top of page
Search

Makhluk Berpaut Pada Bot Memancing

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Yussri, saya hendak berkongsi pengalaman seram yang berlaku pada tahun 1995 di kawasan kepulauan perairan selatan Singapura. Kisah ini benar dan telah terjadi pada saya dan dua rakan baik saya. Sebelum saya mulakan, kami bertiga memang minat memancing, tempat-tempat yang pernah kami pergi seperti Jeti Bedok, Marina South Pier, Changi, Sembawang, Punggol, Pasir Ris dan West Coast.


Kami memang tahu tempat seperti ini, apabila hendak memancing pada waktu malam, kami cukup jaga agar mulut kami tidak celupar kerana tahu tempat-tempat seperti ini ada penghuninya. Walauapapun, kami bertawakal pada Allah SWT. Setakat ini, Alhamdulillah kami dapat ikan seperti siakap, duri, bawal dan tamban.


Pada satu ketika, rakan saya bernama Rahman memberitahu saya dan rakan saya Amy, dia dah bosan memancing tempat tepi laut dan lubuk. Dia bercadang kepada kami untuk pergi memancing di laut dan menyewa ot. Tanpa berfikir kami bersatu hati dan setuju. Kami pun mencari bot untuk disewa dan bertemu dengan seorang pakcik berwarga Cina yang bernama Lee. Kami memanggilnya dengan panggilan "Uncle Lee", agak dah berumur orang tua ini dan fasih dalam bahasa Melayu. Kami pun berunding dengannya dan setuju dengan harga sewa. Uncle Lee memberitahu kami ada tempat yang baik di dasar laut untuk memancing tetapi dia memberitahu kalau sudah dapat ikan yang banyak harus balik dan berhenti memancing.

Kaami bersetuju tetapi tidak tahu apa yang dia maksudkan. Bila tiba harinya, kami pun menaiki botnya dari Changi dan menuju ke destinasi. Bila dah sampai di destinasi, Uncle Lee memberitahu kami bahawa kami sudah boleh mula memancing. Apa lagi, kami bertiga ambil joran, letak umpan dan pancing. Waktu itu sudah masuk waktu Maghrib. Kami pun tunggu dan lepak sambil minum kopi dengan Uncle Lee dan berbual-bual dengannya. Semasa perbualan, kami masih ingat kalau terlihat benda yang aneh, mulut jangan celupar. Kami memang pegang prinsip itu. Uncle Lee berpesan lagi, "Sudah dapat banyak ikan, mesti kena balik, jangan pancing lagi..."

Semasa menunggu, salah satu joran rakan saya locengnya berbunyi. Dia ambil jorannya dan dapat ikan merah (Red Snapper). Besar juga ikannya. Kemudian, joran saya dan joran Amy locengnya berbunyi juga. Kami pun mendapat ikan yang sama. Apalagi, kami terus memancing. Setiap 10 minit satu tangkapan ke satu tangkapan. Banyak juga kami dapat ikan merah. Waktu itu sudah masuk waktu Isyak. Dalam keadaan yang mengembirakan, tiba-tiba Uncle Lee memekik, "Cukup... Cukup... Sudah... Sudah... Balik... Balik".


Saya melihat Uncle Lee cuba mulakan enjin botnya tapi saya melihat dia terkial-kial dan nampak mukanya pucat dan tangannya menggeletar. Dia memberitahu saya yang dia melihat satu makhluk sedang berenang sekeliling bot kemudian ia berpaut di belakang bot dan melihat kami memancing. Kami pun rasa terperanjat. Dengan cepat, saya menuju ke dua orang rakan saya dan menyuruh mereka berhenti memancing.


Sedang saya menyuruh mereka berhenti, makhluk yang Uncle Lee lihat tadi, sedang berpaut di penghujung bot. Kami bertiga nampak dengan jelas. Mukanya hodoh, kepalanya bersirip ikan, matanya merah, gigi bertaring, tangannya bersisik dan kukunya panjang. Baunya busuk sekali. Hendak baca Ayat Kursi pun tak berbunyi. Semuanya tergamam. Dalam keadaan panik, rakan saya Amy sampai terjatuh dari atas bot.


Uncle Lee akhirnya dapat hidupkan enjin bot dalam keadaan yang kelam-kabut. Kami berteriak dan menyuruhnya cepat-cepat beredar dari situ. Makhluk itu masih berpaut. Kami dapat melihat makhluk itu mengejari bot kami. Uncle Lee menyuruh kami, buang ikan merah yang ditangkap, dengan cepat kami buang semula ke dalam laut. Barulah makhluk itu hilang dari pandangan.


Selepas kejadian itu, kami bertiga jatuh sakit selama seminggu. Alhamdulillah kami pergi berubat secara tradisional dan sembuh. Tak lama kemudian, kami mencari Uncle Lee, dan diberitahu oleh rakannya bahawa dia telah meninggal dunia seminggu yang lepas. Semenjak kajadian ini, saya dan rakan-rakan saya dah tak memancing lagi. Mungkin yang kami nampak pada malam itu adalah hantu laut atau penjaga ikan merah...

138 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page