top of page
Search

Misteri Bunyi Tapak Kaki Dalam Rumah...

Assalamualaikum KC,


Harap dapat rahsiakan nama saya. Saya berasal dari Bagan Serai, Perak. Cerita yang ingin saya kongsikan ini berlaku semasa saya masih di sekolah rendah. Apa yang anehnya, cerita seram ini berlaku semasa bulan Ramadhan.
Ceritanya begini. Selepas sahur, ibu dan ayah saya akan ke surau yang terletak tidak jauh dari rumah. Saya pula hanya bersolat secara bersendirian di rumah. Di sinilah bermulanya cerita seram itu. Untuk pengetahuan semua, rumah saya merupakan jenis teres dua tingkat. Semasa kejadian, hanya saya seorang sahaja di bawah manakala adik-beradik saya masih tidur di tingkat dua. 

Selepas saya solat, sambil saya baring-baring dan berangan, saya perasan seperti bunyi pintu utama dipulas. Dalam fikiran saya ketika itu mungkin ibu atau ayah saya yang pulang, tetapi saya pelik kerana tiada salam diberi seperti kebiasaan. Kemudian, saya terdengar bunyi selipar yang dipakai dalam rumah menapak masuk dari pintu utama hingga ke dapur. Untuk menuju ke dapur, seseorang pasti akan melalui depan bilik solat dan sudah pastilah saya akan nampak siapa orangnya.
 Bunyi selipar itu sangat jelas melalui hadapan bilik solat, tetapi peliknya saya langsung tidak nampak sesiapa yang melalui hadapan bilik tersebut. 
Bunyi itu terus menuju ke dapur dan saya mendengar bunyi pinggan mangkuk dibasuh, air paip dipasang yang mana ini adalah kebiasaan ibu saya selepas balik dari surau. Bunyi pinggan mangkuk disusun di rak, cawan berlaga, sinki, semuanya saya dengar dengan jelas. 
Saya ketika itu, hilang kata-kata untuk memanggil "Ibu" kerana saya tahu itu bukan ibu saya. Pada masa yang sama, saya terdengar seseorang berjalan turun dari tangga dan menuju ke meja kerja berdekatan bilik solat tadi sambil memeriksa peralatan menulis. Saya cukup yakin itu adalah abang saya yang sedang bersiap untuk ke sekolah. Perasaan saya waktu itu memang cukup lega lalu saya pun memanggil nama abang saya.

Tetapi... Panggilan saya itu pun tidak disahut oleh sesiapa. Bunyi alat tulis yang diperiksa dalam bekas pensil itu pun seperti berhenti. Saya kembali takut waktu itu kerana untuk saya berlari keluar bilik dan menuju ke bilik tidur di tingkat atas pun hampir tidak mungkin untuk saya lakukan. 
Saya sebenarnya memang seorang yang penakut. Bila kejadian seperti ini berlaku, bertambahlah ketakutan saya. Akhir sekali, saya selimutkan badan dan kepala dengan sejadah untuk hilangkan rasa berdebar. Saya terus tertidur selepas itu. Apabila saya tanya abang saya pada sebelah petangnya, dia menafikan yang dia telah membelek-belek peralatan menulis di atas meja. Begitu juga adik-beradik yang lain. Ibu dan ayah pun pulang agak lewat sedikit dari surau. 
Jadi persoalannya, siapa yang berjalan di luar bilik solat pada awal pagi itu?
Sekian terima kasih kerana ketengahkan kisah saya!
773 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page