top of page
Search

Mulut Jangan Celupar

Salam KC,


Kisah saya ini terjadi pada tahun 1998. Masa itu saya hendak pindah rumah jadi saya pergi membeli barang rumah. Saya telah pergi ke kawasan Holland Village di Singapura untuk beli perhiasan rumah. Saya telah membeli tiga patung perhiasan kayu berbentuk kuda belang dan ketinggian patung perhiasan itu dalam 1.5m.


Ketika itu saya memandu dan adik saya duduk di sebelah. Saya pandu di lebuhraya KJE menuju ke rumahnya di Choa Chu Kang. Waktu itu kalau anda dapat bayangkan, ketika dalam perjalanan merentasi lebuhraya, kita dapat melihat perkuburan kaum Tionghua. Mulut saya celupar dan berkata, “Ehhh best kalau kita lalu jalan kubur tadi, so boleh thrill...” Adik pula membalas, “Mulut kau jangan macam-macam boleh tak? Sampai di rumahnya di Choa Chu Kang, saya pun meletak kereta saya di tempat meletak kereta bertingkat. Setibanya di bawah blok adik saya, saya nampak ada satu perarakan kematian orang Cina dengan lori dan berarak memakai seragam orang mati! Saya menegur dan berkata kepada adik saya, “Ehhh malam dah pukul 11, ada orang mati jalan kat sini apa hal?


Adik saya berkata jangan nak merepek tapi saya nampak sekelompok orang berarak dan berjalan seperti perarakan yang sering kita lihat di Singapura. Kami berdua lari meluru ke pintu lif. Adik saya terperanjat terus mengikuti saya padahal dia tak nampak apa-apa. Sampai di rumah adik saya, keluarga saya yang terdiri daripada tiga orang anak dan suami telahpun menunggu saya di rumah adik. Kerana ketakutan, kami ambil keputusan untuk tidur semalaman di rumahnya.


Pada malam tersebut saya macam berperangai bukan-bukan. Saya menyakat adik saya lagi dan kata padanya, “Siti, belakang rumah kau seramnya ada kem tentera yang sunyi. Eee... Ada hantu… “ Adik saya tak layan saya dan hanya berkata yang mulut saya takde insurans. Hehehehe... Malam itu saya tidur berderet dengan ketiga-tiga orang anak saya dan suami di atas tilam di ruang tamu.


Pada saat saya tidur saya macam terganggu dengan bunyi penyapu lidi ibarat seperti ada orang sedang bersihkan atau cuci koridor di luar rumah. Dalam keadaan mamai tapi dengan mata masih tertutup, saya terfikir samada dah masuk waktu Subuh ke? Selepas itu dalam keadaan masih antara sedar tak sedar, saya dikejutkan dengan rasa sejuk angin di muka. Alangkah terperanjatnya saya apabila saya buka mata dalam keadaan gelap, saya ternampak ada susuk tubuh seorang perempuan Cina sedang mengipas perlahan ke muka suami saya di sebelah tapi suami saya tidak sedar! Saya dapat rasakan angin dari kipasannya! Saya cuba tarik selimut tapi rasanya badan saya tidak boleh bergerak seperti dikunci. Paling menggerunkan, saya dapat mendengar hembusan nafasnya mendengus di telinga saya. Ya Allah saya terus baca "Bismillah" berterusan dan tak tahu saya membaca surah suci apa yang terlintas di fikiran. Kerana terlalu takut, saya telah membaca secara tonggang-langgang. Rasa takut sangat sampai saya tertidur semula. Pada waktu subuh pagi, adik saya bangun untuk siapkan bekalan makanan untuk suaminya. Apabila saya terbangun, dia bertanya, “Kenapa kau tidur lurus sampai selimut terus ke leher macam orang mati?” Saya jadi hairan kenapa saya boleh tidur dalam keadaan selimut kemas sampai ke leher dan saya ceritakan padanya apa yang berlaku malam tadi. Dia pun berkata bahawa semalam dari biliknya, dia hairan kenapa saya hidup dan matikan lampu kerana dia boleh nampak sinaran lampu dari bawah pintu biliknya. Saya kata saya tidak bangun langsong untuk ke tandas atau main lampu. Mungkin malam itu saya diganggu dengan hantu Cina kerana memang waktu itu musim Bulan Hantu Cina. Pokoknya, kalau nampak apa-apa yang luar dari norma, jangan menegur dan cakap lepas. Tak pasal-pasal diri sendiri terkena gangguan...


Sekian terima kasih...


Zalina

131 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page