Search

Masuk Ke Alam Bunian!

Assalamualaikum dan selamat tengah malam KC,


Saya Amer, peminat setia Malam Seram dari Sandakan, Sabah. Saya ingin berkongsi pengalaman seram ketika saya memancing bersama tiga orang kawan saya dulu. Menurut cerita kawan-kawan yang pernah ke sana, terdapat banyak spesis yang mendiami sungai tersebut seperti baung, lampam dan sebarau. Selain daripada memancing, kami juga bercadang untuk memasang racik dan jerat bagi menangkap ayam hutan yang selalu kelihatan di hutan berhampiran.


Perjalanan menuju ke tempat idaman dengan berjalan kaki dari tempat letak kenderaan mengambil masa hampir dua jam. Setelah bermandi peluh mengangkut barang-barang perkhemahan, barulah tempat yang dianggap strategik dijumpai. Kami terus memasang khemah dan menyediakan umpan bagi memulakan misi pemburuan. Saya memang gemar dengan kaedah "casting". Tidak kira ikan spesis apa, yang penting kaedah ini memang menjadi kegemaran saya. Lebih-lebih lagi bila ikan sebarau yang menyambar umpan. Terasa sesuatu yang menakjubkan tatkala ia menyambar gewang.


Petang itu, kemeriahan memang terasa di tempat kami memancing. Lauk untuk hidangan malam pastinya ikan baung rebus asam dan ikan sebarau panggang cecah dengan kicap bersulamkan cili api. Berbaloi rasanya berjalan jauh ke tengah hutan, mendapat tempat yang bagus dan dapat membaling gewang di celah-celah bongkah kayu hingga berjaya menaikkan sebarau seberat 1-2kg setiap seekor. Saya terasa bagaikan seorang penembak tepat!


Malam itu, hujan turun renyai-renyai. Kami berempat mengambil keputusan untuk berehat sahaja di dalam khemah. Namun salah seorang kawan saya, Asmadi, yang terkenal dengan gelaran "Madi Ayam", mengambil keputusan untuk memasang jerat bagi menangkap ayam hutan yang dikatakan banyak terdapat di situ. Lagi seorang, Aidil, bercadang untuk mengikut Madi memasang jerat. Shahril yang tidur di sebelah saya pula sudah lama berdengkur dibuai mimpi setelah membelasah tiga pinggan nasi panas akibat penangan baung masak asam.


Cuma saya yang terkebil-kebil sejak Madi dan Aidil meninggalkan khemah setengah jam yang lepas. Puas saya mengiring ke kiri dan kanan sambil memujuk mata ini supaya terpejam lena, namun tahap mengantuk saya masih lagi sifar. Akhirnya saya duduk bersila di dalam khemah sambil mata memandang cemburu ke arah Shahril yang tidur berdengkur sejak tadi. Rasanya kalau bom meletup pun, Shahril pasti tidak sedar akibat kekenyangan membaham baung masak asam tadi.


Sayup-sayup kedengaran di telinga, saya terdengar bunyi riuh rendah suara orang berbual-bual. Saya cuba pasang telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Sah, di luar kawasan khemah saya bagaikan ada keramaian yang sedang berlangsung dalam keadaan meriah. Suara budak berlari dan menjerit, suara wanita berbual sambil ketawa, semuanya jelas pada pendengaran saya. Saat itu juga, bulu roma saya meremang tegak di tengkuk. Darah saya bagaikan berhenti mengalir dan badan mula terasa seram sejuk.


Teragak-agak saya sama ada mahu keluar dari khemah atau duduk membatu di dalam. Saya perhatikan Shahril yang masih lagi tidur dengan nyenyaknya. Tidak teragak langsung untuk mengejutkannya untuk menemani saya keluar dan memeriksa apa yang sedang berlaku. Semuanya bagaikan kabur pada saya. Namun atas desakan naluri yang kuat, saya mengambil keputusan untuk keluar dan melihat.


Sebaik sahaja zip khemah saya dibuka, terbentang di hadapan saya satu pemandangan yang amat luar biasa. Saya kini berada di tepi khemah orang kahwin yang terhias cantik. Terdapat pelamin indah yang dihiasi dengan daun kelapa yang dianyam dan bunga-bunga segar berwarna merah dan kuning. Namun tempat duduk untuk makan di dalam khemah beratapkan nipah itu hanyalah bongkah kayu yang dipotong bulat. Budak-budak berumur lima atau enam tahun berlari-lari anak di dalam kawasan khemah dengan riangnya.


Assalamualaikum sahabat!” tiba-tiba bahu saya disapa lembut dari belakang. Saya sedikit terpinga-pinga. Huluran tangan seorang lelaki berjubah putih, bersarban kemas dan mukanya yang jernih saya sambut dengan jawapan salam. “Silakan nikmati makanan yang ada. Jangan risau. Semuanya halal dan berada dalam pemeliharaan Allah SWT...” kata lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya memegang tasbih yang sentiasa bergerak.


Jangan risau. Kamu dan kawan-kawan selamat di sini selagi tidak mengganggu kawasan kami...” terang lelaki itu lagi seolah-olah menjawab soalan yang terdetik di dalam hati saya. Saya dibawanya duduk di dalam kawasan khemah sambil menikmati nasi, lauk daging yang amat lazat rasanya berserta ulam-ulam hutan yang saya sendiri tidak kenal. Setelah perut terasa kenyang, barulah saya meminta diri untuk pulang.


Lelaki itu melepaskan saya setelah kami bersalam dan dia mendakap saya dengan erat. Bau lelaki itu sungguh wangi bagaikan memakai minyak atar. Saya melangkah pulang mengikut kabus yang datang tiba-tiba. Sebaik kabus menghilang, saya sudah berada di tepi kawasan khemah. Saya ternampak tiga orang sahabat saya sedang sibuk mencari sesuatu. “Korang cari apa?” tegur saya. Shahril yang melihat saya terus meluru lalu memeluk saya dengan matanya yang merah. Begitu juga dengan Madi dan Aidil. Mereka bagaikan sudah bertahun-tahun tidak berjumpa dengan saya!


Kenapa ni?” tanya saya. “Kau tahu berapa lama kau tinggalkan khemah ni?” tanya Madi. Saya menggeleng kepala. Seingat saya, mungkin tidak lebih satu jam. “Kau tahu dah pukul berapa sekarang?” asak Aidil pula. Saya masih menggeleng bagaikan orang mamai. “Dah pukul tiga petang Din. Mana kau pergi dari malam tadi?” sekali lagi Madi menyoal saya.

Sekali lagi saya terperanjat mendengar jawapan Madi. Khemah sudah dikemaskan. Begitu juga dengan barang-barang yang lain. Tidak sampai lima belas minit, kami sudah meninggalkan tempat sebarau dan baung itu. Hanya di dalam kereta, saya bercerita tentang pengalaman aneh yang saya alami. Sesungguhnya di dalam dunia yang nyata ini, masih ada lagi dunia ghaib yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang ‘terpilih’.


Wallahu'alam! Sekian terima kasih!

119 views0 comments

Recent Posts

See All

Bunyi Batu Dicampak Ke Tingkap Bilik Tidur

Assalamualaikum KC, Saya Rina. Saya ada pengalaman peribadi yang ingin saya kongsi bersama para pembaca blog Malam Seram. Saya tinggal di kawasan barat Singapura, berdekatan dengan Brickland Road. Kej

Mimpi Ditindih

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram, Nama saya Ilya. Saya pernah ditindih ketika mengalami demam panas. Elok-elok saya boleh tidur dalam bilik, sekarang saya sudah tidak berani tidur dalam

Suara Menggigil

Assalamualaikum KC, Saya berasal dari Perak, Malaysia. Nama saya Fiza, berumur 34 tahun sekarang. Peristiwa ini berlaku ketika umur saya enam belas tahun (Tingkatan 4) di salah sebuah sekolah asrama d