Assalammualaikum Bro KC,
Saya Aidil tinggal di kawasan Macpherson. Saya ingin ceritakan kisah misteri saya pada tahun 2018 semasa saya bekerja sebagai penghantar makanan bersama syarikat terkenal Grab atau umum ketahuinya sebagai Grabfood Delivery. Saya dapat pesanan penghantaran di restoran makanan segera McDonald's yang terletak di kawasan Potong Pasir pada pukul 2 pagi. Ketika itu musim bolasepak Piala Dunia, jadi saya bekerja lembur lama sedikit sehingga pukul 3 pagi.
Saya hantar makanan tu di sebuah pejabat berdekatan dengan Macpherson Road. Rasa pelik juga masih ada orang bekerja sampai 2 pagi di pejabat. Saya tak berfikir apa-apa masa itu, lantas saya terus bergegas ke sana menaiki PMD (ketika itu peraturan dan larangan PMD belum dikuatkuasakan di Singapura). Sampai sana saya dapat melihat bangunan pejabat yang sepatutnya saya hantar makanan tadi semuanya gelap. Lobi lif pun gelap sampai saya guna fungsi lampu suluh di telefon bimbit yang saya gunakan. Ada pondok pengawal keselamatan tetapi tidak ada orang di dalamnya. Saya pun masuk saja ke dalam bangunan itu tanpa memikirkan apa-apa.
Saya naik lif dan terus menuju ke tingkat 8 untuk pergi ke nombor alamat yang telah terpapar di aplikasi Grabfood saya. Sampai di atas, pejabat memang gelap, seperti tidak ada orang di dalam. Saya tekan loceng masih tetap tidak ada orang. Saya cuba hubungi pelanggan itu tetapi tidak dijawab. Hantar pesanan ringkas pada numbor yang diberi pun tidak dibalas). Saye terpaksa tunggu sekitar 10 minit, tak ada juga saya turun kerana tiba-tiba terasa seram pula dalam gelap.
Di belakang saya pula ada tandas dan tiba-tiba kedengaran bunyi air menitik. Bulu roma pun naik secara automatik. Saya pun apa lagi? Cabut turun bawah tunggu depan pagar utama sebelah pondok pengawal selama 20 minit sambil menghantar pesanan ringkas dan cuba hubungi pelanggan yang membuat pesanan itu lagi tapi masih tetap tak dapat. Saya mula resah sebab bagaimana boleh ada pesanan dari alamat yang tertera tetapi tidak ada orang yang menyambut atau mahu mengambilnya?
Kerana saya pun dah terlalu penat dan mahu pulang, saya beritahu unit perkhidmatan pelanggan tentang keadaan saya. Mereka beritahu saya supaya meletak makanan yang dipesan tadi di pondok pengawal keselamatan, ambil gambar dan hantar pada mereka agar mereka dapat memberitahu pelanggan yang membuat pesanan itu. Setelah melakukan seperti yang diarahkan, saya pun terus pulang. Pelik juga siapa yang pesan makanan tetapi bila dah sampai, tidak ada orang di pejabat? Lampu bangunan pun tidak ada. Hairan betul!
Itu saja kisah saya KC. Maaf kalau kurang seram. Assalammualaikom!
Comments