Salam KC,
Kisah ini berlaku kira-kira tiga belas tahun yang lalu. Waktu itu adik bongsu saya dimasukkan ke Hospital NUH di wad kanak-kanak untuk beberapa hari. Bagi yang tidak tahu tentang Hospital NUH di Singapura, wad untuk kanak-kanak terletak di bahagian bangunan yang paling hujung.
Saya dan suami bertugas pada waktu pejabat. Jadi kami hanya akan melawat adik setiap hari selepas pulang dari bertugas. Selalunya kami berdua akan pulang selepas pukul 10 malam atau mungkin lebih lewat sedikit. Pada waktu begitu lazimnya pegawai keselamatan akan datang membuat rondaan dan memberi kami ‘amaran’ terakhir agar kami bersedia untuk pulang kerana sudah waktunya untuk pesakit beristirehat.
Pada malam itu, kami pulang hampir 11.30 malam. Ini kerana malam itu adik saya merengek kesakitan jadi kami temankannya lebih lama sedikit sehingga dia tidur. Itu pun dengan keizinan abang pegawai keselamatan yang baik hati dan jururawat bertugas yang memahami keadaan kami masa itu.
Seperti yang saya katakan awal tadi, selalunya kami akan pulang lebih kurang jam 10 lebih malam. Waktu-waktu seperti itu akan ada ramai penjaga atau ahli keluarga pesakit yang berduyun pulang. Lagaknya ibarat kambing akan masuk ke kandang hehehe. Untuk ke lobi lif, kami perlu melalui beberapa wad lain dan juga sebuah taman permainan kanak-kanak. Oleh kerana ada ramai orang yang sama-sama berjalan menuju ke lobi lif, jadi tidak terasa sunyi.
Namun pada malam yang terjadinya hal misteri ini, hanya tinggal kami berdua saja yang berjalan sendirian di koridor yang panjang menuju ke lobi lif. Maklumlah kebanyakan pelawat sudah pulang kerana masa melawat sudah lama tamat. Jadi bayangkan, koridor itu panjang dan lurus. Dari pintu utama wad adik saya, kami boleh melihat sepanjang-panjang koridor hingga ke lobi lif. Kami berdua tidak terfikir perkara yang bukan-bukan waktu itu. Cuma suasana terasa sangat sunyi, ibarat boleh terdengar bunyi jarum jatuh ke lantai. Sambil berjalan, kami pun berbual kosong dengan nada suara yang perlahan seperti hampir berbisik agar tidak mengganggu pesakit-pesakit yang sedang berehat. Cukup sekadar untuk menghilangkan perasaan sunyi.
Saya mempunyai tabiat buruk. Bila bercakap, nada suara selalunya kuat seperti tertelan mikrofon. Sesekali saya menoleh ke belakang dengan harapan akan melihat kelibat jururawat, doktor atau paling tidak pegawai keselamatan atau pegawai administrasi menuju ke arah kami. Jadi tidak lah kami berdua bersendirian berjalan di situ. Sudah hampir separuh koridor kami berjalan tetapi tidak ada orang lain dari arah belakang mahupun di hadapan.
Kami pun akhirnya hampir tiba di lobi lif dan masih lagi sedang berbual kosong. Tinggal lebih kurang dua puluh tapak lagi sebelum kami perlu membelok ke kanan untuk berhadapan dengan lif. Tiba-tiba seorang nenek muncul di hadapan kami sambil tersenyum. Dia baru membelok ke kiri dari lobi lif menuju ke arah kami. Sepertinya dia baru keluar dari lif. Kami berdua tersentak dan berhenti berjalan seketika.
Dalam keadaan kami terhenti seketika itu, saya sempat memerhatikan nenek itu. Wajah beliau tidaklah menyeramkan. Dia agak pendek dan sedikit membongkok. Pakaiannya seperti nenek-nenek zaman 80an, mengenakan selendang panjang berwarna putih. Cara pakaian selendangnya itu; bahagian kanan selendang diselepangkan ke bahu kiri, bahagian kiri dilepaskan ke bawah di bahagian kiri tubuhnya. Bajunya kalau tidak silap, kain kasa rubiah berwarna putih dan berbunga kecil berwarna biru. Kainnya pula kain batik.
Bila melihat nenek itu tersenyum ke arah kami, kami pun membalas senyumannya. Dia berjalan ke arah kami dengan langkah yang kecil sambil tangan kirinya memegang pemegang bantuan (support railing) di dinding. Melihat dia berjalan begitu, kami pun memberi laluan kepadanya kerana suami saya berdiri berhadapan dengan nenek itu. Kasihan mungkin kakinya tidak kuat sebab itu dia memegang pemegang bantuan agar tidak jatuh.
Kemudian kami pun menyambung langkah. Apabila sampai di kawasan lobi lif, kami perlu membelok ke kanan untuk menekan butang lif. Saya ambil kesempatan untuk menoleh dan melihat nenek itu. Tersentak saya dibuatnya kerana dia tidak kelihatan di situ. Rupanya suami saya pun melakukan hal yang sama. Dengan tidak sengaja kami saling berpandangan. Lif pun tiba dengan iringan bunyi ‘tunggg’. Kami pun cepat-cepat masuk ke dalam lif dan turun ke bawah, tidak bercakap sepatah pun.
Kerana masih terperanjat, kami tidak segera pulang. Di aras bawah ada sebuah medan selera yang beroperasi 24 jam. Kami memesan minuman dan duduk sebentar. Keesokan harinya, barulah kami ‘membahaskan’ kejadian misteri semalaman.
Bayangkan, nenek itu tiba-tiba muncul dari arah lobi lif. Kami baru perasan yang sebelum kemunculan nenek di hadapan kami, kami tidak mendengar langsung bunyi lif yang tiba di aras yang sama. Sewaktu kami terhenti kerana tergamam nenek itu muncul, di sebelah kiri kami ada sebuah wad. Pintu utama wad itu pun tertutup. Jika ada seseorang yang ingin masuk dan berdiri di hadapan pintu, pintu otomatik itu akan mengeluarkan bunyi sambil terbuka. Jika nenek itu masuk ke dalam wad itu, sudah pasti kami boleh terdengar bunyi pintu utama wad terbuka walaupun kami sudah melangkah beberapa tapak. Kami juga baru terperasan, apabila nenek itu berjalan kami tidak mendengar bunyi langkah kakinya.
Nenek itu tiba-tiba ghaib dengan tidak ada kesan bunyi apa-apa pun. Bila difikirkan semula baru terasa yang senyuman nenek itu agak menyeramkan! Senyumannya melirik dan renungan matanya tajam ke arah kami. Mungkin kerana waktu itu kami tidak memikirkan hal negatif jadi kami tidak terasa takut. Yang paling utama, masa lawatan ketika itu sudah lama tamat. Nenek itu baru sampai dan hendak melawat siapa ya? Kwang Kwang Kwang…
Begitulah kisah kami yang tidak terlalu seram. Ianya kami anggap lebih kepada satu kejutan dan misteri. Walupun sudah tiga belas tahun berlalu, tapi masih boleh terbayang senyuman dan pandangan mata nenek itu…
Selamat bertugas KC...
Hozzászólások