top of page
Search

Momo Challenge Menjadi Mimpi Ngeri

Assalamualaikum KC dan para pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Syaf. Kisah ini terjadi pada tahun 2018, perkara yang amat menyeramkan berlaku kepada anak saudara saya yang ketika itu berumur enam tahun. Tidak silap saya, perkara ini berlaku pada sebuah hari Sabtu. Salah seorang makcik saya menganjurkan sebuah jamuan keramaian di rumahnya, di mana hanya keluarga terdekat sahaja dijemput untuk jamuan makan malam bersama. Saya ada dua orang anak saudara dan kedua-duanya adalah perempuan. Yang besar umurnya ketika itu sepuluh tahun dan yang kecil umurnya tujuh tahun.


Kepada yang membaca kisah saya ini, pernahkan anda dengar tentang "Momo Challenge" yang tular di ruang siber sedikit masa dahulu? Untuk pengetahun semua, ia adalah sebuah cabaran di mana pengguna laman sosial diberi nombor telefon yang panjang, selalunya bukan nombor di dalam negara sendiri, dan mereka dicabar untuk menelefon seseorang yang bernama "Momo". Selepas menelefon, "Momo" akan menghantar mesej di khidmat pesanan Whatsapp dan menyuruh pengguna itu untuk melakukan beberapa perkara yang membahayakan dan akan mengancam pengguna tersebut jikalau mereka gagal untuk melakukan cabaran-cabaran tersebut seperti mengancam membunuh keluarga pengguna itu.


Sememangnya cabaran ini mendatangkan kemudaratan kepada mereka-mereka yang turut serta. Ada artikel dalam talian yang melaporkan beberapa kes remaja di negara-negara Barat yang membunuh diri akibat terasa tertekan dan takut selepas melakukan cabaran ini. Muka si "Momo" ini juga amat menyeramkan. Tak perlulah saya kongsi gambaran mukanya. Bagi mereka yang ingin tahu boleh rujuk kepada enjin pencarian dalam talian.


Sewaktu acara di rumah makcik saya, anak saudara saya yang berumur sepuluh tahun mengajak adiknya menonton video reaksi kepada cabaran yang dimaksudkan di laman YouTube melalui TV yang terletak di ruang tamu. Kami yang lain berada di meja makan sedang berborak-borak. Apabila anak saudara saya yang berumur enam tahun terpekik kuat sekali seperti dalam histeria, kami semua yang berada di meja makan terus bangun dan bergegas ke ruang tamu. Saya lihat keadaan anak saudara saya, saya pun rasa seram sejuk. Air matanya jatuh tanpa henti sambil dia terpekik, "Stop it! Nanti dia datang! I don’t want to see her..."


Yang menyeramkan lagi, matanya memandang kepada persekitaran rumahnya seperti mencari-cari sesuatu. Ibunya mendukungnya dan mengusap belakangnya dengan harapan dapat menenangkannya. Ayahnya, yang merupakan sepupu saya, mengambil segelas air lalu membaca Ayat Kursi, sebelum menyuruhnya minum. Alhamdullillah, dia terus tertidur selepas itu. Kakaknya yang mukanya pucat lesi sebab terperanjat melihat adiknya, ditenangkan oleh saya dan adik saya.


Hari seterusnya, anak saudara saya ini terus demam dan muntah-muntah. Semenjak hari itu, anak saudara saya sering terbangun dari tidur menangis pada tengah malam. Bila ditanya kenapa oleh kedua ibu bapanya, dia hanya berkata yang dia rasa takut. Matanya akan merenung di daerah tingkap yang berada di sebelah katil mereka. Semua orang dalam keluarga ini diberi amaran untuk tidak menyebutkan nama "Momo". Bila terdengar nama itu, dia akan menangis. Disebabkan episod itu, seorang pakar telah dipanggil untuk tolong kembalikan dan memulih semangatnya.


Itulah pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Seram melihat seorang anak kecil terpekik seperti dalam keadaan histeria di depan mata saya. Itu saja KC dan para pembaca blog Malam Seram. Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya. Selamat malam!


Syaf

243 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentarios

Obtuvo 0 de 5 estrellas.
Aún no hay calificaciones

Agrega una calificación
bottom of page