Assalamualaikum KC,
Saya Din dari Malaysia. Saya nak kongsi sikit cerita seram yang saya alami, tetapi bukan hantu yang menakutkan saya. Yang menyeramkan saya adalah nenek tiri saya.
Nenek saya sakit dan berumur lapan puluh lebih tahun. Nenek saya tidak boleh berjalan macam orang biasa semenjak dia sakit, hanya boleh mengesot saja.
Hendak dijadikan cerita, pada satu malam nenek duduk di rumah keluarga saya. Keluarga saya menjaganya untuk sementara waktu. Rumah saya taklah besar mana, ada dua buah bilik tidur, bilik air pula di dapur, jadi keluarga saya terpaksa bagi nenek saya tidur di ruang tamu, sebab kalau apa-apa dia hendak buang air ke, senang boleh terus ke bilik air. Nenek saya sudah nyanyuk. Kalau malam-malam mesti dia tidak boleh tidur. Kalau dia tidur lama pada waktu petang, malam mesti dia susah hendak tidur. Akan dengar dia berbual seorang diri, sampaikan kalau ayah saya nampak, dia akan tegur nenek, samada ayah suruhnya tidur, atau ayah sendiri yang akan temankannya berborak. Berbalik kepada cerita nenek saya tadi, pada malam itu pula, kebetulan saya pun kena tidur di ruang tamu, sebab bilik saya ada adik-beradik saya yang dah kahwin tidur dalam bilik itu, jadi saya tidak ada pilihan, terpaksa saya tidur luar. Dalam hati ni berkata, tak apalah boleh tengokkan sekali nenek saya. Saya bentang alas tidur di ruang tamu. Sebelum tidur saya selalu bermain dengan telefon bimbit, dengar lagu atau layan rancangan kendalian KC. Masa itu rumah saya gelap, sebab saya yang matikan lampu ruang tamu, hanya ada lampu dapur saja yang dihidupkan.
Semasa saya hendak lelapkan mata, saya terdengar ada bungkusan jatuh, seperti ada orang baling bungkusan itu. Bungkusan yang saya maksudkan adalah bungkusan yang dibungkus dengan kain batik seperti orang lama bungkus kain baju dalam kain batik atau kain pelikat. Mulanya kedengaran bunyinya jauh, lama-lama semakin dekat bunyinya. Saya dengar betul-betul di sebelah telinga saya. Kebetulan masa itu saya baring menghadap dinding, jadi saya tidak tahu apa yang terjadi di belakang saya. Bila bunyi itu semakin dekat saya dengar, makin seram saya dibuatnya, sebab lepas bungkusan itu jatuh, saya dengar di belakang saya ada orang mengesot. Saya dengar benda itu datang ke arah saya, sebab saya baring betul-betul di depan pintu rumah saya. Bila saya dengar bunyi itu semakin hampir dengan saya, saya pun beranikan diri untuk pusingkan badan saya hendak tengok bunyi apa itu.
Saya pusingkan badan saya, Ya Allah, saya nampak nenek saya yang sakit itu sedang mengesot perlahan-lahan ke arah saya. Yang buat saya seram waktu itu sudah pukul 2 pagi, nenek saya pula kenakan tudung warna putih lagi. Dia memakai tudung dan mengikat tudungnya seperti orang dulu-dulu ikat tudung di bawah dagu. Dengan keadaan rumah saya yang gelap, saya tidak nampak mukanya, tudung yang dia pakai jelas nampak sebab warna putih. Dengan keadaan takut, saya beranikan diri, bangun hidupkan lampu ruang tamu, masa lampu dah menyala barulah saya nampak muka nenek saya. Dia pandang saya dan memberitahu saya yang dia hendak balik rumahnya. Siap dengan bungkusan bajunya lagi. Saya dari takut menjadi lega sebab yang pastinya itu nenek saya, bukan makhluk yang tidak diingini. Saya mengangkat nenek saya pergi ke tempt tidurnyaa, suruhnya tidur dan saya pun terus tidur tapi kali itu saya tak berani hendak matikan lampu.
Itu saja cerita saya. Sekian terima kasih! Maaf sekiranya pengalaman kisah saya kurang seram...
Comments