahagian kubikel yang mempunyai paip hujan sahaja kerana saya boleh nampak dari atas bahagian sebelah kubikel yang mempunyai jamban di dalamnya, lampunya hidup.


Apabila saya perasan lampu mati agak lama, saya mula rasa seperti ada yang tidak kena. Apa lagi, saya pun ambil tuala dan mahu bergegas keluar, tetapi semasa saya pegang tuala, lampu terus hidup dengan serta-merta. Saya terus lari keluar dari tandas itu dan semasa saya melangkah keluar dari pintu tandas, saya terus terjatuh dan semua barang mandi saya bersepah.


Sampai sahaja di bilik saya ternampak beberapa orang kawan saya sedang main permainan dan ada yang dah masuk tidur. Dalam hati saya takkan mereka yang main lampu, dengar tapak kaki orang berjalan pun tidak ada. Salah seorang kawan saya menegur saya, "Eh kau dah kenapa berlari?" dan saya terus mengajaknya menemankan saya di bilik air. Dia hairan lalu bertanya kenapa, saya hanya menjawab saya akan ceritkan sebentar nanti dan akhirnya dia menurut kehendak saya.


Setelah siap mandi, saya pun ceritakan apa yang terjadi. Selepas kejadian itu, saya dah tak berani hendak mandi tengah malam, lagi-lagi mandi seorang diri. Mungkin juga tandas itu mempunyai fungsi sensor lampu, tapi agak pelik juga kenapa lampu itu mati ketika saya masih berada di dalam tandas tersebut.


Itu sahaja cerita saya. Terima kasih!

329 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page