Selamat Tengah Malam KC,
Nama saya Foo Say Kheng, berasal dari Kelantan. Sekarang ini saya bermastautin di Melaka setelah berhijrah. Saya mempunyai satu kisah misteri semasa saya masih bertugas di salah sebuah kilang di Johor, pada tahun 2013. Untuk pengetahuan semua, kilang ini mempunyai tiga blok bangunan. Blok A merupakan pejabat utama dan tempat hasil pengeluaran produk, Blok B dan Blok C hanya khusus untuk proses pengeluaran dihasilkan. Masa itu, saya ditugaskan untuk memasukkan program dan menjaga mesin yang baru dibeli untuk menggantikan mesin yang lama, dalam masa dua bulan.
Mesin baru itu perlu menjalani proses penghasilan melalui program yang telah disiapkan secara automatik dari 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Saya hanya boleh menggunakan mesin baru itu masukkan program yang baru dari pukul 6.00 petang hingga 10.30 malam, iaitu selepas masa penghasilan. Hanya Blok B & C yang beroperasi hingga pukul 10.30 malam. Pada masa itu, apa yang berada dalam fikiran saya ialah saya mesti pastikan mesin baru boleh digunakan tanpa sebarang masalah dalam jangkamasa dua bulan.
Setiap hari bekerja, saya akan bekerja seorang diri di Blok A dari 6.00 petang hingga 10.30 malam. Sebelum pulang, saya harus mematikan lampu, matikan kesemua bekalan elektrik dan kunci pintu Blok A. Pada satu malam, saya masih sama, seorang diri menyiapkan mesin di Blok A. Oleh kerana bateri telefon bimbit dah hampir kehabisan, saya pun biarkan ia dicas di office. Untuk pengetahuan semua, saya takkan mendengar deringan telefon bimbit saya dari tempat mesin baru.
Sedang saya asyik bekerja, saya rasa terkejut kerana ternampak dua orang rakan sekerja saya dari Blok B berdiri di depan saya. Kebiasaanya mereka akan datang untuk ambilkan pelekat produk yang hanya boleh dicetak di dalam pejabat dan selalunya mereka terlebih guna atau terlupa ambil sewaktu waktu pekerjaan di pejabat. Mereka bertanya pada saya, "Kenapa awak tak jawab panggilan telefon bimbit?" Saya memberitahu mereka yang saya cas di pejabat dan saya memang tidak mendengar deringan.
Soalan seterusnya membuat saya meremang bulu roma, "Siapakah perempuan yang menjawab telefon bimbit awak tadi?" Saya terus menegur mereka jangan buat lawak pada tengah malam seperti itu, dan ia tidak lucu. Salah seorang rakan kerja saya, A, memberitahu saya, dia telah tiga kali hubungi telefon bimbit saya dan saya tidak jawab. Namun pada panggilan keempat, ada seorang perempuan yang menjawab. Inilah perbualan mereka.
Perempuan: "Awak cari siapa?"
Rakan Kerja A: "Saya cari Foo, nak suruh dia cetakkan pelekat produk..."
Perempuan: "Oh Foo, dia ada di sini. Awak tunggu sekejap, saya akan pergi panggil Foo untuk jawab telefon bimbit..."
Rakan kerja A menunggu selama beberapa minit, tetapi tidak ada yang menjawab. Jadi, rakan kerja A bertemankan lagi seorang rakan datang ke Blok A. Meremang bulu roma saya apabila saya nampak memang ada tiga panggilan yang terlepas dan paling saya terkejut apabila saya nampak ada panggilan yang dijawap! Memang betul kata si A.
Malam itu, saya terus cetakkan pelekat produk dan suruh mereka tunggu saya matikan lampu, bekalan elektrik dan kunci pintu Blok A. Rakan kerja saya, si A, menangis dan tidak dapat teruskan kerja dan dibawa pulang oleh abangnya. Malam itu, saya terus balik rumah walaupun belum masuk waktu 10.30 malam. Tak sanggup lagi saya nak terus tinggal di pejabat seorang diri. Walaupun begitu, saya tetap cuba siapkan kerja saya dengan menggunakan masa makan dan rehat petang.
Selepas hari itu, memang ramai pekerja Blok A yang terkena histeria walaupun pada waktu siang. Hampir setiap hari, akan ada seorang dua pekerja perempuan yang terkena histeria, hinggalah pihak atasan terpaksa panggilkan seorang ustaz untuk datang membaca surah-surah suci. Selepas itu, tidak ada lagi masalah pekerja perempuan terkena histeria.
Tidak lama setelah itu, baru saya terdengar cerita yang pihak kilang telah membuang tiga kontena lama yang berada di belakang Blok A dan mungkin salah satu kontena itu merupakan tempat tinggal "benda" itu. Sebab "dia" dah kehilangan tempat tinggal dan mengganggu pekerja di Blok A.
Itu saja kisah misteri saya. Semoga KC sihat selalu dan teruskan rancangan Malam Seram. Memang terbaik!
Daripada,
Foo Say Kheng
Comments