top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Misteri Di Masjid

Assalamualaikum KC,


Saya Mohd Jani dari Melaka. Sebelum saya teruskan kisah saya, di sini saya ingin mengatakan bahawa sebenarnya saya amat tidak setuju dengan kisah pengirim yang mengatakan bau makhluk halus, jin mahupun hantu berbau wangi seperti bunga cempaka dan kemboja. Tidak dinafikan kebanyakan cerita-cerita dan kisah-kisah itu hanya dibuat-buat sebab pengaruh dari filem seram di mana bila munculnya makhluk halus, akan ada bauan yang agak wangi.


Untuk pengetahuan semua, bau makhluk halus Jin ( termasuk Iblis dan hantu) tidak berbau wangi pun. Baunya busuk seperti kain buruk yang bercampur dengan air kopi basi, yang kita biarkan selama dua-tiga hari. Begitulah bau makhluk halus yang sebenar. Kalau anda duduk di tempat yang tidak ada bau busuk dan tiba-tiba ada bau busuk melintas, itulah bau makhluk halus. Bau wangi itu bau malaikat. Ni yang diajarkan oleh ustaz-ustaz kepada saya. Saya juga pernah alami kejadian bauan ini.

Pengalaman misteri yang pernah saya lalui sendiri terjadi pada tahun 2016 sewaktu saya bertugas. Ini bukan cerita hantu, tetapi cerita misteri yang benar terjadi. Saya bertugas sebagai penghantar surat di Melaka. Sebelum ini saya tiada masalah kalau sedang bertugas, tiba-tiba terpaksa menyahut seruan alam. Biasanya saya akan singgah di mana-mana masjid yang berderkatan untuk lepaskan hajat.


Satu hari semasa bertugas, tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Saya pun singgah di Masjid Al-Raudhah yang terletak di hujung kawasan Pasir Melaka. Dah dua kali saya pernah melapskan hajat di masjid ini yang berdekatan dengan kawasan bandar. Di sekeliling masjid ini ada sekolah agama dan kuil hindu. Tapi ia agak sunyi sedikit. Sebelum ini memang tidak ada apa-apa pun perkara yang aneh berlaku. Namun sesuatu terjadi pada kali ketiga saya singgah di masjid tersebut.


Sewaktu saya keluar dari tandas, saya terdengar bunyi suara ramai perempuan sedang ketawa dengan halus. Bukan sekali, tapi empat kali! Kedengaran ketawa kemudian berhenti, selepas itu sambung ketawa semula. Ramai pula! Dalam hati berkata, biasalah waktu tengahari sebegini mungkin ada orang sedang belajar mengaji agaknya. Saya pun gatal menjengah ke dalam masjid hendak lihat ada orang atau tidak. Alangkah terperanjatnya saya, di keliling kawasan luar dan dalam masjid itu tidak ada sesiapa pun melainkan saya seorang saja! Apa lagi, saya pun rasa tidak sedap hati lalu terus meninggalkan masjid itu. Selang beberapa minggu, saya menghantar surat di kawasan kampung berdekatan sekitar masjid tersebut. Alamat surat betul-betul bertentangan dengan masjid itu. Saya bagi salam dan memberi makcik yang menyambut kedatangan saya, dengan suratnya. Nak dijadikan cerita, saya pun mulalah menemuramah makcik tersebut dan bertanya sama ada masjid tersebut mempunyai sejarah atau tidak? Apabila makcik bertanya sejarah apa? Saya pun ceritakan tentang gangguan yang terkena pada saya tempoh hari. Makcik ini pun mula menceritakan...

"Bukan kau seorang saja yang kena. Dah ramai kena kacau..." Begitulah menurut makcik itu, apa yang diceritakan dari orang yang pernah terkena dan menceritakan pada beliau. Ustaz dan ustazah yang mengajar sesi petang tatkala berdiri seorang diri selepas melepasi pintu pagar sekolah, akan terdengar suara orang sedang berborak di sebelah tetapi tidak ada sesiapa pun di kawasan sekeliling. Namun suara berborak seperti berada di tepi saja. Bukan sekali, tetapi dah banyak kali berlaku. Sekolah itu juga bersebelahan dengan masjid. Pernah imam dan bilal masjid ternampak segerombolan jemaah berjubah hijau masuk ke dalam masjid sebelum waktu Maghrib. Mereka sangkakan itu jemaah Tabligh yang singgah untuk tunaikan solat. Bila bilal datang ke masjid untuk laungkan azan Maghrib sebab dah masuk waktu, bila beliau membuka pintu sorong masjid, dilihatnya tiada seseorang pun yang berada di dalam dewan solat!

Pernah juga seorang pekerja kilang yang baru balik pukul satu lebih pagi ternampak dan terdengar Talqin dibacakan di kawasan perkuburan yang terletak di belakang masjid berkenaan. Semua tetamu yang hadir berjubah hitam dengan berpayung duduk bersila di kawasan kubur. Bila dia bertanya kepada hadirin yang ada, siapa yang meninggal dunia? Mereka serentak menjawab, tiada sesiapa pun yang meninggal dunia! Kadangkala penduduk di sekitar kawasan masjid juga boleh terdengar suara sekumpulan lelaki ketawa di dalam masjid tersebut tetapi pada hakikatnya tiada orang di dalamnya. Inilah kisah saya dan sedikit maklumat dari cerita makcik itu. Maaf jika kisah saya ini bukan cerita hantu dan tak seram, namun cerita misteri yang saya sendiri masih mencari jawapan sebenar. Apakah sebenarnya yang berlaku? Apakah bunyi suara tersebut? Penampakan apakah yang pernah dialami penduduk kawasan tersebut? Sejak peristiwa itu saya sudah tidak berani lagi untuk singgah melepaskan hajat buang air kecil di masjid tersebut. Assalamualaikum dan selamat tengah malam...

854 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page