Selamat Malam Seram!
Nama saya Ali (nama samaran) dan saya dari Singapura. Saya ingin berkongsi pengalaman saya yang menyeramkan. Kisah ini terjadi semasa saya di darjah 3 sewaktu bersekolah di Indonesia dahulu. Kejadian ini terjadi sewaktu saya dan kawan-kawan bermain permainan sembunyi-sembunyi. Ketika itu, saya sudah pun ditangkap dan saya harus menolong kawan saya untuk mencari kawan-kawan yang lain.
Saya dan kawan-kawan saya, kami nampak ada seorang kawan yang lagi satu, masuk ke dalam tandas sekolah. Tandas ini memang seram, ada pintu di dalam sebuah kubikel yang tidak pernah dibuka dan dibiarkan gelap tanpa diterangi cahaya lampu. Jadi kami pun ikut dengan perlahan kawan yang cuba menyembunyikan dirinya dari kami ke dalam tandas itu.
Semasa kami masuk ke dalam tandas itu, tidak ada orang di dalam dan pintu kubikel yang tak pernah dibuka yang saya sebutkan awal tadi, telahpun dibuka! Tak tahulah kenapa pintu itu terbuka, kami sangkakan mungkin ada pekerja yang sedang membetulkan sesuatu di dalam tandas itu. Kami tak terfikir terlalu mendalam kenapa pintu kubikel terbuka, tapi masih fikir siapa yang masuk ke dalam tandas itu.
Saya tidak menjangkakan yang gangguan itu akan terbit kejadian bersiri yang menyeramkan dalam hidup saya selepas itu. Saya pulang ke rumah dalam keadaan semua normal. Rumah saya pada waktu itu besar dan setinggi dua tingkat. Saya pulang dari sekolah dan terus mandi, buat kerja sekolah dan kerana kepenatan, terus tertidur selepas itu.
Semasa saya tidur, terdengar suara ketukan di pintu bilik saya. Saya pun terbangun dan pergi membuka pintu tetapi, tidak ada orang di luar! Saya pun baring semula di atas katil. Dengan keadaan hampir tertidur, terdengar lagi ketukan di pintu. Sekali lagi, tidak ada orang di luar bilik apabila saya bangun dan buka pintu.
Keesokan hari saya bertanya pada ibu dan ayah, mana tahu mereka main acah-acah dengan saya, tetapi mereka berkata yang mereka tidur dan tidak ketuk pintu bilik saya pun. Saya tanya kakak, dia kata dia tak dengar bunyi ketukan, padahal kami tidur di dalam bilik yang sama. Ketukan ini terjadi lagi selama tiga malam berturut-turut hinggakan saya tak boleh tidur dibuatnya.
Seminggu selepas ketukan itu tidak ada lagi, saya ingat dah tak ada apa-apa. Pada waktu malam sekitar jam 11 malam, ketika itu semua anggota keluarga dah tidur, saya terasa haus sangat. Saya pun bangun dan keluar bilik untuk mengambil air. Semasa berjalan ke dapur, saya harus melewati ruang tamu dan di sana ada tingkap besar yang ditutup dengan langsir. Tak tahu kenapa, saya pusing tengok ke arah tingkap itu, saya ternampak bayangan orang yang sedang memegang benda yang terlihat seperti pisau.
Saya pun menjerit sekuat-kuatnya dan lari ke bilik ibu dan ayah. Saya beritahu mereka, dan ayah suruh saya tunjuk mana “orang” itu berdiri. Saya pun jalan perlahan ke arah tingkap itu dan alangkah hairannya tidak ada orang! Jadi saya tertanya-tanya, takkan orang itu menghilang begitu saja tanpa suara? Maaf saya tak dapat untuk menceritakan semua yang berlaku kerana terlalu banyak sangat gangguan yang berlaku pada saya dan pembantu rumah.
Gangguan-gangguan yang terjadi di antaranya adalah:
1) Pembantu saya nampak seorang perempuan sedang duduk di bawah pokok mangga di halaman rumah saya
2) Di tingkat dua, ada benda hitam yang suka berlari ke hulu ke hilir pada waktu malam dan pintu bilik tiba-tiba akan ditutup sendiri
3) Saya pernah nampak kerusi terbang di depan mata saya
4) Ada ular hitam tiba-tiba muncul tak tahu dari mana dan banyak lagi
Gangguan-gangguan ini berlaku sekitar tiga tahun apabila saya berada di darjah 3 hingga 6. Saya tak tahu kenapa saya tak beritahu ibu dan ayah saya saat kejadian-kejadian ini berlaku, hinggalah satu hari, saya pun beritahu ibu saya.
Ibu saya pun panggil seorang Ustaz dan semasa ustaz itu membaca ayat-ayat suci, pada mulanya tidak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi selepas beberapa minit Ustaz itu membaca ayat-ayat suci, kami lihat benda bercahaya putih berlari dari bilik ke bilik. Ustaz itu menasihatkan kami agar jangan takut kerana bila kita takut, benda itu akan lebih menakutkan kita.
Ustaz itu membaca lagi ayat-ayat suci yang sama dan kami nampak dengan jelas benda itu lari keluar dari rumah dan menghilang. Selepas Ustaz itu selesai dengan kerjanya pada malam-malam selanjutnya, Alhamdulillah tiada gangguan-gangguan yang lain. Itu sahaja pengalaman saya, maaf tetapi saya tidak dapat menceritakan gangguan yang lain kerana terlalu banyak sangat. Terima kasih dan Selamat Malam Seram...
Comentarios