top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Makhluk Mempermainkan Ucapan Syahadah...

Assalamualaikum KC, Saya Nabil dari Bangsar, Kuala Lumpur. Kisah saya ini ringkas sahaja dan ia berlaku sewaktu saya belajar di salah sebuah universiti di Malaysia. Pada satu malam, saya menerima panggilan dari seorang kawan saya bernama Haziq (bukan nama sebenar). Dia meminta saya menjemputnya dari stesen keretapi kerana dia tertinggal bas terakhir untuk pulang ke kampus. Jam menunjukkan pukul 12.15 tengah malam. Saya pun bersetuju, kerana kebetulan minyak kereta saya pun sudah hampir habis. Jadi saya memandu dan menjemputnya di stesen keretapi. Ada dalam dua atau tiga orang yang turut menunggu di stesen. Memang tak ramai orang. Dia pun masuk ke dalam kereta dan duduk di tempat duduk di hadapan bersebelahan dengan pemandu. Selepas saya menjemputnya, saya pun beritahu yang saya hendak isi minyak dahulu sebelum pulang ke kampus. Dia senyap sahaja. Tidak mengangguk, tidak menyahut. Saya pun bertanya, "Kenapa dengan kau ni? Senyap je..." Tapi dia masih berdiam diri. Matanya memandang ke arah jalan raya. Selang beberapa minit kemudian dia tiba-tiba menangis. Teresak-esak dia menangis. Saya pun bertanya kembali, "Haziq... Kenapa ni? Apa yang berlaku?" Entah macamana, saya terfikir, mungkin dia terlihat sesuatu yang menakutkan. Maklumlah, waktu-waktu begitu memang tidak banyak kereta di jalan raya. Jadi saya kata padanya, "Kalau kau nampak apa-apa, mengucap Ziq, ingat Allah... Mengucap..." Justeru itu dia memandang saya. Dia mula mengucap, "Asyhadu an la... lalalalalalalalalalalalala..." sambil tersengih memandang saya. Itu bukan kawan saya! Makhluk itu rambutnya panjang dan lidahnya terjelir sampai ke dada. Hampir saya kemalangan dibuatnya kerana terperanjat. Terus saya berhenti dan lari ke stesen minyak yang jaraknya dalam 100 meter dari tempat saya berhenti. Bila sampai di stesen, saya menoleh ke kereta saya yang tidak berkunci, enjin masih tidak dimatikan. Makhluk itu sudah tidak ada! Saya ambil masa beberapa minit untuk tenangkan diri. Ambil kereta, isi minyak, lepak sekejap dalam sekitar setengah jam di restoran makanan segera McDonald's berdekatan untuk hilangkan rasa takut.


Sampai sahaja di bilik kampus, saya lihat kawan saya Haziq sedang tidur di katilnya! Sekian, selamat tengah malam...

230 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page