Assalamualaikum KC dan Geng Momok!
Saya Siti dari Toa Payoh, Singapura. Saya hendak menceritakan kisah tentang kemampuan saya yang memiliki Mata Batin atau pancaindera keenam. Ini bukan perkara yang biasa kerana tidak semua dikurniakan keistimewaan terbuka mata batinnya. Setiap orang ada mata batin tetapi tidak semua dapat dibuka hijabnya. Saya mendapat kurnia ini dari keturunan ibu saya yang berasal asli dari Jawa dan mempunyai keturunan kerajaan zaman dahulu iaitu keturunan Kerajaan Majapahit.
Pada waktu saya masih di sekolah rendah, lebih tepat lagi, sewaktu berada dalam darjah satu saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ketika darjah tiga, ibu dan bapa saya baru saja menjual rumah kami dan kami terpaksa tinggal bersama datuk dan nenek buat sementara di Bedok North.
Pada satu malam saya terbangun dari tidur kerana hendak menyahut seruan alam untuk membuang air kecil. Jika hendak menuju ke dapur saya harus melewati bilik nenek saya. Nenek seorang yang suka berjimat serba-serbi, jadi satu rumah gelap, termasuk tandas. Ketika saya hendak menuju ke tandas, saya tergerak hati untuk mengintai bilik nenek. Tak tahulah kenapa. Alangkah terperanjatnya, saya ternampak dua makhluk putih berbentuk gula-gula atau kita kenali sebagai makhluk Pocong! Satu sedang baring di samping nenek dan lagi satu di kolong katil. Setelah melihat benda itu, saya lari lintang-pukang masuk ke dalam bilik. Bayangkan budak yang baru berusia 9 tahun ternampak pocong. Pada sebelah paginya, nenek memberitahu ibu bahawa ada orang telah menarik kakinya hingga ada kesan lebam. Jadi setelah nenek pergi ke pasar saya ceritakan apa yang saya lihat. Ibu hanya terdiam. Sejak itu saya tidak mahu mengintai ke dalam bilik nenek lagi.
Keluarga saya seramai empat adik-beradik dan saya merupakan anak yang kedua. Hanya saya yang boleh melihat "mereka", termasuk ibu. Arwah datuk, ayah dan ibu pernah mengatakan yang saya seorang anak yang istimewa. Arwah datuk yang membantu menutup mata batin saya kerana bila saya dapat melihat, saya akan jatuh sakit demam panas. Jadi arwah datuk tutup mata batin namun ia hanya sementara sahaja dan akan terbuka kembali bila saya dewasa. Apabila saya berusia lapan belas tahun, ia terbuka kembali secara alami.
Mungkin ramai yang iri akan kemampuan yang kami meliki. Mempunyai kelebihan ini tidaklah semudah itu. Susah hendak tidur dengan nyenyak. Setiap malam ada saja yang datang mengganggu. Ada satu malam saya sedang membuat kerja sekolah di ruang tamu. Saya seorang yang tidak suka membuat kerja di meja malah suka berbaring di lantai. Sewaktu saya bergolek untuk meleraikan otot yang tegang saya ternampak. Ada benda putih sedang berada di posisi menyangkung di depan pintu bilik ibu saya. Ia memandang ke dalam bilik ibu seakan-akan sedang melihat ibu yang sedang tidur.
Setelah melihat benda itu, mulut ini terasa berat untuk membaca doa. Tak tahulah, macam benda itu mengunci mulut dan serabutkan fikiran saya agar saya tidak dapat membaca doa. Hendak membaca surah Al-Fatihah sampai tersasul membaca doa makan. Jadi pada masa itu saya cuba berfikiran positif. Mungkin itu bantal yang berbentuk gulung. Jadi saya tidak terfikir benda yang lain. Keesokan harinya saya demam selama tiga hari tiga malam. Saya memberitahu ibu apa yang saya lihat. Sejak hari itu, ibu mengajar saya doa and dzikir agar dapat menghilangkan rasa takut ketika menghadapi benda-benda ghaib.
Sampai sekarang saya masih belajar mengawal penglihatan saya dan cuba sentiasa kuatkan tahap keimanan saya. Kadangkala saya akan ternampak Kakak Cantik atas pokok atau sosok kepala menjenguk di luar tingkap dapur. Adakalanya juga saya akan terlihat makhluk Pocong di celah-celah semak-samun. Sekiranya kelas saya habis lewat, saya akan meminta abang saya menjemput saya di pusat pertukaran bas. Boleh dikatakan kebolehan ini merupakan satu hikmah dan mungkin juga satu sumpahan.
Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya...
Comments