top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Menangis Di Luar Tingkap!

Assalamualaikum KC,


Nama saya Shahrul. Kisah yang ingin saya ceritakan berlaku lebih dari sepuluh tahun yang lalu, saya pun sudah tidak berapa ingat. Saya tinggal di kawasan Simei, Singapura. Waktu itu, saya berumur 17 tahun dan kejadian terjadi sewaktu jam menunjukkan sekitar pukul 11 lebih malam. Saya masih ingat lagi bahawa ketika itu, saya sedang bermain dengan permainan video PS3 saya bersama rakan-rakan sekolah saya menerusi wadah dalam talian.


Saya seorang diri di rumah. Abang dan kakak kerja malam, begitu juga dengan bapak saya. Ibu pula baru habis syif bekerja, jadi sementara menunggunya pulang, saya luangkan masa dengan bermain permainan video PS3. Ibu pulang agak lewat pada malam itu kerana setelah tamat syif bekerja, dia telah menemani rakan kerjanya pergi ke Geylang Serai untuk membeli-belah dan makan malam bersama.


Sedang asyik bermain permainan video PS3 dengan rakan-rakan saya, tiba-tiba saya terdengar ada bunyi suara seorang perempuan sedang menangis di luar tingkap. Saya pun tidak terfikir apa-apa. Sangkaan saya mungkin ada jiran di sebelah atas atau bawah yang dalam kesedihan ataupun baru bertengkar dengan anggota keluarga masing-masing.


Namun, semakin lama semakin kuat bunyi suara perempuan yang sedang menangis itu, sampai saya mula rasa takut kerana suara itu begitu kuat seperti perempuan itu betul-betul berada di luar tingkap saya! Ia sesuatu yang amat mustahil sebab rumah saya paling tinggi di tingkat sebelas dan di luar hanya tempat untuk meletakkan mesin alat pendingin hawa.


Saya pun mula berdiri, mula berjalan ke tingkap untuk tarik langsir yang sedang menutup tingkap bilik saya untuk melihat siapa yang sedang menangis tetapi... Astaghfirullah... Apabila saya sudah dekat dengan tingkap dan hampir menarik langsir, pagar besi tingkap mula bergerak dan berbunyi seperti ada orang yang sedang cuba untuk membuka dan masuk ke dalam bilik saya!


Saya dengan rasa amat takut terus memadamkam alat permainan video PS3 saya, bergegas keluar dari rumah dan terus pergi ke tingkat satu. Bila saya berjalan di depan blok saya dan saya toleh untuk melihat ke atas tingkap rumah saya, saya ternampak ada sosok wanita berpakaian putih sedang duduk di atas mesin alat pendingin hawa betul-betul di luar tingkap bilik saya!


Saya terus berlari ke arah kedai 7-11 berdekatan dan menunggu ibu pulang. Mujur apabila saya pulang ke rumah, benda itu sudah hilang dari pandangan.


Terima kasih dan selamat malam!

1,216 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page