top of page
Search

Makhluk Tak Berkepala!



Assalammualaikum KC dan juga pembaca blog Malam Seram,


Terlebih dahulu nama saya Lin. Saya nak berkongsi satu kisah seram yang sangat seram terjadi pada saya awal bulan Disember 2019. Kisah ini berlaku di Banting Selangor Malaysia. Dipendekkan cerita, ketika itu saya menjalani latihan industri di Northport yang terletak di Pelabuhan Klang Selangor selama enam bulan. Saya mulakan latihan pada bulan Julai dan tamat pada bulan Disember.


Saya seorang yang sering datang awal ke tempat kerja, dari Banting menuju ke Northport mengambil masa kira-kira satu jam lamanya. Jadi saya keluar rumah selepas solat Subuh, sekitar 6:45 pagi dah bergerak dari rumah. Sepanjang perjalanan saya menuju ke Northport dari bulan Julai hingga November Alhamdulillah tiada apa-apa yang berlaku sehinggalah awal bulan Disember.


Pada pagi tersebut, saya dah bangun awal sebab sudah terbiasa, tapi pada waktu itu saya dalam keadaan uzur, jadi saya siap awal. Dalam pukul 6:15 pagi dah siap, saya pun berhajat nak gerak awal supaya tak terperangkap dalam kesesakan lalulintas dan tak penat nanti. Dalam perjalanan semua okay dan waktu itu masih gelap, tetapi cuaca dingin sedikit kerana hujan gerimis yang turun. Sampai sahaja kawasan berhampiran dengan sekolah rendah agama dan kem Tentera Udara, di situ terdapat tiga bonggol, biasalah kawasan sekolah pasti ada bonggol, di situ biasanya ada lampu tetapi pada hari itu, lampu rosak dan kawasan itu memang gelap.


Saya pun putar radio dalam kereta, stesen ERA berkumandang, mereka sedang menceritakan cerita seram, dan saya jadi tak keruan secara tiba-tiba kerana rasa seram menyelubungi diri. Saya perlahankan kereta kerana ada bonggol yang pertama di hadapan dan saya ternampak kelibat seorang lelaki sedang jalan terhincut-hincut seperti kakinya sakit di kaki lima di seberang kereta saya. Dalam hati berkata, “Buat apa lelaki ni jalan tengah pagi hujan gerimis ni?“


Masuk saja bonggol kedua, alangkah terkejutnya apabila saya terpandang ke arah lelaki itu, betul-betul bersebelahan dengan kereta saya, jalan seperti zombi terhincut-terhincut. Lelaki itu tiada kepala! Masya Allah, saya waktu itu dah tidak takut lagi. Saya beranikan diri untuk pandang sekali lagi, takut-takut saya salah pandang sebab paranoid dengar kisah seram di radio tadi. Kali kedua saya pandang, Astaghfirullah betul tiada kepala, terus meremang saya dibuatnya, masa itu hanya kereta saya sahaja yang ada.


Saya terus lajukan kereta dan tiba di bonggol ketiga, saya tak berhenti, terus langgar bonggol itu. Saya baca Ayat Kursi dalam hati dan Alhamdulillah saya selamat sampai tempat kerja. Perkara ini tak berlaku sekali, tetapi dua kali. Selang beberapa hari, saya lalu kawasan bonggol itu sekali lagi. Sekali lagi saya ternampak kelibat tubuh yang sedang jalan terhincut-hincut macam zombie. Saya tak toleh, terus pecut dan tak hiraukan bonggol di tengah jalan.


Alhamdulillah saya tidak diganggu lagi sebab saya keluar pada pukul 7 pagi sekarang. Orang kata kawasan itu memang berhantu kerana di situ tempat askar Jepun pancung kepala sesiapa yang melanggar peraturan dan sebagainya. Sekian sahaja cerita seram saya, pertama kali nampak hantu. Jangan tegur kalau tidak mahu diganggu hantu...


Terima kasih dari saya, Atika Ezleen

308 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page