Selamat Malam Seram!
Nama saya Iskandar dan saya berasal dari Taiping, Perak. Pengalaman yang ingin saya ceritakan ini merupakan pengalaman yang dialami oleh saya dan rakan-rakan yang bernama Naka, Akiya, Mior dan Aizat ketika kami melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Seri Iskandar, Perak. Ceritanya bermula pada satu malam ketika kami melakukan "adventure" pada waktu malam di salah sebuah blok yang dikatakan berhantu di universiti kami. Cerita saja mengenai blok ini semua pelajar akan mengetahui tentang cerita-cerita seram yang
sering diceritakan oleh pelajar-pelajar senior.
Tujuan utama kami pergi ke blok tersebut kerana salah seorang rakan kami telah diganggu ketika mahu menghantar tugasan beliau. Pada ketika itu rakan saya diganggu ketika dalam lif. Untuk pengetahuan semua, blok tersebut mempunyai tiga tingkat tetapi ketika malam kawan saya diganggu itu, lif tiba di tingkat tiga tetapi suara di dalam lif menyebut tingkat 4. Beliau tidak pasti samada itu benar suara yang dari rakaman program lif ataupun itu adalah suara dari makhluk yang mungkin bersama beliau ketika di dalam lif.
Oleh kerana kejadian yang menimpa rakan kami, kami telah bersepakat untuk tinjau blok tersebut. Waktu itu kami berlima telah pergi ke blok tersebut dengan membawa "webcam" untuk merakamkan sepanjang perjalanan kami. Cuaca pada malam itu hujan dan kilat sabung-menyabung. Kami memulakan perjalanan dengan pergi ke tingkat tiga blok tersebut. Kami menaiki lif ke tingkat tiga dan sebaik sahaja sampai di tingkat tersebut, kami dapat rasakan ada seperti angin yang kuat menerpa ke arah kami sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat tiga. Walaubagaimanapun kami tetap sedapkan hati untuk meneruskan perjalanan kami.
Untuk pengetahuan umum, berhadapan dengan blok ini terdapat sebuah taman yang dikatakan merupakan tempat makhluk halus berada (mengikut cerita senior). Kami pun berjalan seperti biasa turun setiap tingkat dengan menggunakan tangga. Sebaik sahaja kami tiba di tingkat dua bangunan tersebut, di hujung bangunan tersebut kami lihat terdapat sebuah kerusi yang menghadap ke arah taman yang saya nyatakan sebentar tadi. Yang menjadi kemusykilan kepada kami, kerusi tersebut sepatutnya berada di dalam makmal komputer dan bukannya di luar dan kebiasaannya makmal akan ditutup pada waktu malam.
Saat itu kami mula berasa pelik, namun kami meneruskan perjalanan. Kami turun ke tingkat paling bawah. Setibanya kami di bawah kami melalui sebelah taman yang dikatakan tempat terdapat banyaknya makhluk halus di situ. Sewaktu kami melalui laluan di antara taman dan blok tersebut, tiba-tiba kilat menyambar di tengah-tengah kami. Sewaktu itu kami merasakan bahawa mungkin terdapat makhluk yang mengekori kami ketika kami melalui kawasan itu. Walaubagaimanapun, kami tetap meneruskan perjalanan sambil merakam setiap pergerakan kami di blok tersebut. Setelah selesai kami pun pulang ke asrama kami.
Salah seorang dari kami telah melihat kembali rakaman awal tadi. Apa yang mengejutkan kami, sebaik sahaja kamera diarahkan ke arah taman tersebut kami dapat mendengar dengan jelas suara seorang wanita berkata, “Saya tinggal di sini”. Benda itu seolah-olah ingin memberitahu bahawa itu adalah tempat tinggal beliau. Yang hairannya, kesemua yang
pergi "adventure" ketika itu adalah lelaki. Meremang bulu roma kami dibuatnya! Kami
ulang video tersebut berkali-kali dan dengan tiba-tiba lampu di asrama kami terpadam dengan sendirinya seolah-olah dimatikan oleh seseorang kerana waktu itu tiada petir yang menyambar.
Sejak peristiwa itu, semua dari kami yang menyertai "adventure" tersebut diganggu makhluk halus. Antara gangguan yang kami terima adalah melihat burung yang begitu besar berwarna putih yang terbang di atas, bunyi suara wanita menyanyi di tepi tingkap serta ada orang yang mengetuk tingkap bilik pada waktu malam, sedangkan bilik kami berada di tingkat dua. Walaupun sering diganggu, beberapa orang rakan kami masih belum berpuas hati lalu mereka bercadang untuk pergi "meneroka" buat kali kedua. Tetapi pada kali ini saya
tidak menyertai mereka kerana saya sudah serik dengan peristiwa kali pertama ketika kami
pergi ke sana.
Untuk penerokaan kali kedua ini, saya hanya menunggu di bilik sehingga mereka pulang.
Untuk pengetahuan umum, dari bilik saya, saya boleh nampak kawasan meletak kereta. Sewaktu saya melihat ke luar dalam jam 1.30 pagi, saya lihat kereta kawan saya yang pergi meneroka, sedang memasuki kawasan parking. Lalu saya bergegas keluar kerana tidak sabar untuk mendengar pengalaman mereka waktu itu. Sementara menunggu mereka mencari petak parkir yang kosong, saya telah menunggu mereka di bawah tangga besi. Di sekitar hostel, terdapat tiga kawasan meletak kereta.
Kebetulan ketika saya duduk di bawah tangga besi, kereta rakan saya sedang melintas
di hadapan saya untuk pergi ke Seksyen Parkir C. Sewaktu mereka melintas di hadapan, saya
dapat lihat semua yang berada di dalam kereta merenung ke arah saya. Pada ketika itu
saya merasa mungkin mereka hanya melihat sahaja. Tetapi sebaik sahaja mereka turun
dari kereta mereka terus berkata kepada saya bahawa saat mereka merenung saya, mereka
sebenarnya merenung sesuatu yang sedang duduk bertenggek di atas di bahagian tangga atas saya. Mereka terlihat seolah-olah ada satu makhluk hitam besar yang sedang menutupi saya dari bahagian atas. Tangga hostel saya merupakan tangga besi yang mana kita boleh nampak orang jika mereka menaiki tangga.
Syukur Alhamdulillah saya tidak merenung ke atas saat itu. Jikalau tidak, saya mungkin ternampak makhluk itu. Gangguan kepada setiap orang yang pergi "adventure" tersebut
terus berlaku sehingga pada suatu hari salah seorang dari rakan kami yang tidak mengikuti
kami menasihati supaya kami memadam video yang yang kami simpan kerana dia berpendapat bahawa makhluk itu terus mengganggu kerana kami menyimpan rakaman video tersebut. Alhamdulillah sebaik sahaja kami memadam rakaman video tersebut,
semua gangguan yang terjadi kepada kami pun berhenti.
Itu saja dari saya... Assalammu'alaikum...
Comments