top of page
Search

Makhluk Bogel Mata Merah

Assalamualaikum KC,


Saya Zuhaira, tinggal di utara semenanjung Malaysia. Saya ingin mengongsikan pengalaman menakutkan buat saya yang terjadi di kampung halaman ibu saya. Sebelum saya menceritakan pengalaman saya ini, saya ingin memberitahu terlebih dahulu, di belakang rumah ibu saya terdapat sebuah kolam ikan yang saiznya agak besar dan kolam itu sudah lama ditinggalkan dan tidak diguna oleh sesiapa termasuk keluarga saya.


Menurut cerita dari nenek saya, beliau berkata bahawa sewaktu ibu saya masih kecil lagi, ramai orang kampung yang suka datang ke belakang rumah untuk membuang sesuatu benda yang tidak elok, tanpa meminta izin beliau terlebih dahulu. Semenjak itu nenek saya sering diganggu makhluk-makhluk yang menyeramkan. Berbalik kepada pengalaman yang saya ingin ceritakan ini, pada malam kejadian, ayah saya sedang sibuk menghalau ayam-ayam belaannya untuk masuk semula ke dalam reban. Manakala reban ayam itu pula terletaknya betul-betul di bahagian belakang rumah ibu saya dan sangat berdekatan dengan kolam ikan yang telah lama ditinggalkan itu.


Bak kata orang-orang tua, tidak elok kalau keluar rumah pada waktu Maghrib, apatah lagi menghalau ayam pada waktu itu. Faham-faham saja pada waktu itu banyak syaithan yang berkeliaran. Malam itu sepatutnya ayah saya cuti tetapi terpaksa bekerja disebabkan kawan kerjanya tidak dapat pergi bertugas kerana ada hal yang mustahak. Ayah saya perlu menggantikannya pada malam itu. Ayah saya risau sebab terpaksa tinggalkan ibu dan saya serta adik bongsu di rumah, takut pula berlaku apa-apa yang tidak diinginkan.


Sebaik sahaja ayah bertolak untuk pergi kerja, seingat saya pada jam 11.45 minit malam, pada waktu itu saya sedang berbual-bual bersama rakan saya di telefon. Saya hanya duduk bersendirian di dalam bilik saya yang terletak di bahagian atas rumah. Bilik ibu bapa saya di bahagian bawah. Tiba-tiba saya terdengar bunyi sesuatu di bahagian luar tingkap bilik saya, bunyi seperti dikerik-kerik dari luar tingkap oleh seseorang atau sesuatu yang berkuku tajam!


Pada masa yang sama, suara rakan saya di telefon tiba-tiba berubah. Bunyi seperti suara orang menjerit-jerit. Saya ambil keputusan untuk menamatkan perbualan kami. Sementara itu, bunyi yang di luar tingkap masih berbunyi lagi, semakin deras dan sangat kuat. Akhirnya saya beranikan diri untuk hidupkan lampu dan melihat siapa yang mengerik-ngerik tingkap saya. Saya bertanya, "Siapa tu?" Bunyi tersebut dengan cepat berhenti. Saya terus berlari turun ke bawah untuk memberitahu ibu.


Ibu tidak percayakan saya, dan mengatakan ia hanya bunyi tikus lalu menyuruh saya masuk tidur dan jangan fikirkan sangat. Dengan perasaan kesal, saya naik semula ke atas. Perlahan-lahan saya masuk ke dalam blik saya. Waktu itu, Tuhan saja yang tahu. Meremang bulu tengkuk saya. Bunyi awal tadi masih kuat dan mengganggu saya pada malam itu. Kemudian, saya pun baring di atas katil saya. Tanpa membaca sebarang doa atau surah-surah suci, saya terlelap.


Entah berapa lama saya terlelap, saya terbangun kerana rasa seperti ditindih oleh sesuatu. Berat sangat sehingga saya sukar untuk bernafas. Saya cuba membuka mata saya dengan perlahan. Alangkah terkejutnya saya melihat makhluk yang berbogel sedang memandang saya sambil tersenyum yang sangat menakutkan! Ia berada betul-betul di hadapan saya sambil duduk di atas kerusi yang berada di hujung katil saya. Sambil ia meraba-raba pehanya dan memandang tajam ke arah mata saya. Memang menakutkan sebab mata makhluk ini merah menyala!


Saya tidak dapat melawan perasaan takut saya apabila ia bangun dari kerusi dan terus merangkak naik ke atas katil saya dan terus menindih saya. Waktu itu saya tewas dan terus terpengsan. Keesokan harinya baru saya terjaga. Bangun saja dari katil saya terus mendapatkan ayah dan ibu dan memberitahu mereka apa yang terjadi. Mereka memanggil pakar untuk mengetahui apa yang terjadi pada malam tersebut.


Pakar datang ke rumah saya selepas waktu Zuhur. Dia membaca baca ayat-ayat suci Al-Quran dan memberitahu ibu dan ayah saya bahawa makhluk itu marah kerana ada orang yang mendganggu kawasannya. Ayah saya bertanya kepada pakar itu benda apa yang mengganggu saya pada malam tersebut? Pakar berkata, "Makhluk yang mengganggu anak perempuan tuan adalah hantu raya! Selalunya ramai yang mengetahui hantu raya ini berbulu dan berbadan besar tetapi Tuan juga perlu tahu yang hantu raya ini terdapat dua jenis iaitu, satu yang berbulu dan satu lagi berbentuk seperti manusia tetapi bogel. Kita tidak tahu jantinanya, sama ada lelaki atau perempuan..."


Ini adalah pengajaran bagi keluarga saya. Pada waktu Maghrib tidak baik kalau keluar rumah pada waktu itu. Itu saja yang saya dapat kongsikan. Terima kasih...

226 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page