Search

Lembaga Berkuku Panjang Datang Bertamu

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Saya Hazwan dari Putrajaya, hendak berkongsi satu kisah yang aneh berlaku dalam hidup saya. Ini berlaku semasa saya kecil dahulu, umur saya tak berapa ingat tetapi pada masa itu saya belum bersekolah lagi.


Pada satu hari, abang saya yang ketika itu masih bersekolah rendah pulang dari sekolah dan mengalami demam panas dan meracau-racau. Yang paling pelik separuh mukanya seperti ada kulit kering dan terkopek-kopek. Apa yang dikatakan oleh ayah dan mak saya, kemungkinan abang saya terkena sampuk! Kerana apa yang terjadi, abang saya seminggu tidak ke sekolah sehinggakan saya kehairanan apa yang berlaku padanya.


Satu malam kami sekeluarga beramai-ramai tidur di ruang tamu rumah. Di sebelah kanan saya merupakan sofa kulit. Di sebelah kiri saya Ayah, kemudian abang saya yang sakit, kemudian mak saya dan akhirnya kakak saya. Setiap kali hendak tidur, saya memang suka sangat berselubung dengan selimut. Selimut saya agak jarang dan boleh tembus melihat luar. Saya baring berselubung kaku tidak bergerak.


Malam sudah mula sepi dengan bulan yang amat terang. Saya masih tidak dapat tidur. Mata melihat kiri dan kanan jelas kelihatan dengan bantuan bulan terang. Malam itu sunyi sangat. Bunyi angin pun tidak ada, apatah lagi bayang-bayang pokok tidak bergerak. Memang sangat sepi. Saya hairan sangat. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi seperti ada orang berada di luar rumah.


Saya mula membesarkan mata melihat merata dalam keadaan berselubung kaku seperti mayat. Saya tetap diam. Kemudian, saya ternampak dari terang cahaya bulan, jelas kelihatan ada orang di luar rumah berjalan terjengket-jengket. Saya mula menggigil dan meremang bulu roma. Kemudian muncul satu kepulan asap putih yang besar, seraya itu muncul satu lembaga jelas 100% seperti manusia lelaki berbadan sedang sahaja, gelap hitam dan sangat tinggi!


Saya cuba tahan ketakutan saya sambil keraskan badan semata-mata tidak mahu sampai lembaga itu perasan yang saya masih tidak tidur lagi. Kemudian lembaga itu hilang dan menjelma duduk di sofa sebelah saya, siap dengan bunyi sama seperti mana kalau kita duduk di atas sofa. Sangat mengerunkan, namun saya tetap diam. Tidak lama kemudian, lembaga itu merangkak ke arah abang saya dan jelas kelihatan tangan lembaga itu membuat sesuatu ke muka abang saya.


Abang saya mula meracau dan lembaga itu kembali bangun berdiri tegak di depan kaki abang. Agak lama juga ia berdiri. Saya sudah tidak dapat mengawal ketakutan dan terus memanggil ayah saya, namun suara saya tidak boleh terkeluar dari mulut. Lembaga itu terus berpaling ke arah saya yang dah rasa cuak. Ia terus berjalan di sudut sebelah kanan berdepan dengan kakak saya. Saya melihat ia mengangkat kedua-dua tangannya. Alangkah terkejutnya saya, kukunya panjang sangat!


Saya diselamatkan dengan berkumandangnya azan Subuh dari masjid yang berdekatan. Lembaga itu terus hilang dan kami sekeluarga bangun. Melihat keadaan saya yang pucat, ayah dan mak bertanya kenapa dengan saya. Setelah memberitahu segalanya, ayah pun buat keputusan untuk menghantar saya dan abang pergi berubat pada pagi itu juga. Alhamdulillah ustaz yang merawat kami dapat membantu memulihkan abang saya dan juga hilangkan rasa ketakutan yang saya rasakan...


Sekian...

119 views0 comments

Recent Posts

See All

Mimpi Ditindih

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram, Nama saya Ilya. Saya pernah ditindih ketika mengalami demam panas. Elok-elok saya boleh tidur dalam bilik, sekarang saya sudah tidak berani tidur dalam

Suara Menggigil

Assalamualaikum KC, Saya berasal dari Perak, Malaysia. Nama saya Fiza, berumur 34 tahun sekarang. Peristiwa ini berlaku ketika umur saya enam belas tahun (Tingkatan 4) di salah sebuah sekolah asrama d

Jatuh Sakit Akibat Gerai Disihir

Assalamualaikum KC, Nama saya Muhd Hafiz, pendengar dari Malaysia. Kisahnya bermula begini. Saya berniaga kecil-kecilan, lebih tepat lagi berniaga menjual burger. Saya mula berniaga pada pertengahan t