top of page
Search

Mimpi Ditindih

Assalamualaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,

Nama saya Ilya. Saya pernah ditindih ketika mengalami demam panas. Elok-elok saya boleh tidur dalam bilik, sekarang saya sudah tidak berani tidur dalam bilik sendiri. Yang saya ingat waktu itu saya bermimpi dan dalam mimpi itu, saya ternampak ada seseorang sedang mengintai-intai saya sambil tersenyum, seolah-olah seperti bermain sembunyi-sembunyi. Mukanya amat menyeramkan dengan muka terkopek dan berdarah-darah.


Dia terus datang menghampiri saya dan menindih saya. Saya cuba berusaha untuk bangun waktu itu. Di dalam mimpi saya cuma mampu berkata, "ALLAHU AKBAR!" banyak kali. Selepas saya tersedar dari tidur, badan saya terasa sakit. Pinggang saya terutama sekalinya terasa amat sakit. Saya lihat jam, rupanya baru pukul 2 pagi. Belakang badan saya terlalu sakit, jadi saya gagahkan diri dan pergi ke bilik nenek.


Saya memberitahu nenek saya badan saya terasa sakit, tetapi nenek saya buat tidak tahu, mungkin sebab dia terlalu mengantuk. Saya tengok dekat ruang tamu, saya nampak ayah masih terjaga lagi menonton televisyen. Saya memberitahu ayah bahawa belakang saya sakit seperti terkena hempap. Waktu itu saya dah mula menangis kerana demam dan sakit belakang. Saya beritahu ayah saya sambil menangis dan ayah tolong sapukan ubat dan membaca Ayat Kursi.


Sakit itu makin bertambah. Ayah yang gelarkan saya dengan panggilan "Adik" berkata, "Kau ada pergi mendaki ke sebelum ni, Adik? Ke ada orang cuba nak kenakan Adik?" Macam-macam tanggapan ayah ketika itu. Setelah usai, saya masuk bilik dengan mengusap air mata. Dengan badan sakit, saya cuba untuk tidur semula. Saya pusing ke kiri dan ke kanan kerana rasa serba tidak kena kerana sakit belakang. Waktu itu saya rasakan bilik saya tiba-tiba seperti kesunyian.


Kemudian saya terdengar cermin tingkap saya berbunyi seperti setelah kita basuh pinggan dan kita gunakan jari untuk pastikan kotorannya sudah hilang seperti dalam iklan sabun basuh pinggan dulu-dulu. Begitulah bunyi yang kedengaran pada cermin tingkap saya. Selepas itu, saya membaca Ayat Kursi dan cuba pejam mata tetapi masih tidak boleh. Saya pergi ke bilik nenek saya semula.


Kerana saya menangis, baru nenek saya terbangun. Saya cerita kan pada nenek badan saya sakit dan episod bunyi yang kedengaran pada cermin tingkap tadi bilik pada awalnya. Saya suruh nenek saya baca ayat-ayat suci yang dia tahu pada belakang badan saya. Nenek saya tidak mengurut, dia cuma sentuh saja badan saya sedikit dan baca ayat-ayat suci, terus elok semula badan saya! Alhamdulillah mujarab kaedah yang nenek saya lakukan. Dari situ saya dah takut untuk tidur dalam bilik saya dan tidur bersama-sama dengan nenek.


Sekian terima kasih!

452 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page