Assalamualaikum KC,
Nama saya Amirul Andiq. Saya ingin berkongsi pengalaman saya dan teman-teman ketika memancing dan berkhemah di Pulau Ubin. Untuk mereka yang berada di luar Singapura, pulau ini terletak di bahagian Timur Laut Singapura dan merupakan di mana pengunjung beriadah seperti berbasikal, memancing dan membuat aktiviti trekking. Kami telah kunjungi salah satu kawasan di Pulau Ubin yang dinamakan Mamam Beach. Kami tidak pernah berkhemah dan memancing di kawasan tersebut jadi kami kurang pasti dengan persekitaran tersebut.
Setibanya kami di Mamam Beach, kami pun mula mendirikan khemah dan mula memancing. Waktu itu baru hendak masuk waktu Asar. Jadi kami semua tidak merasakan apa-apa yang menakutkan atau pelik. Setibanya waktu 12 tengah malam, satu persatu kawan saya mula masuk ke khemah untuk rehat dan tidur kerana terlampau penat memancing. Tinggal saya seorang yang masih memancing. Sedang saya memancing, saya mula rasa lapar.
Saya pun terus menghampiri unggun api yang terletak betul-betul di tepi khemah kami. Saya pun mengeluarkan sepaket mi Maggi perisa Tom Yam dan mula menghidupkan api untuk masak mi tersebut. Selesai masak, saya pun mula makan mi tersebut. Sedang saya makan, tiba-tiba saya terdengar seperti suara tangisan seorang wanita. Suara tangisan itu tidak kuat tapi sangat jelas!
Untuk pengetahuan semua, di kawasan Mamam Beach hanya saya dan teman-teman saja yang memancing dan berkhemah di situ. Kawasan Mamam juga merupakan hutan yang menghadap ke laut. Jadi, macam mana boleh ada suara perempuan menangis di tengah-tengah hutan padahal di situ tidak ada rumah langsung? Saya mula rasa meremang bulu roma tetapi kerana terlampau lapar, saya sambung makan dan cuba tidak menghiraukan suara tangisan itu.
Suara tangisan tersebut tiba-tiba menjadi semakin kuat seperti ia ingin saya tahu akan kehadirannya. Daripada khusyuk makan, saya pun batalkan niat tersebut lalu masuk ke dalam khemah. Saya baring di sebelah kawan saya dan mula membaca surah-surah suci dan meminta perlindungan dari Allah S.W.T. Kebetulan, salah seorang kawan saya belum tidur dan dia pun menegur saya kenapa dengan saya. Saya pun memberitahu beliau nanti bila semua dah bangun baru saya beritahu.
Pukul 4 lebih pagi, satu persatu kawan saya tersedar dari tidur dan kami beramai-ramai pun menyalakan sebatang rokok. Saya pun mula menceritakan apa yang berlaku. Ketika saya sedang bercerita, saya perasan salah seorang kawan saya asyik memerhatikan salah satu sudut di kawasan tandas. Tandas di Ubin pada waktu malam lampu tidak akan nyala kecuali kami menekan butang yang menyalakan tandas tersebut. Jadi tandas itu gelap dan terletak di depan hutan.
Saya tidak pasti apa yang kawan saya nampak tapi dalam keadaan gelap gelita di tandas tersebut, saya seperti ternampak seperti ada kain putih di depan tandas tersebut. Saya tidak pernah nampak perkara-perkara yang ganjil seperti ini jadi saya fikirkan yang ini semua imaginasi saya. Selesai menghisap rokok, kami semua pun masuk ke dalam khemah dan sambung tidur.
Bila matahari dah terbit, saya pun menghampiri teman saya yang mungkin ternampak sesuatu tadi dan bertanya kepada beliau apa yang dia nampak. Dia memberitahu saya yang dia ternampak Pontianak di depan tandas itu. Ternyata apa yang saya nampak itu benar dan bukan imaginasi saya. Pertama kali saya nampak! Bila kami semua sudah pulang ke rumah masing-masing, dua orang teman saya menghantar gambar yang menunjukkan di bahagian dada mereka terdapat cakaran yang panjang.
Itu sahaja kisah saya. Assalamualaikum dan selamat tengah malam!
Comments