Kisah kedua
Tak lama selepas insiden di rumah kakak saya, saya dan kakak saya pergi bercuti ke Cherating, Pahang. Saya, kakak, abang ipar, anak-anak kakak saya serta beberapa teman abang ipar saya pergi dengan menaiki satu van dan dua buah kereta. Kami bergerak pada sebelah malam dari Johor Bahru, jadi kami sampai ke Cherating awal pagi sekitar pukul 3 lebih pagi.
Sampai di Cherating kami beramai-ramai terpaksa tidur di tepi pantai sebab semua chalet di sana belum boleh kami masuk kerana waktu kami dibenarkan masuk selepas pukul 2 petang, setelah bilik-bilik dibersihkan. Jadi ada di antara kami yang ambil tikar dan bentang di luar sambil berbaring. Kami memang tidak rasa takut atau kekok sebab di tepi pantai ramai lagi yang dirikan khemah serta berkelah. Nasib baik ada juga satu tempat yang sesuai yang dapat memuatkan kami yang agak ramai.
Sampai di sana, ada satu pasangan, iaitu kawan abang ipar saya, mereka pergi ke persisiran pantai. Bila saya nampak mereka pergi, saya pun curi-curi ikut mereka dari belakang. Saya memang pantang nampak laut. Suka sangat dengan pemandangan di pantai. Sambil dengar deruan ombak, sambil menikmati angin sepoi-sepoi bahasa. Seronok dan ada perasaan tenang yang sangat menggembirakan kalau duduk di tepi pantai.
Dalam separuh perjalanan saya ke persisiran pantai, saya nampak pasangan tadi patah balik semula. Namun saya tetap meneruskan perjalanan, sampaikan kami berselisih. Mereka sempat bertanya saya, “Kau nak ke mana Dik?” Saya pun menjawab, “Dapat letak kaki kat gigi air jadilah...” Kawan abang ipar saya membalas, “Baik kau patah balik Dik, kau tak nampak tu apa?”
Saya menoleh ke arah yang dimaksudkan tadi. Dalam jarak 20 meter, saya ternampak sosok seorang perempuan duduk di atas dahan pohon yang dah tumbang. Saya hanya senyum sahaja. “Dia tu kenapa? Putus cinta ke duduk seorang diri kat situ?” Kawan abang ipar saya membalas lagi, “Aku tak rasa itu orang, dahlah Dik kau patah balik je...” Saya hanya tergelak kecil. Sebab saya memang susah hendak percaya benda-benda karut sebegini. Saya pun tak endahkan dan teruskan perjalanan.
Untuk pengetahuan semua, mata saya agak rabun dan saya pula jenis tak suka pakai cermin mata. Entah kenapa saya meneruskan perjalanan dan kaki saya melangkah terus menuju ke arah perempuan tersebut. Sampailah jarak antara kami hanya berbaki 5 meter. Memang dekat. Perempuan tersebut duduk membelakangkan saya. Niat hati saya memang hendak menyapa perempuan tersebut. Saya lihat kiri dan kanan, tengok mana tahu ada saudara-maranya yang berdekatan dengannya. Memang tidak ada orang.
Jarak saya dan van yang kami naiki tadi dalam lebih kurang 200 meter. Jadi saya pun teruskan melangkah untuk menyapa perempuan tersebut. Tiba-tiba saya baru terperasan rambut perempuan itu sangat panjang sehingga meleret ke tanah pasir pantai dan rambut perempuan itu seolah-olah tak terurus dan kusut masai. Masa itu barulah saya sedar, yang duduk di depan saya memang bukan manusia. Saya terus patah balik dan berjalan dengan laju menuju ke arah van.
Dalam perjalanan pulang ke van, saya dengar dengan jelas dari arah belakang saya dia mengilai, dari suaranya perlahan sehingga saya rasakan dia berada betul-betul di sebelah saya. Saya berlari sambil pejamkan mata. Sehinggakan saya terjatuh, saya tidak mampu bangun tapi terus merangkak. Sampai kepala saya terhantuk di bahagian hadapan van baru suara mengilai tersebut hilang. Kakak saya terus mendapatkan saya dan bertanya kenapa saya berlari sambil tutup mata? Saya memberitahu kakak saya, saya rasa ada hantu kejar saya. Kakak saya terus mengarahkan saya berehat di dalam van. Dek kerana kepenatan berlari, saya terus terlena sehingga saya dikejutkan dengan silau matahari pagi. Selepas bangun saya tidak tunggu lama, terus berlari masuk ke dalam laut!
Saya ada banyak lagi kisah menarik tapi setelah beberapa pengalaman susulan, saya rasa macam dah terbiasa. Makhluk halus ini selalunya saya tidak pernah nampak dengan jelas kerana masalah rabun mata. Saya selalu nampak makhluk halus ini secara kelam dan samar-samar saja. Kadang ternampak melalui ekor mata. Susah nak nampak secara depan mata dan belum pernah lagi mereka datang dan terjah di hadapan muka. Sebenarnya mereka pun besar kemungkinan tidak tahu manusia yang ada "Mata Ketiga" ini melainkan kami betul-betul merenung ke arah mereka.
Itu saja pengalaman saya. Terima kasih banyak-banyak!
Suzy Sulaiman
Comments