top of page
Search

Mendapat Alamat Menerusi Khayalan...

Assalamualaikum KC,

Nama saya Zainuddin ataupun di kenali dengan nama Din, berasal dari Terengganu, Malaysia. Kisah ini berlaku lebih kurang dua belas tahun yang lalu. Ketika itu saya masih lagi belajar di sebuah kolej di Terengganu. Sebelum saya ceritakan kisah ini, saya bagi tahu dahulu tentang diri saya. Dari kecil lagi saya sering ternampak benda-benda halus. Namun kebiasaannya yang saya nampak, tidak pernah saya nampak wajahnya.


Berbalik kepada kisah yang ingin saya ceritakan ini, saya dan kawan-kawan pergi ke sebuah tempat peranginan iaitu di Air Terjun Sekayu yang terletak di kawasan Terengganu. Biasalah, jika cuti hujung minggu, saya dan kawan-kawan yang lain tidak pulang ke kampung halaman melainkan ada cuti panjang. Kami pergi ke air terjun ini lebih kurang seramai dua puluh orang. Setibanya di sana, kami memunggah barang-barang makanan menuju ke tempat yang lebih strategik.


Namun ketika melangkah menuju ke destinasi, saya dan seorang lagi rakan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kawasan air terjun ini. Terasa seram sejuk dan seolah-olah merasakan menuju ke tempat yang terdapat bahaya yang tersembunyi.

Saya: "Zaki, aku rasa macam tak sedap hati lah tempat ni. Rasa macam ada sesuatu yang buruk..."


Zaki: "Ahh ahh... Betul lah, aku pun rasa macam tu. Lepas tu macamana? Kita dah sampai sini, takkan nak balik"


Saya: "Takpelah, kita teruskan sajalah. Tapi aku tak nak mandi. Kau macamana?"


Zaki: "Aku pun tak nak mandi lah kat sini, rasa lain macam saja tempat ni..."


Pada hari itu, saya dan Zaki tidak mandi di Air Terjun Sekayu itu. Kami berdua hanya duduk berborak, makan, dan melihat kawan-kawan yang lain bersuka-ria. Setelah puas bermain air, kami semua mengemas barang-barang yang dibawa dan bersiap untuk pulang ke rumah sewa kami. Kami sampai di rumah sewa selepas waktu Maghrib, lebih kurang jam 8 malam.

Malam itu, mungkin disebabkan kepenatan, kawan-kawan yang lain di rumah sewa semuanya tidur awal. Namun saya dan Zaki masih tidak dapat melelapkan mata. Jam dinding sudah menunjukkan hampir jam 12 tengah malam. Kami masih lagi berbual-bual. Tiba-tiba, Zaki terdiam dan tidak bercakap. Hanya duduk bersila sambil memejamkan mata.


Saya: "Zaki... Zaki... Kenapa dengan engkau ni? Diam je?"


Zaki masih lagi terdiam namun memandang ke arah saya. Secara tiba-tiba, terasa bagaikan ada angin sejuk menyusup masuk ke dalam bilik, membuatkan bulu roma saya berdiri. Seperti sedang berkhayal, saya ternampak dengan jelas seorang gadis seperti mayat yang telah lama terendam air dengan wajah dan kulitnya tercabit-cabit, duduk di atas satu batu berhampiran air terjun. Tangan kanannya menghulur ke arah saya seperti sedang meminta tolong.


Sukar untuk saya jelaskan bagaimana saya nampak gadis ini, tapi ibarat macam saya sedang berkhayal dan melihat tempat yang jauh walaupun saya sebenarnya berada di dalam bilik di rumah sewa. Gadis itu memberitahu saya yang dia mati dibunuh. Dia juga menggambarkan bagaimana cara dia dibunuh iaitu terdapat satu tangan yang berbulu menolaknya masuk ke dalam air terjun. Gadis itu juga memberitahu bahawa ketika dia ditolak jatuh, sebenarnya dia dalam keadaan hamil tiga bulan. Gadis itu datang ke rumah sewa kami kerana mengikut seorang lagi kawan saya yang bernama Saiful. Saiful pada ketika ini sedang nyenyak tidur di bilik yang lain.


Pada malam itu, saya dan Zaki didatangi pelbagai lagi makhluk lain. Antaranya ada yang menjenguk dari bumbung rumah. Yang paling menyeramkan, seorang wanita berpakaian hitam duduk bersimpuh dengan rambut yang panjang menutupi wajahnya dan terseret ke lantai. Kukunya panjang, makhluk ini mengesot badannya menuju ke arah saya dan Zaki. Ia mengesot badan dengan menggunakan kukunya yang panjang dan engeluarkan bunyi cakaran pada lantai.


Setelah saya tidak tahan lagi dengan penampakan ini, saya kemudiannya berdoa. "Ya Allah... Kau bantulah hambamu yang lemah ini. Aku sudah tidak sanggup lagi melihat makhluk-makhluk ini..." Kemudian, muncul seorang lelaki tua berpakaian serba putih dan memakai sarban. Janggutnya juga putih tapi tidak terlalu panjang. Tangan kanannya emegang tasbih. Kemudian lelaki ini tersenyum dan hilang bersama semua makhluk yang muncul dari awal tadi. Saya dan Zaki menarik nafas lega dan bersyukur kerana kami telah dibebaskan dari dugaan ini. Semua ini berlaku seperti sedang mengelamun ataupun berkhayal.


Keesokan harinya, saya dan Zaki bertanya kepada Saiful jika ada beliau bermimpi bertemu seorang gadis di Air Terjun Sekayu untuk memastikan adakah malam tadi saya dan Zaki hanya berkhayal ataupun perkara ini benar-benar terjadi. Sangat mengejutkan sebab Saiful menjawab ada, dia ada bermimpi.


Saya: "Saiful, malam tadi ada tak kau mimpi jumpa seorang perempuan di Air Terjun? Dia berambut pendek lebih kurang paras bahu?"


Saiful: "Eh! Betullah, aku mimpi. Aku terjun ke dalam air tu kemudian ketika timbul di permukaan, aku ternampak seorang gadis duduk di atas batu sambil memandang aku. Kemudian aku terjaga dari tidur. Macamana kau boleh tahu mimpi aku?"


Saya: "Tak ada apa-apalah, saja je aku tanya..."


Bagaimana? Adakah apa yang saya nampak pada malam itu adalah khayalan saya semata-mata ataupun benar-benar terjadi? Wallahua'lam...


Terima kasih sebab ketengahkan kisah saya walaupun tidaklah seram. Namun yang masih menghantui saya sehingga kini, siapakah pakcik yang berpakaian serba putih memegang tasbih pada malam itu?


Wassalam...

192 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page