top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Nyanyian Menemaniku!

Assalamualaikum KC,


Saya ingin berkongsi cerita yang telah saya alami sewaktu saya hamil tiga bulan dahulu dengan anak perempuan. Setiap hujung minggu, saya akan meluangkan masa untuk anak-anak saya sepenuhnya. Masa kejadian itu berlaku, saya sudah pun mempunyai dua orang anak lelaki yang berumur 6 dan 3 tahun. Saya mengajak suami dan anak- anak saya serta sepupu berkelah di pantai Pasir Ris.


Sebelum saya pergi berkelah, saya menelefon ibu dan bapa saya yang sedang bercuti. Sebelum mengakhiri perbualan, mereka berpesan, ”Kakak, kau tu mengandung, jangan balik lambat-lambat, tak bagus!” Seperti biasa, saya akan menenangkan perasaan mereka dengan mengatakan bahawa kami tidak akan berada di sana lama. Semenjak kecil lagi, saya boleh melihat, mendengar dan akan merasa jika ada sesuatu yang singgah, itu pun dengan izin Allah.


Sangkaan saya, suami akan memancing untuk waktu yang sekejap sahaja. Tetapi tidak, jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Nasib baik saya sudah buat persiapan awal dengan membawa khemah dan bantal untuk anak-anak. Suami dan sepupu saya semuanya sedang memancing di pantai kecuali saya yang sedang duduk di dalam khemah bersama anak-anak saya. Kawasan sekeliling saya ada ramai orang, ada yang sedang barbeku dan ada yang mainkan lagu-lagu, jadi tidak sunyilah.


Dalam suasana yang bising itu, saya terdengar lagu, alunannya lembut. Pada mulanya saya fikirkan itu mungkin lagu yang sedang dimainkan orang-orang sekeliling yang sedang berbarbeku. Namun, lama-kelamaan, hati saya rasa kurang sedap dan berfikir sambil melihat jam yang menandakan pukul 11 malam, “Takkan lagu yang aku dengar ni berulang-ulang dari tadi?” Jadi saya pun memanggil anak-anak, ”Adik! Abang! Masuk, tidur dengan Mama!


Mereka pun masuk ke dalam, saya pun memainkan surah-surah yang terdapat di Youtube dan sedang saya memainkan surah-surah itu, saya masih terdengar lagi alunan lembut suara itu. Saya pula mengambil telefon bimbit suami dan merakam suara / bunyi itu. Tiba-tiba, anak pertama saya bertanya, “Mama, siapa yang nyanyi tu?” Saya sudah mula rasa panik, saya hantar pesanan Whatsapp kepada sepupu saya dan bertanya samada dia ada mendengar suara itu atau tidak. Sepupu saya membalas tidak, lantas dia pun masuk khemah saya dan tolong saya mengemas dan memanggil suami dan keluarga yang lain.


Saya masih ada rakaman audio yang saya rakamkan itu, suasana bising tapi masih kedengaran nyanyian dan suara lembut itu. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang berlaku atau mengikut kami pulang.


Terima kasih!


Shikin


Nota Penyunting:


Shikin ada berkongsi rakaman audio itu kepada kami, namun kami tidak dapat berkongsi bersama anda kerana pertama, kami tidak mendapat kebenaran darinya samada ia boleh dikongsi kepada umum dan kedua, kerana keterbatasan ciri-ciri hos laman blog Malam Seram, rakaman audio tidak dapat dikongsikan dan harus ditukar menjadi klip video yang akan memakan masa untuk suntingan tambahan. Pada masa akan datang, sekiranya anda ingin berkongsi rakaman audio kepada pembaca blog Malam Seram, mohon tukarkan ia kepada klip video terlebih dahulu. Kerjasama dari anda amat-amat kami hargai. Terima kasih!

117 views0 comments

Recent Posts

See All

Comentários

Avaliado com 0 de 5 estrelas.
Ainda sem avaliações

Adicione uma avaliação
bottom of page