Assalammu'alaikum KC,
Nama saya Azhar, berasal dan tinggal di Ipoh ketika ini. Kisah ini terjadi pada suatu hari kira-kira 12 tahun lalu di Ipoh. Saya pulang dari kerja rasa terlalu penat sangat. Entah kenapa hari itu saya rasa penat semacam. Nak kata kerja berat, tidak. Saya bukan kerja kasar. Saya bekerja di dalam pejabat, dalam bilik yang berhawa dingin. Saya bekerja ikut waktu pejabat.
Isteri tidak ada di rumah, ketika itu dia bekerja syif malam. Dia baru keluar dari rumah menaiki motosikalnya jadi kami tidak sempat bertembung. Jika waktu isteri bekerja malam, kami memang tidak berjumpa selama empat hari, hanya berhubung melalui telefon saja. Anak saya seramai dua orang dijaga oleh pengasuh. Mereka tidak balik ke rumah pada hari itu. Waktu saya balik jam sudah hampir pukul 7 malam, hari dah senja.
Sampai saja di rumah, saya buka pintu jeriji, kemudian pintu kaca gelungsur, saya terus masuk ke dalam rumah, tekan suis kipas siling, dengan tidak membasuh kaki, tidak menukar pakaian, tidak masuk langsung ke bilik air, saya terus rebahkan badan di atas sofa di ruang tamu. Saya fikir mahu berehat sebentar kerana terlalu letih. Saya akan bangun seketika kemudian untuk menutup pintu kaca gelungsur dan menukar pakaian. Tapi itu tidak berlaku.
Pintu jeriji saya sudah kuncikan. Pintu gelungsur saya biarkan terbuka sebahagian, kira-kira 30-35cm luasnya. Saya biarkan begitu agar sedikit angin luar boleh masuk ke dalam. Saya mudah dan cepat tertidur jika terlalu penat. Sekejap saja saya merebahkan badan, saya sudah hanyut di alam mimpi. Yang pelik dan entah kenapa saya tidur secara meniarap waktu itu. Badan saya di atas sofa, perut dan dada saya rapat menekan ke arah kusyen sofa, bukannya belakang badan saya. Kepala saya serongkan ke tepi menghadap ke arah meja ruang tamu. Sebelah tangan saya dijatuhkan ke lantai. Saya tidur secara meniarap.
Selepas terlelap dengan begitu pantas, saya bermimpi ada orang datang menggegar pintu jeriji besi rumah saya sekuat hati. Bagai nak runtuh digegarnya pintu besi itu. Seolah memegang dengan dua tangan dan menggegar jeriji itu bagai mahu meruntuhkan. Sebaik selepas saya mendengar pintu jeriji digegarkan, saya cuba bangun tapi saya rasakan diri saya ditindih! Saya rasa badan saya kena tindih oleh suatu benda yang berat dan saya tidak dapat bangun. Saya cuba menjerit sekuat hati saya tapi suara saya seperti tidak keluar.
Nafas saya sesak kerana benda itu menindih saya hingga rasa sukar bernafas. Kemudian baru saya terfikir untuk membaca surah-surah yang saya tahu. Saya baca dalam keadaan suara tidak boleh keluar, baca sekuat hati dan cuba melaungkan azan. Selepas saya azan barulah rasa benda yang menindih itu tiba-tiba tiada lagi. Saya terbangun dari tidur. Saya tak pasti adakah itu mimpi atau benar-benar berlaku. Tapi ia memberi kesan kepada tidur hingga saya terjaga dan bangun dari sofa. Jantung saya berdegup laju. Kemudian saya diam sebentar dan cuba tenangkan diri. Barulah saya bangun dan menbersihkan tubuh saya.
Pengajarannya, saya sepatutnya mensucikan diri dahulu dan kalau boleh jangan tidur pada waktu senja. Mandi atau sekurang-kurangnya bersihkan diri, ambil wuduk dan solat Maghrib terlebih dahulu. Walau penat macamanapun, jangan lakukan seperti apa yang saya lakukan. Jangan biarkan pintu terbuka pada waktu senja. Manalah tahu, kata orang tua-tua, itu waktu syaithan dan jin berkeliaran.
Setakat ini dahulu dari saya. Kalau tidak seram saya mohon maaf. Sejak itu, saya tidak pernah lagi alami pengalaman serupa di rumah sewa saya itu. Ia mungkin tiada kaitan dengan rumah itu, tapi kerana sikap dan kebodohan saya sendiri. Insya Allah saya akan kongsikan pengalaman saya yang lain di waktu yang lain.
Terima kasih dan Assalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh!
コメント