Salam KC dan pendengar, penonton dan pembaca blog Malam Seram!
Saya Syah dan saya ingin menceritakan pengalaman saya. Kisah saya ni ketika saya masih bersekolah dan rumah saya pula adalah rumah kondominium di Ampang, Selangor.
Kejadian yang terjadi pada saya berlaku ketika saya seorang diri di dalam rumah. Pada masa itu mak bapak saya pergi ke rumah makcik dan saya tak ikut mereka ke sana. Kakak saya pula akan pulang pada keesokan hari dari asrama. Pada waktu itu saya sedang menonton televisyen di ruang tamu dan tak lama kemudian, kawan saya hantar pesanan Whatsapp untuk ajak saya bermain permainan video dalam talian. Saya pun balas "Ok" kepada kawan saya.
Sejurus selepas saya matikan televisyen, saya ternampak seperti ada susuk tubuh yang berambut panjang di belakang langsir. Saya terkelip mata dan tengok sekali lagi tetapi susuk tubuh itu sudah hilang. Saya tak hiraukan, lalu terus masuk ke dalam bilik dan bermain permainan video dalam talian bersama kawan saya.
Tidak lama kemudian, saya terdengar pintu rumah saya terbuka dan saya ingatkan mak bapak saya pulang, jadi saya teruskan bermain permainan video. Ketika itu saya memakai "headphone" dan terdengar ada orang mengetuk pintu bilik saya beberapa kali sambil berkata dengan suara perempuan, “Bukalah pintu...” Saya letak "headphone" di atas meja dan terdetik dalam hati, "Kenapa mak aku tak buka pintu? Selalu dia buka dan tak ketuk pun..."
Saya pun buka pintu tetapi tak nampak sesiapapun. Pada mulanya saya tak hiraukan sangat kerana mungkin saya berangan kerana saya sememangnya kuat berangan orangnya. Habis saja bermain permainan video bersama kawan, saya pun masuk tidur. Ketika saya sedang hendak tidur, saya terdengar bunyi guli jatuh beberapa kali dan dengar bunyi seperti kerusi sedang ditarik saya pun buat endah tak endah, sebab sebelum ini pun ada dengar juga dan saya rasa benda itu macam dah biasa dengar. Kemudian terdengar pintu saya dicakar beberapa kali dan itu pertama kali saya terdengar pintu saya dicakar pada malam itu. Saya terkejut dan sebut "Astarghfirullah!" dan saya pun tutup diri saya dengan selimut sebab rasa takut. Saya pejamkan mata saya serapat-rapatnya dan saya pun tertidur.
Pada hari esoknya, saya pun ceritakan kepada mak bapak saya apa yang terjadi dan bapak saya pun pergi berjumpa seorang Ustaz kenalan makcik saya dan kami pun berjumpa Ustaz itu di rumahnya pada sebelah malamnya. Sewaktu di rumahnya, Ustaz menyuruh mak saya tulis alamat rumah dan beliau mula membaca ayat-ayat suci di kertas itu. Tak lama kemudian, Ustaz itu berkata bahawa di rumah memang ada kehadiran entiti yang tak diundang. Mak saya bertanya pada Ustaz macamana benda itu boleh masuk ke dalam rumah, sedangkan rumah saya sudah dipagar. Ustaz berkata benda itu masuk melalui salah seorang dari kami, masuk rumah tidak beri salam pada waktu malam dan Ustaz berkata benda itu berasal dari sekolah saya.
Saya pun terfikir mana pernah saya datang ke sekolah pada waktu malam? Kemudian kakak saya yang ikut sama berkata dia pernah menghadiri kem di sekolah selama dua hari satu malam. Ustaz pun berkata mungkin dia masuk rumah sebab kakak tak beri salam. Saya pun terkejut bukan sebab benda itu ikut kakak saya tapi kerana kakak saya pergi kem di sekolah sudah 5 tahun yang lepas! Patutlah saya sering terdengar bunyi pintu ditutup, bunyi seperti kerusi ditarik dan baru saya tahu yang saya bukan berangan. Kemudian Ustaz pun menyuruh kami menyediakan bekas kaca, kunyit, beras dan telur yang tidak busuk bersama kain kuning.
Sebelum kami pulang saya bertanya Ustaz benda tu duduk di mana. Ustaz menjawab benda itu berada dekat dengan bunga putih. Saya bertambah terkejut sebab bunga putih itu betul2 berada di hadapan pintu rumah saya. Apabila kami pulang dan tiba di rumah, ketika saya pandang bunga putih saja, bulu roma saya rasa meremang. Malam itu mak saya putar CD bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an sepanjang malam. Saya pula tidur di dalam bilik seperti biasa. Keesokan harinya, kami sekeluarga cari barang-barang yang diminta Ustaz. Saya ikut sama kerana tak berani duduk di rumah seorang diri.
Malam itu Ustaz datang bersama anak kecilnya kerana di rumah tiada orang dan terpaksa dia membawa anaknya. Ustaz pun masukkan kunyit beras dan telur yang tidak busuk. Ustaz telah menghantar pesanan Whatsapp kepada mak saya pada awalnya agar jangan mengambil telur busuk sebab nanti tak menjadi. Kemudian Ustaz pun masukkan kunyit, telur dan beras ke dalam sebuah bekas dan letakkan di dalam bilik saya. Saya rasa pelik, katanya benda itu ada di bunga putih yang berada di ruang tamu depan pintu rumah? Saya pun bertanya kepada Ustaz.
Ustaz dengan selamba menjawab, “Benda itu lari masuk ke dalam bilik kamu selepas saya masuk ke dalam rumah...” Kemudian Ustaz menunggu benda itu masuk ke dalam bekas kaca untuk makan. Beberapa minit kemudian saya terdengar seperti ada sesuatu sedang makan di dalam bilik saya. Anak Ustaz yang ikut sama mungkin dia terdengar macam saya memanggilnya, dia terus pergi ke bilik saya dan mahu buka pintu. Ustaz sempat menarik tangan anaknya dan masuk ke dalam dan tutup pintu dengan keadaan bilik saya gelap.
Dalam beberapa minit barulah Ustaz keluar sambal tercungap-cungap seperti orang baru lepas berlari, kemudian dia tutup bekas itu dengan penutup, ikat dengan kain kuning dan menyerahkan kepada bapak saya untuk mencampaknya ke dalam sungai yang airnya sedang mengalir. Pada malam itu juga bapak saya keluar dan buang ke sungai yang air sedang mengalir dan Ustaz mengingatkan kepada bapak saya jangan buang bekas itu di sungai yang terdekat, mesti sungai yang agak jauh dari kawasan rumah saya, kalau tidak dia akan kembali.
Itu saja kisah saya. Kisah saya ini mungkin kurang seram. Selamat malam dan terima kasih!
コメント