top of page
Search

Memancing Di Taman Rimba Templer Park

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Saya salah seorang peminat Malam Seram berasal dari Malaysia. Nama saya Farez, tinggal di Gombak, Selangor. Cerita yang saya hendak kongsi mengisahkan saya dan kawan-kawan yang pergi memancing pada waktu malam. Biasalah bila dah jiwa memancing, sesiapapun tidak kisah waktunya. Malam atau pagi tidak kisah, yang penting nafsu memancing terasa puas.


Boleh dikatakan dalam seminggu, kami akan pergi memancing dua kali. Biasanya pada hujung minggu untuk manfaatkan waktu cuti. Maklumlah saya bujang lagi. Nak dijadikan cerita, minggu kejadian yang berlaku kepada kami, saya dan kawan-kawan dalam empat orang punya rancangan untuk memancing pada waktu malam. Kami memang tak minat memancing di kolam dan lebih suka memancing di sungai. Kami biasa memancing di sungai pada siang hari dan bukan pada sebelah malam. Tiba-tiba kawan saya rancang memancing di tempat sama tapi pada waktu malam. Saya okay saja, yang penting dapat memancing.


Kalau pembaca blog Malam Seram tahu nama tempat ini di kawasan Gombak (Taman Rimba Templer Park) mesti cukup tahu keadaan di tempat ini. Saya dan kawan menaiki motor dari rumah. Bayangkan naik motor menuju ke kawasan memancing, di kiri dan kanan kami hutan. Nak diikutkan memang tak berani nak memancing waktu malam di situ tapi kami tahu ada pegawai ranger hutan. Sekurang-kurangnya lega sedikit bila tahu ada manusia lain yang berada di sekeliling kita, walaupun kami tak pasti di mana pegawai itu berada.


Perjalanan dari tempat meletak motor masuk ke kawasan sungai, kami harus merentasi hutan dan perjalanan memakan masa lebih kurang lima hingga sepuluh minit. Bunyi arus sungai dah kedengaran seolah-olah memanggil kami ke sana, boleh dikatakan raut muka masing-masing seperti tidak sabar hendak memancing. Ada seorang kawan saya kelihatan seperti lain macam gerak-gerinya dari tadi. Saya pun bertanya kenapa dia diam sahaja dan samada dia ok atau tidak. Dia berkata yang dia ok sahaja.


Jalan punya jalan, tiba-tiba kaki kawan saya yang satu ini terkena gigitan serangga. Dia mengadu kesakitan. Saya pun suluhlah nak tengok kakinya. Kelihatan banyak semut sedang mengelilingi kakinya. Dia pun melompat sambil hentakkan kaki supaya semut jatuh dari kaki. Sedang dia melompat atas tanah, tiba-tiba beralih dan berdiri atas sebuah batu yang besar. Kawan-kawan yang lain pula yang berteriak, "Ya Allah!". Rupanya dia berdiri atas sebuah kubur. Hanya ada satu kubur saja dalam hutan ni. Dia pun terus lompat ke arah kami.


Kami selalu sangat memancing di sini tetapi tidak pernah nampak atau terserempak dengan kubur yang satu ini. Kami cuba berfikiran positif walaupun sedang dalam ketakutan. Kawan saya yang sedang sakit dek terkena gigitan semut terus hilang sakitnya. Kami pun sambung berjalan sambil mulut terkumat-kamit membaca surah-surah suci yang kami tahu. Sampai saja di tepi sungai, semua tertanya-tanya tentang hal tadi. Kami kuatkan semangat dan anggap seperti tiada apa-apa yang aneh berlaku pada awalnya. Semua mula buka dan tebar joran masing-masing.


Setelah selesai, saya dan seorang lagi kawan bernama Syafiq buat keputusan untuk mencari pegawai ranger untuk memberitahu yang kami semua hendak memancing. Jalan punya jalan tanpa diduga, saya terpijak selut sampai seluar saya kotor sedikit. Saya dengan Syafiq pun pergi ke tepi sungai hendak bersihkan seluar di bahagian pergelangan kaki. Tak jauh dari kami kelihatan sebuah palong air yang besar.


Sedang mata saya melilau memandang sekeliling kawasan itum dengan secara tidak sengaja Saya terpandang sesuatu sedang duduk di atas palong itu. Saya jadi terkaku sekejap. Syafiq berada di belakang beberapa tapak. Saya nampak yang duduk di atas palong itu merupakan sosok tubuh seorang perempuan berbaju putih, mukanya tidak kelihatan sebab rambutnya menghalang. Astagfirullah! Saya tak jadi hendak basuh kaki tapi hendak patah balik rasanya macam tidak boleh.


Tiba-tiba Syafiq menghalakan lampu suluh ke arah palong itu sambil bertanya, "Apa tu?" Saya berkata padanya jangan pandang dan jangan suluh, tunduk saja. Saya macam nak lari tapi saya rasa takut. Saya terus membaca Ayatul Kursi sambil gerakkan kaki perlahan-lahan. Patah balik pergi dekat kawan yang lagi dua orang. Saya pun ajak mereka beredar. Mereka hairan dan bertanya kenapa, saya kata saya akan ceritakan apabila kami duduk rehat seketika di tempat kawasan rehat atau kedai makan berdekatan. Berhenti di kedai makan baru saya bentangkan cerita. Memang serik lah nak pergi memancing pada waktu malam lagi. Nasib benda yang saya nampak itu tidak mengekori kami pulang.


Terima kasih KC dan Selamat Malam Seram!

854 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page