top of page
Search

Makhluk Seram Di Gudang Pulau Indah

Assalammu'alaikum KC,


Saya Mohamad Fitri dari Klang, Selangor, ingin berkongsi kisah pengalaman seram yang berlaku pada bulan Oktober tahun 2018. Saya telah menerima tawaran bekerja di sebuah gudang yang terletak di Pulau Indah, berhampiran dengan kawasan pelabuhan perkapalan di daerah Westport. Untuk makluman mereka yang tidak berada di Malaysia, Pulau Indah ini terletak di perairan di kawasan Selangor, berhampiran dengan Port Klang.


Pada waktu itu saya baru sahaja mendirikan rumahtangga pada bulan September. Isteri saya telah membeli sebuah rumah di kawasan kampung Pulau Indah jadi saya menetap di sana bersamanya. Isteri saya juga bekerja di kawasan yang berhampiran dengan rumah, jadi mudahlah untuk kami bergerak di situ dan saya pun mencari pekerjaan di persekitaran kediaman kami. Maklum lebih jimat kerana tak banyak pergerakan. Hendak pulang untuk makan apabila tiba waktu rehat pun mudah. Adakalanya kalau tak sibuk di tempat tugas, saya akan balik ke rumah.


Dipendekkan cerita, saya telah menerima emel dari sebuah syarikat yang namanya tidak perlu saya nyatakan di sini. Saya diminta untuk datang menghadiri temuduga. Setelah menghadiri sesi temuduga, saya menerima panggilan oleh syarikat tersebut meminta saya mula pekerjaan dengan segera. Saya ditugaskan menjadi ketua bahagian Inventori atau lebih tepat lagi, memantau perjalanan keluar masuk stok di dalam gudang. Skop pekerjaan saya luas dan mencabar bagi saya yang baru saja menceburi bidang ini. Dahulunya saya bertugas sebagai seorang teknisyen. Amat berbeza pekerjaan dahulu dan yang saya baru jawat ini.


Bila bermula sesuatu pekerjaan yang baru, banyak yang harus dipelajari dan diketahui dengan cepat. Tugas saya lebih kepada memeriksa barang yang tiba di dalam kontena, mahupun sebelum ia diagihkan ke perusahaan dan kedai-kedai yang telah membuat tempahan. Gudang di tempat saya bertugas ini keluasannya hanpir sama dengan tiga padang bolasepak. Gudang ini tempat barang-barang yang tiba dipunggah dan disusun dengan rapi mengikut tempat yang diperuntukkan.

Gudang ini berbentuk huruf L, dan pejabat saya terletak di bahagian paling depan sekali. Do belakang merupakan lima belas buah kawasan tempat kontena diletakkan untuk pekerjaan memunggah. Di sebelah kanan dan membengkok mengikut huruf L, merupakan dua puluh lima tempat meletak kontena yang baru masuk. Bayangkan betapa besarnya gudang ini, tempat meletak satu kontena sahaja sudah cukup besar, inikan pula empat puluh kontena pada waktu yang sama.


Adakalanya saya perlu kerja lewat malam, adakalanya sehingga pagi esoknya. Banyak yang perlu saya pelajari, lebih-lebih lagi tugas saya memerlukan penelitian yang maksima, di mana saya perlu memeriksa gambar barangan yang tiba ke gudang untuk mengelakkan penghantaraan barangan yang salah. Jika ada masalah barangan yang salah, jenuh hendak menjawab pada majikan. Saya juga harus pastikan kontena ditutup dengan ketat setelah pemeriksaan dijalankan. Boleh dikatakan bekerja hingga lewat tengah malam sudah menjadi sesuatu perkara yang sebati dengan kami pekerja di gudang ini.


Nak dijadikan cerita, pada minggu pertama saya mula bekerja, saya telah pun diganggu. Dengan persekitaran yang sunyi, ditambah lagi dengan lewat malam, mulanya sekadar terdengar bunyi orang mengikut saya berjalan dari belakang. Setelah saya menutup kontena selepas membuat pemeriksaan, saya mulakan langkah untuk kembali ke pejabat. Saat itulah saya mendengar seperti ada orang berjalan di belakang saya. Apabila saya toleh, tiada sesiapa di belakang. Nak dikatakan dah beberapa kali juga saya dan juga teman-teman sekerja yang lain mengalami perkara yang sama.

Namun pengalaman yang paling menyeramkan terjadi pada satu malam ketika saya melakukan tugas yang sama, iaitu membuat penutupan rapi kepada salah sebuah kontena. Malam itu saya minta ditemani oleh seorang pengawal keselamatan di gudang itu. Namun permintaan saya tidak kesampaian kerana cuma ada dua orang yang bertugas, seorang harus menjaga pondok yang terletak di pintu masuk gudang, dan seorang lagi harus membuat rondaan. Tinggal saya seorang diri melakukan tugas.


Jam hampir menunjukkan pukul 1:30 pagi. Kontena yang saya harus membuat pemeriksaan dan penutupan rapi berada agak jauh dari pejabat saya. Jadi setelah selesai tugas, saya berjalan ke pejabat sambil bernyanyi untuk hilangkan rasa takut. Sedang saya berjalan, saya dapati lorong kecil di mana saya harus merentas untuk kembali ke pejabat seperti telah dimatikan lampu yang menyinarinya. Saya pun pergi mencari suisnya sambil saya menyuluh jalan menggunakan fungsi lampu suluh di telefon bimbit saya. Tempat suis lampu terletak tidak jauh dari mana saya berada.


Sedang saya menuju ke arah bahagian di mana terletak suis lampu tersebut, tiba-tiba mata saya terpandang ke arah celahan barang-barang yang telah dipunggah dan diletakkan di sudut itu. Ya Allah! Ada makhluk berambut panjang menutupi muka dan berkain putih lusuh sedang berdiri di situ sambil membuat bunyi dengusan seperti orang yang sedang dalam keadaan nazak. Saya dengan cepat hidupkan lampu sambil membaca ayat-ayat suci yang saya tahu. Sambil beredar, saya sempat menoleh dan terlihat benda itu masih berada di situ, tidak berganjak. Saya ketika itu dah mula menggigil terus lari tanpa menoleh ke belakang lagi! Bunyi dengusan itu seperti bergema tidak berhenti mengiringi saya!


Saya habiskan tugas di pejabat secepat mungkin sambil ditemani pancaran lampu di dalam pejabat yang saya hidupkan kesemuanya agar tidak terasa takut. Sempat juga salah seorang pengawal menemani saya setelah dia selesai membuat rondaan. Malam itu, saya tidak terus pulang dan lepak sebentar di tempat makan berhampiran dengan rumah. Saya tidak terus pulang kerana ketika itu isteri saya baru disahkan hamil. Memang tidak mahu cari nahas dan terus pulang, jadi saya berehat sebentar sambil menenangkan fikiran. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang mengekori saya pulang.


Itu sahaja pengalaman dari saya. Terima kasih dan Selamat Malam Seram!

521 views1 comment

Recent Posts

See All
bottom of page