top of page
Search

Mata "Ketiga" (Bahagian Pertama)

Assalamualaikum KC,


Nama saya Suzy, saya peminat rancangan kelolaan KC dari tahun 2006 / 2007. Saya berasal dari Skudai Johor. Saya nak bercerita tentang apa yang dikenali sebagai Mata "Ketiga" dan bagaimana saya dikurniakan dengan perkara ini.


Pengalaman ini berlaku semasa saya berumur 18 tahun. Memandangkan saya anak kedua bongsu, maka hanya saya, adik, ayah dan ibu yang duduk menetap di dalam rumah kami, Adik-beradik yang lain ada yang dah berumahtangga dan ada yang tinggal di asrama universiti masing-masing.


Ibu saya seorang yang penakut. Jadi bila malam tiba dan dia mahu buang air kecil, dia akan kejutkan saya. Pada satu malam saya terlampau mengantuk bila ibu macam biasa mengejutkan saya untuk menemani dia ke bilik air. Rumah kami taklah besar mana, rumah teres dua bilik saja. Tapi pada malam itu saya mengeluh lalu saya telah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya saya katakan terhadap ibu saya.


Saya cakap pada ibu, “Alah ibu ni, kalau ternampak hantu tu pejam jelah mata, apa susah?” tanpa memikirkan akibat dari saya berkata demikian. Secara jujurnya selama 18 tahun saya hidup, saya tak pernah melihat entiti / makhlus halus. Bagi saya mereka yang bercerita tentang hantu, jin dan makhluk halus cuma sengaja mengada-adakan cerita. Mungkin akibat kata-kata yang terkeluar dari mulut saya itu, semenjak itu saya rasa hijab mata saya telah Allah bukakan.


Kisah Pertama


Pada satu malam yang lainnya, sinaran cahaya lampu di taman kawasan perumahan saya tiba-tiba mati. Waktu yang terjadi itu lebih kurang pukul 9 malam. Saya ambil keputusan untuk lepak di rumah kakak saya yang tinggal tidak berapa jauh, sekitar lima minit berjalan kaki. Sampai di rumah kakak saya, anak-anak kakak sedang bermain depan garaj kereta, maklumlah budak-budak ni memang suka kalau satu taman atau kawasan perumahan terputus bekalan elektrik. Mereka duduk luar dan bermain sebab di dalam rumah terasa bahang dan panas.


Kakak saya bila ternampak saya datang, terus dia berkata, “Haaa, eloklah kau datang. Uda nak pergi kedai nak beli lilin kejap. Kau tengok-tengokkan anak Uda eh...” Saya pun tak cakap banyak dan bersetuju saja. Sebab kedai pun tidak jauh. Setakat perhatikan anak-anak buah saya bermain di garaj dan sekitar dalam kawasan pagar rumah. Saya pun masuk ke dalam rumah dan duduk di sofa depan pintu rumah. Sofa yang saya duduk itu menghadap ke bahagian televisyen dan sebelah kiri pintu rumah untuk keluar dan sebelah kanan dalam jarak dua meter, pintu untuk masuk ke dapur.


Pintu ke dapur tidak ada daun pintu, cuma bingkai pintu sahaja. Semasa saya masuk dan duduk di atas sofa, saya dah mula meremang tapi saya malas nak layan perasaan itu. Maklumlah, saya kurang percaya benda karut-karut sebegini. Tiba-tiba tekak saya terasa haus. Jadi saya ke dapur untuk ambil air di sana. Bila saya masuk dapur melepasi pintu, ada meja dan di atas meja biasanya kakak saya akan letakkan bekas menyimpan air suam dan cawan di atas satu dulang.


Selepas saya tuang air masak, mata saya tiba-tiba mengerling ke tepi dan terlihat ada kain yang terdapat pada bingkai pintu dapur. Kainnya berwarna putih dan dalam keadaan yang samar-samar itu ternampak macam ada bekas tanah pada kain itu. Sambil sebelah tangan pegang cawan dan minum air, sebelah tangan pula pergi mencapai kain itu dan pegang. Memang saya pegang kain itu. Bila saya pegang kain itu, merinding bulu tengkuk saya! Dalam hati berbisik juga, kenapa kakak aku letak kain yang buruk dan kotor dekat pintu? Kalau nak buat langsir, kenapa biarkan kain ini terjatuh dan tak diperbetulkan?


Selesai minum air, saya duduk semula di sofa sambil memerhatikan anak buah saya bermain di dalam kawasan pagar rumah. Tapi hati masih tak sedap. Lat beberapa minit, kakak saya sampai rumah sambil membawa lilin dan terus serta-merta lampu rumah ternyala seperti sediakala. Bila dah ada bekalan elektrik semula, saya pun terus bertanya berkenaan kain putih yangg kotor tersangkut dekat pintu dapur tadi, “Uda, kenapa sangkut langsir buruk kat ….” Semasa saya menoleh, kain yang saya pegang awal tadi sudah tidak ada. Saya tak sempat nak habiskan soalan saya sebab kain yang saya maksudkan itu ghaib entah ke mana. Saya terus bangun dan berlari ke dapur melihat bahagian belakang dinding mana tahu kot-kot terjatuh dan meleret ke belakang. Kain itu langsung tidak ada!


Kakak saya dengan kehairanan berkata “Kau ni, aku dah lama duduk sini kau pernah nampak ke aku sangkut langsir kat pintu dapur tu?” Saya masih berdiri di antara bahagian dapur dan depan, sambil jari saya menunjuk dan tegas berkata memang ada sebab saya pegang kain itu. Mustahil hilang dalam sekelip mata. Kakak saya terus tidak mengendahkan saya. Saya masih termenung berfikir. Ada betul juga kata kakak saya. Dia memang tak pernah gantung langsir di situ. Kain itu pun terlalu buruk untuk dijadikan langsir. Jadi, kain apa yang saya pegang tadi?


(Akhir Bahagian Pertama)

219 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page