Assalamualaikum KC,
Saya ingin berkongsi sebuah cerita yang berlaku terhadap diri saya sendiri. Dahulu saya pernah menetap di sebuah asrama di Johor Bahru. Ketika itu saya merupakan seorang pelajar di tingkatan satu. Kebiasaannya kami di asrama perlu bangun pagi sekitar pukul 4 atau 4:30 pagi. Ini kerana kami dilatih bangun awal supaya memanfaatkan sepertiga malam terakhir untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
Pada satu hari, saya dan rakan sebilik saya pergi tandas bersama tetapi saya berjalan di belakangnya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi selipar dan loceng kaki berbunyi sepertimana anak-anak kecil selalu memakainya. Bila saya toleh, tiada orang di belakang saya jadi saya sangkakan mungkin ia bunyi dari seseorang yang menetap di tingkat satu kerana bilik saya berada di tingkat atas sekali.
Saya pun pergi mandi seperti biasa dan setelah habis, apabila saya keluar dari bilik mandi, saya ternampak seekor burung merpati tetapi sedang berdiri di atas sebuah bekas lampin wanita yang berdarah. Pada mulanya saya terkejut tapi saya fikir mungkin tidak ada apa-apa yang pelik atau perlu dikhuatirkan, jadi saya segera keluar daripada tandas. Rakan sebilik saya sudah sampai di bilik.
Kebiasaannya kami akan tidur semula untuk beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh. Kebetulan kawan sebilik saya tadi habis mandi dan melaksanakan yang sepatutnya terlebih awal jadi dia sudah baring semula untuk berehat seketika. Saya pun segera siapkan diri saya dengan memakai baju sekolah. Ketika saya toleh hendak ke katil saya, saya ternampak sebuah lembaga hitam sedang berada di penjuru bilik saya!
Sekilas pintas saya segera ke katil saya dan saya selubungkan badan saya dengan selimut. Namun saya rasakan seperti lembaga itu sedang berdiri di hadapan katil saya. Saya pun menurunkan sedikit demi sedikit selimut saya. Ya Allah saya ternampak sosok badan seorang wanita tetapi dalam keadaan hitam, maka saya pun selubung kembali badan saya. Tiba-tiba saya terasa badan saya seperti dikunci dan saya tidak boleh bergerak!
Walaupun pada masa itu saya sedang menghadap rakan sebilik saya tetapi saya tidak boleh menjerit atau memanggilnya. Saya lantas teringat pesanan mak saya agar membaca Ayat Kursi jadi saya terus membaca dalam hati sehingga saya tertidur semula. Mujur tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu dan saya dapat bergerak semula apabila azan Subuh mula berkumandang menerusi penggera telefon bimbit saya.
Itu saja dari saya. Selamat malam :)
댓글