Salam sejahtera buat KC dan pembaca blog Malam Seram,
Saya seorang pendengar dari Pontian, Johor bernama Hamzah. Cerita yang akan saya sampaikan ini bukan tentang hantu, tetapi pengalaman mistik yang saya alami untuk dijadikan iktibar dan pengajaran buat semua yang membaca. Sebelum saya teruskan kisah, mohon saya nasihatkan kepada semua agar jangan melakukan apa yang telah saya buat satu ketika dahulu kerana ia memang satu pelanggaran aqidah dan kepercayaan kita sebagai orang Islam. Kisah ini hanya hiburan dan pengajaran, tidak sepatutnya dicontohi oleh umum. Selepas menduduki peperiksaan SPM sekitar tahun 2012, saya menjadi seorang "Kutu Rayau" di kampung. Boleh dikatakan pada ketika itu memang zaman jahiliah saya. Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap, duduk kampung dengan mak ayah, sering keluar malam dan balik lewat pagi. Kerja saya pada waktu itu hanya melepak, bermain dengan motosikal dan bermacam lagi aktiviti yang kurang berfaedah dan tak mendatangkan hasil buat keluarga saya. Diringkaskan cerita, saya dikenalkan oleh kawan sekampung cara macamana hendak menang nombor ekor. Saya perlu mencari barang-barang ganjil yang jarang ditemui seperti pisang kembar, seterika kepala ayam atau duit lama untuk diberi kepada seseorang yang kononnya mahir menilik tentang nombor ekor. Saya memanggil individu tersebut dengan gelaran Wak Bakin. Barang-barang tersebut perlulah yang ganjil dan bersih, yakni belum pernah digunakan untuk sebarang upacara memuja, kerana kepercayaannya ia lebih mujarab untuk menang nombor ekor. Berdasarkan pengalaman saya, Wak Bakin akan baca ayat-ayat mantera tertentu, kemudian menghembus ke arah barang-barang yang telah saya bawa kepadanya seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini. Pada satu hari saya telah membawa sekeping wang kertas lama. Selepas dibacakan ayat-ayat jampi, keluar nombor di muka wang kertas tersebut! Tetapi nombor itu samar-samar, bukan terang dan jelas. Nampak seperti dedebu yang timbul di permukaan sesuatu. Sebagai contoh, nombor tersebut kelihatan seperti 5678 atau 5679, jadi nak selamat belilah dua nombor tersebut. Pernah sekali saya memenangi tempat pertama dan ketiga pada hari yang sama, hasil bantuan dari Wak Bakin. Sejak dari hari itu saya menjadi taksub, pantang nampak barang-barang yang ganjil, saya akan ambil dan membawanya kepada Wak Bakin. Saya sampai sanggup masuk kebun pisang orang kampung malam-malam buta untuk cari pisang kembar, atau cari duit lama di pekan atau pun menerusi pencarian di Internet. Ya Allah, jahilnya saya pada waktu itu. Hanya setelah mengalami beberapa perkara susulan peribadi yang tidak akan saya kongsikan barulah saya sedar akan kesilapan saya. Saya percaya ramai kaki nombor di luar sana yang pernah ada pengalaman seperti saya, yakni menggunakan jalan hitam untuk mendapatkan wang dengan memenangi nombor ekor. Nasihat saya pada semua, carilah rezeki dengan cara yang halal agar hidup kita lebih diberkati dan perjalanan hidup kita lebih sempurna.
Itu sahaja kisah pengalaman mistik saya. Terima kasih dan Selamat Malam Seram!
Comentarios