top of page
Search

Makhluk Ikut Pulang Dan Menjelma Dalam Mimpi...

Salam KC,


Nama saya Muhammad Sabri dari Singapura dan menetap di kawasan Woodlands. Saya ingin berkongsi pegalaman saya semasa saya berumur belasan tahun dan pegalaman yang akan saya ceritakan ini tidak dapat dilupakan hingga ke hari ini.


Sewaktu saya sekolah menengah dulu, saya dan kawan-kawan memang suka meronda dan satu hari itu kami rancang untuk meronda di daerah Taman Woodlands Town Park East. Kami memang dah selalu ke situ untuk menghisap rokok kerana kami masih bawah umur dan tak mahu orang lain nampak ataupun takut mungkin kami ditangkap.

Kali ini kami telah merancang untuk meronda lebih dalam. Apa yang saya ingat, bila kami masuk salah satu kawasan itu, kami perlu tembus dari celah pokok ke pokok. Apabila kami dapat menembusi kawasan itu, kami terjumpa satu batu seperti gua dan pohon seperti pohon bambu.


Setelah kami puas meneroka di situ dan tak lihat atau perasan apa-apa yang pelik, kami pun keluar dari situ. Semasa berjalan hendak keluar dari situ, saya masih ingat saya ada cakap sesuatu kepada kawan-kawan saya, "Takdelah mana ada hantu ni semua...???" Mereka memang tidak berkata apa-apa sebab mungkin semua lagi penat. Hari sudah lewat hendak masuk waktu Maghrib, kami pun pulang ke rumah masing-masing. Apabila saya pulang ke rumah, saya rasa penat semacam, lalu saya menukar baju dan tidak membersihkan diri lalu terus masuk tidur.


Semasa saya sedang tidur, saya bermimpi saya membawa sebungkus makanan untuk diberikan kepada rumah jiran. Apabila saya berada di luar rumah jiran, saya terperasan sebelah kanan hujung koridor ada seorang perempuan berbaju putih dan rambutnya panjang sedang memerhatikan saya. Dalam mimpi saya, hari masih siang dan bukan malam.


Apabila saya terperasan perempuan itu di koridor hujung, saya mula rasa takut dan saya pun angkat kaki dan lari ke tangga sebelah kiri. Alangkah sedihnya saya tidak boleh berlari laju. Semasa saya berlari menuju ke tangga, saya sempat pandang ke belakang dan alangkah seramnya perempuan itu sedang mengejar saya. Tetapi akhirnya saya sampai juga di tangga bawah sekali.


Apabila saya melangkah tangga yang terakhir saya terasa lega sebab dapat keluar dari blok itu. Saya toleh ke belakang dan melihat perempuan itu tidak ada lagi. Tetapi selepas itu saya terasa ada orang menepuk peha saya seolah-olah nak sedarkan saya dari tidur. Saya ingatkan mak saya, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila saya terbangun dari tidur sebab terasa seperti ada orang menepuk peha saye. Saya ternampak jelas perempuan yang dalam mimpi saya itu muncul di depan katil saya. Betul-betul di depan kaki saya.


Rambutnya tebal, kusut masai, panjang sampai ke bawah dan juga berbelah tengah. Bajunya putih besar tetapi buruk. Tangannya panjang tetapi tidak dilihat. Sebab ia betul-betul berada di depan katil saya. Saya tidak boleh bergerak. Saya cuba untuk membaca ayat-ayat suci yang saya tahu tetapi satu ayat pun saya tidak boleh membaca dan mengingatinya.

Saya mula berpeluh dan satu badan rasa tidak boleh bergerak, hanya mampu melihat kelibat perempuan itu. Selepas itu saya cuba lagi untuk menggerakkan badan saya. Kali ini saya cuba mengira 1..2..3.. dan saya memaksa gerakan tubuh badan saya. Tak lama kemudian, perempuan itu terus hilang!


Itu saja kisah pengalaman saya. Mungkin makhluk itu mengikut saya pulang dari kawasan yang kami pergi pada awalnya. Terima kasih.

103 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page