top of page
Search

Lelaki Tak Berkepala Di Kawasan Bukit Putus

Salam Sejahtera dan Assalamualaikum KC,

Nama saya Aben dan saya daripada Negeri Sembilan, Malaysia. Saya merupakan peminat setia Malam Seram. Saya ada satu kisah yang mana kisah ini diceritakan oleh makcik saya mengenai kejadian di Bukit Putus, Negeri Sembilan. Berikut adalah kisahnya.

Pada satu hari, makcik saya hendak balik kampung daripada Subang. Untuk pengetahuan semua, untuk kami pulang ke kampung memang akan lalu di kawasan Bukit Putus, tidak boleh tidak. Memang ada satu lagi jalan, tapi akan mengambil masa tambahan sejam untuk ke kampung kami sekiranya kami melaluinya. Makcik saya memandu seorang diri ditemani oleh kucing-kucing beliau. Sampai di kawasan Bukit Putus, beliau memandu kereta seperti biasa, sambil menyanyi. Sebelum sampai di penghujung Bukit Putus tersebut, terdapat satu kereta Kancil di hadapan beliau. Kereta Kancil tersebut bergerak agak perlahan. Mungkin sedang mengawal kereta kerana menuruni bukit, risau kalau terlalu laju nanti terjadi kecelakaan pula. Kemudian, makcik saya cuba untuk memotong kereta kancil tersebut. Semasa beliau sedang bersedia untuk memotong kereta tersebut, beliau terperasan ada seperti seorang lelaki sedang duduk bertenggung di pembahagi jalan di penghujung jalan Bukit Putus tersebut, dengan sebelah kaki kirinya dijuntaikan dan sebelah kaki kanan dilipatkan sambil memeluk lutut. Makcik saya terasa pelik, siapa pula yang duduk di pembahagi jalan tersebut? Mungkin orang gila agaknya, katanya dalam hati. Makcik saya tukar pacuan kereta dan memotong kereta tersebut. Apabila beliau lalu di hadapan lelaki tadi dan memandang lelaki tersebut, makcik saya perasan lelaki itu tidak berkepala! Terus makcik saya mengucap, beristighfar tak henti-henti sampailah ke kampung. Meremang bulu roma makcik saya. Tak henti-henti makcik saya beristighfar dan berselawat. Begitulah kisahnya. Terima kasih kerana mengetengahkan kisah makcik saya.

409 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
bottom of page