top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Mas Merah

Salam KC,

Saya Mohamad kini menetap dan bekerja di Dubai dengan salah sebuah syarikat minyak terkemuka di dunia. Saya sudah menetap di sini sudah lebih sepuluh tahun lamanya. Saya hendak menceritakan kisah ini, terjadi lebih kurang tiga puluh tahun yang lalu ketika umur saya 11 tahun begitu.

Pengalaman ini meninggalkan satu kesan yang mendalam kepada diri saya, kerana itu pertama kali saya mendengar perempuan mengilai dan dirasuk. Perempuan yang saya maksudkan itu merupakan arwah makcik saya. Beginilah ceritanya.

Hari itu merupakan hari Jumaat, malam Sabtu. Saya dan adik saudara saya yang ketika itu berumur tujuh tahun dan arwah makcik saya berjalan dari rumah beliau di Simei untuk ke Tampines pada kira-kira pukul 11 malam untuk tidur di rumah nenek saya. Ketika itu keluarga kami meraikan majlis perkahwinan abang saudara saya pada keesokan harinya. Jadi majlis diadakan di rumah nenek. Seperti lazimnya bila ada majlis perkahwinan di Singapura pada ketika itu, ramai anggota keluarga akan tidur di rumah nenek untuk persiapkan barang-barang perkahwinan.

Untuk ke rumah nenek saya, kami harus menyemberangi jembatan dari Simei ke Tampines, merentasi atas lebuhraya Pan-Island Expressway atau dikenali dengan nama ringkasnya, PIE. Ketika kami berada di atas jembatan, kami terserempak dengan seorang perempuan Cina yang sarat mengandung berjalan menghala ke Simei. Kami tidak fikirkan apa-apa kerana dia kelihatan seperti perempuan atau manusia biasa saja.


Saya masih ingat lagi kata-kata arwah makcik saya berkata, "Kenapalah perempuan ni tengah sarat mengandung jalan kat sini malam-malam buta macam ni? Jembatan ni pun boleh tahan keras ni..." Saya pun buat kelakar dan berkata, "Kalau jembatan ni tak keras, robohlah Cik..."

Apa yang terjadi seterusnya, kami tidur di rumah nenek beramai-ramai. Emak dan adik-beradik saya semua ada di rumah nenek dan kerana ramai orang, saya tidur di atas sofa dan ramai yang tidur di ruang tamu rumah nenek.


Kira-kira dalam pukul 2 pagi, saya rasakan seperti ada orang sedang membelai rambut saya sambil menyanyi. Saya terbangun dan terlihat arwah makcik saya sedang duduk di atas sofa, lebih tepat lagi di bahagian tempat lengan berehat. Apabila terlihat saya terbangun, makcik saya tiba-tiba mengilai dengan kuat. Saya apa lagi terpekik dan menangis dan semua orang dalam rumah terbangun.


Yang lain memegang makcik saya yang kerasukan. Makcik saya kelihatan seperti sediakala cuma rambutnya direbangkan dan matanya terbeliak sambil memekik, "Aku Mas Merah!

Aku Mas Merah! Kenapa perempuan ni tegur aku kat jembatan tadi?" Ya Allah adakah si Mas Merah ini perempuan Cina yang mengandung tadi atau bukan? Mujur arwah makcik saya berjaya dipulihkan apabila pakcik dan nenek saya membaca Ayatul Kursi dan surah-surah yang lain.

Walaupun saya tak nampak si Mas Merah ini secara fizikal, tetapi mendengar dia mengilai menerusi arwah makcik saya sudah cukup untuk saya ingat sehingga sekarang. Saya hendak menasihatkan kepada sesiapa yang suka pergi ke tempat-tempat yang berhantu atau keras untuk mencari benda-benda ini, janganlah cari pasal. Mendengar "dia" menangis, menyanyi atau mengilai sudah cukup teruk, apa lagi kalau ternampak ataupun dalam kes paling kronik, dirasuk.


Wassalam...

Yang Benar,


Mohamad


183 views0 comments

Recent Posts

See All

ความคิดเห็น

ได้รับ 0 เต็ม 5 ดาว
ยังไม่มีการให้คะแนน

ให้คะแนน
bottom of page