top of page
Search
Writer's picturePeminat Malam Seram

Pasangan Tiada Wajah!

Assalamualaikum KC!


Saya ada satu kisah untuk dikongsi bersama para pembaca blog Malam Seram. Kisahnya berlaku pada tahun 2018, sewaktu saya mengandungkan anak saya yang kelima. Pada hari itu, saya balik dari kerja seperti biasa, dijemput suami pada pukul 4:30 petang. Sebelum balik rumah, kami singgah dulu ke kedai runcit yang berhampiran dengan rumah untuk membeli barang keperluan sedikit.


Sampai di luar kedai, suami saya turun dari kereta. Saya pula ambil keputusan untuk duduk saja di dalam kereta kerana kepenatan, maklumlah setiap pembawaan dan proses kehamilan berbeza. Untuk anak yang kelima ini, saya sering rasa kepenatan. Sambil menunggu suami, saya bermain dengan telefon bimbit. Sekali-sekala mendongak ke atas, dan meninjau suami yang berada di dalam kedai. Jarak tempat meletak kereta dan pintu kedai dekat saja, jadi senang hendak nampak suami saya.


Tidak berapa lama kemudian, saya terperasan seperti saya sedang diperhatikan. Saya toleh dan terperasan ada pasangan suami isteri dalam sebuah kereta yang berdekatan sedang memerhatikan saya. Saya balas melihat mereka macam biasa saja, tidak terfikir benda lain masa itu. Saya sambung semula tunduk dan kembali menumpukan perhatian saya pada telefon bimbit. Saya mendongak lagi beberapa ketika kemudian dan terlihat pasangan itu masih memandang ke arah saya.


Saya mula rasa tidak sedap hati. Sebab cara mereka pandang agak lain. Pandangan mereka membuatkan saya rasa tidak selesa sehingga terasa kecut perut. Mujur tidak lama selepas itu, suami saya kembali ke kereta dengan barang-barangan keperluan rumah yang telah dibeli. Terus saya bertanya padanya samada dia kenal dengan pasangan dalam kereta tersebut. Dia melihat dan berkata tidak ada sesiapa pun yang berada di dalam kereta itu!


Semasa kami sampai di situ, kereta itu memang telah berada di situ dan tidak ada sesiapa di dalamnya. Saya terdiam. Rasa takut pun ada. Maklumlah takut sekiranya makhluk yang saya nampak tadi ikut balik. Saya baru juga terperasan bahawa pasangan dalam kereta itu tidak ada wajah langsung! Ya Allah! Dengan cepat saya suruh suami beredar dari situ dan sebelum pulang, kami singgah dahulu di tempat kawasan berehat untuk saya tenangkan fikiran.

Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah saya. Sekian!


Laila Ahmad

Brunei Darussalam

132 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page