top of page
Search

Makhluk Berdiri Di Luar Gelas Kaca Pintu

Assalamualaikum DJ KC dan para pembaca blog Malam Seram,


Saya ada pengalaman seram yang berlaku di salah sebuah universiti di Singapura di mana saya pernah menuntut beberapa tahun yang lalu. Ketika saya berada di tahun terakhir, saya sering duduk di universiti sehingga jam 11 malam untuk menghabiskan tesis saya. Oleh kerana saya perlu tempat yang kondusif untuk mendapatkan tumpuan belajar dengan penuh, saya akan tempah bilik belajar yang terletak di tingkat bawah universiti itu. Setiap pintu bilik belajar ini ada gelas kaca di mana saya boleh melihat ke luar. Orang yang berada di luar juga boleh melihat saya yang berada di dalam. Ini satu ciri keselamatan dan juga pencegahan agar pelajar tidak melakukan perkara tidak senonoh di dalam.


Pada satu Jumaat, saya ingat lagi dalam jam 8 lebih malam, saya sedang sibuk menaip intipati tesis saya di papan kunci komputer riba. Secara tidak sengaja tumpuan saya bertukar dari skrin komputer riba ke gelas kaca pintu itu. Alangkah terperanjatnya apabila saya ternampak seperti sosok seorang wanita sedang berdiri di luar betul-betul di hadapan gelas kaca pintu tersebut! Saya terpekik dan tutup mata saya serapat-rapatnya kerana rasa takut sangat-sangat!


Saya lalu membaca Ayatul Kursi sebelum perlahan-lahan membuka mata saya. Saya hembuskan nafas lega dan rasa bersyukur sangat kerana wanita itu sudah tiada di luar bilik belajar saya. Saya terus mengemas barang-barang dan tanpa mematikan lampu bilik, saya terus meluru dan lari keluar ke perhentian bas.


Apa yang membuat saya takut dan terperanjat adalah, wanita yang saya nampak itu menutupi mukanya dengan rambutnya yang hitam dan panjang. Sehingga sekarang saya tidak tahu apa yang saya nampak, namun setelah kejadian pada malam itu, saya sudah tidak lagi berada di universiti sehingga lewat malam. Saya pastikan bahawa saya akan pulang ke rumah selewatnya pada pukul 6 petang dan bersambung di rumah.


Terima Kasih,


Syafinaz

98 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page