Search

Makhluk Belaan Arwah Datuk

Assalamualaikum KC,


Saya Bob, berasal dari Malaysia. Saya ada satu kisah yang ingin dikongsikan bersama peminat dan pembaca blog Malam Seram. Kisah saya bukanlah mengenai penampakan hantu tapi lebih kepada pengalaman misteri yang berlaku lebih kurang dua puluh dua tahun yang lalu ketika umur saya sekitar lima tahun kalau tak silap. Kisah ini berkenaan dengan arwah datuk saya.


Arwah datuk saya suka sangat bergerak ke sana sini menaiki motosikal termasuklah pergi ke kedai yang berdekatan dengan rumah. Namun disebabkan umurnya yang sudah lanjut, dia memang tidak mampu menaiki motosikal seorang diri. Jadi pada sisa-sisa usianya, dia akan tunggu tepi jalan dan akan menahan mana-mana penunggang motosikal yang lalu di situ untuk meminta menghantarnya pergi ke kedai. Selalunya datuk saya akan berikan sedikit upah kepada orang yang menolongnya.


Pada satu hari saya memang tahu bahawa arwah datuk saya telah keluar pada petang itu, jadi saya pun menunggunya pulang kerana seperti biasa, arwah datuk saya akan belikan sesuatu untuk saya tidak kiralah keropok ke, duit jajan atau aiskrim. Sebab itulah saya setia menunggunya pulang. Tunggu punya tunggu, sampailah waktu Maghrib. Mak saya melihat saya masih berada di luar rumah, menyuruh saya masuk ke dalam sebab dah Maghrib dan tidak baik berada di luar pada waktu senja sebegitu.


Sewaktu saya hendak masuk ke dalam rumah, tiba-tiba saya terpandang sosok tubuh arwah datuk saya di sebelah pokok kelapa di depan rumah dengan tangan kiri memegang tongkat dan tangan kanannya memegang kantung plastik. Apabila ternampak arwah datuk saya di situ, saya pun duduk semula di depan pintu dan menunggunya masuk ke dalam rumah. Namun sosok tubuh arwah datuk tidak bergerak dan hanya berdiri tegak di bawah pokok kelapa tersebut.


Lama juga saya perhatikannya dan tidak sedar jam dah nak masuk pukul 8 malam. Dah setengah jam lebih saya menunggunya masuk ke dalam rumah dari pukul 7 lebih malam sampai hendak masuk pukul 8 malam, tapi tidak juga masuk dan hanya tercegat di bawah pokok itu. Selepas melihat jam, tekak saya terasa dahaga pula. Saya pun bangun dan pergi masuk ke dapur untuk minum air. Baru saya ambil cawan dan belum sempat tuang air, tiba-tiba kedengaran suara arwah datuk saya memberi salam. Saya pun terus lari menuju ke pintu untuk melihat apa yang dia belikan untuk saya dan saya mendapat aiskrim!

Pada usia begitu saya tidak fikir apa-apa pun, maklumlah masih budak-budak lagi dan tak endahkan sangat perkara misteri. Namun apabila umur saya menjangkau belasan tahun barulah saya terfikir tentang kejadian ini. Saya ada menceritakan pengalaman saya kepada anggota keluarga yang lain dan mak saya memberitahu bahawa arwah datuk saya ada membela sesuatu, bela untuk diwariskan tapi hanya untuk menjaga rumah dan kebun. Mungkin benda itu yang menyerupai arwah datuk saya.


Wallahu'alam bissawab tapi syukur Alhamdulillah keluarga saya tidak ada apa-apa gangguan. Maaf sekiranya pengalaman dan kisah saya ini tidak seram. Sekian terima kasih dan Assalamualaikum...


126 views0 comments

Recent Posts

See All

Tugasan Terakhir Di Pembentungan...

Assalamualaikum, Selamat malam saya ucapkan kepada KC dan juga para pembaca blog Malam Seram. Nama saya Nazri dan saya berasal dari Kampar, Perak, Malaysia. Saya ingin berkongsi kisah pengalaman yang

Misteri Bertukar Tempat

Assalammu’alaikum KC, Nama saya Linda. Saya ingin berkongsi satu kejadian misteri di mana ia berlaku pada awal tahun 1980an. Pada waktu itu, umur saya sekitar tujuh atau lapan tahun. Ibu saya pula mer

Akibat Tidak Tutup Tingkap

Salam KC, Saya Jalia dan kejadian yang akan saya ceritakan ini terjadi apabila saya berada di dalam menengah empat. Pada hari itu, saya mengemas bilik, turunkan langsir dan ubah posisi katil, almari d