top of page
Search

Pengalaman Tidur Di Bilik Utama Ayah & Ibu...

Assalamualaikum KC dan para pembaca blog Malam Seram,


Nama saya Diah, dan saya ingin berkongsi satu pengalaman yang berlaku di rumah saya yang berada di kawasan lama Marsiling. Untuk pengetahuan mereka yang bukan berada di Singapura, estet perumahan Marsiling merupakan salah satu kawasan perumahan yang agak lama di Singapura. Hampir setengah kawasan ini telah dibangunkan sekitar tahun 50an atau 60an dan memang keadaan sesetengah blok di sini seperti menunggu masa untuk dirobohkan dan dibangunkan semula.


Satu ketika dahulu, ayah saya merupakan seorang pemandu lori, dan adakalanya dia akan memandu lori pada waktu malam juga. Pada hari-hari di mana ayah saya bertugas pada waktu malam, ibu saya akan tidur bersama dua orang adik perempuan saya di bilik yang kami tiga beradik berkongsi, kerana ibu saya seorang yang agak penakut. Saya pula terpaksa tidur di dalam bilik orang tua saya seorang diri.

Untuk memberi sedikit penggambaran kepada semua, katil di dalam bilik orang tua saya berada betul-betul di tengah bilik, dan di kiri adalah tingkap bilik dan bersebelahannya adalah pintu tandas bilik tidur utama. Di kanan saya pula adalah almari, dan ia bersebelahan dengan pintu keluar masuk bilik. Jadi, di kiri, kanan, dan hadapan katil adalah ruang untuk kami berjalan.

Kisahnya bermula begini, ketika itu ayah saya bertugas pada waktu malam untuk beberapa hari. Pada hari yang pertama, saya telah termimpikan sesuatu. Di dalam mimpi saya, saya akan melihat kelibat sesuatu mengekori saya, tapi hanya boleh dilihat dari tepi mata sahaja. Setiap kali saya cuba menoleh untuk melihat sepenuhnya, benda itu akan ghaib begitu sahaja. Namun, saya masih tidak mengetahui apakah benda yang mengekori saya.

Pada malam kedua pula, benda yang mengekori saya kini semakin berani, dan ia akan muncul di hadapan saya tetapi pada jarak yang agak jauh dan ketika saya tidak memberi tumpuan sepenuhnya ke hadapan. Sebagai contoh, di dalam mimpi saya, saya mungkin sedang menggunakan telefon bimbit sambil berjalan, dan tumpuan saya ketika itu lebih kepada telefon bimbit yang berada dalam genggaman tangan. Apabila saya mula menyedari akan kelibat seperti sesuatu di hadapan saya, benda itu akan melarikan dirinya dengan begitu pantas sekali, sebelum sempat saya mendongak untuk melihat dengan jelas.

Pada malam berikutnya, sekali lagi saya mimpikan benda yang sama. Tetapi pada kali ini, benda itu muncul betul-betul di hadapan saya. Waktu itu, saya bermimpi sedang berjalan menuju ke arah tandas. Belum sempat saya membuka pintu tandas, benda itu keluar dan lari dengan begitu pantas. Tetapi ia lari bukan seperti manusia. Apa yang saya ternampak di dalam mimpi saya, benda itu kelihatan seperti seekor Pontianak, tetapi bezanya adalah benda yang saya nampak ini sedang merangkak!


Ia kelihatan seperti seorang wanita dalam pakaian serba putih, bajunya kotor dan seperti koyak di beberapa bahagian tertentu. Rambutnya teramat panjang dan kusut sekali. Kedua tangan dan kakinya berada dalam posisi yang tidak sempurna dan kelihatan begitu panjang sekali ketika ia merangkak. Wajahnya pula, walaupun mukanya sangat hodoh dengan kulit yang berkopak-kopak, ia sedang tersenyum melihat saya. Tapi yang pelik, walaupun saya terkejut, di dalam mimpi saya, saya langsung tidak takut akan benda itu. Senyumannnya tidaklah seram mana bagi saya, dan entah macamana, saya tahu benda itu tidak akan apa-apakan saya.

Pada malam yang keempat, saya tidur betul-betul di tengah katil. Kali ini, saya tidak termimpikan benda yang sama. Apa yang terjadi mungkin cukup seram bagi mereka yang imannya tidak begitu kuat. Pada malam yang keempat, waktu saya tidur di dalam bilik orang tua saya seperti biasa, saya terjaga pada tengah-tengan malam. Saya ingat lagi, sebelum saya tidur, saya telahpun mengunci pintu bilik dari dalam. Tetapi apabila saya terjaga, di posisi di mana saya terbaring di tengah-tengah katil, yang berada betul-betul di tengah balik, sambil menghadap siling, dengan keadaan bilik yang gelap dan hanya diterangi cahaya bulan dari luar tingkap, saya mendapati bahawa pintu bilik ayah saya kini terbuka, dan hanya dirapatkan sedikit.


Saya terpandang ruang tamu yang gelap dan kosong, dan saya merupakan seorang yang penakut juga, jadi kerana saya memang tidak suka jika boleh melihat ruang tamu yang gelap ketika berada di dalam bilik, saya pun bangun dari posisi awalnya untuk menutup pintu bilik. Pada waktu itu, baru saya perasan, di siling, di atas tandas bilik tidur utama, benda yang saya asyik mimpikan, kini berada di situ! Benda itu merangkak turun ke atas lantai, naik ke atas katil dan langsung merangkak keluar dari bilik ayah saya. Sambil ia merangkak, matanya tidak lepas dari memandang saya sambil bersenyum dengan mukanya yang hodoh, sepertimana yang saya asyik termimpikan pada hari-hari sebelumnya. Entah kenapa, saya tetap merasakan yang benda itu tidak akan mengapa-apakan saya. Walaubagaimanapun, saya tetap terkejut dengan apa yang saya nampak secara langsung, dan saya terus menarik selimut dan memaksa diri untuk tidur dan tidak memikirkan tentangnya.

Pada malam yang berikutnya, saya membuat keputusan untuk tidur lebih awal, dan baring di hujung katil menghadap tingkap bilik pula daripada berbaring di tengah katil. Saya masih ingat lagi, pada waktu itu, saya melihat telefon bimbit saya dan jam menunjukkan masa 12:03 tengah malam. Saya meletakkan telefon bimbit di tepi saya dan terus menutup mata kerana sudahpun mengantuk. Entahlah, mungkin saya mengalami apa yang dinamakan “Sleep Paralysis”, tapi pada waktu itu, saya terjaga sekali lagi.


Saya ini jenis yang mudah terbangun apabila terdengar sesuatu ketika tidur, jadi benda yang kecil seperti orang membuka pintu atau berbual di luar bilik pun boleh membuat saya terjaga. Namun pada waktu itu, tiada sebarang gangguan pun yang telahpun membuat saya terjaga dari tidur. Saya membuka mata begitu sahaja, dan alangkah terperanjatnya saya, di tepi katil di hadapan saya, terdapat seorang lelaki sedang berdiri! Lelaki itu berpakaian serba hitam, dan mukanya bengis sekali. Belum sempat saya menunjukkan apa-apa reaksi secara fizikal, lelaki itu mengangkat tangannya dengan begitu pantas sekali, dan terus mencekik leher saya! Saya punyalah terkejut, saya terus terjaga.


Apabila mendapati bahawa bilik ayah saya sememangnya kosong dan cuma ada saya yang berada di dalam, saya mengambil telefon bimbit saya untuk melihat jam, dan ia menunjukkan jam 12:10 tengah malam, hanya beberapa minit saja sebelum awalnya saya melihat jam. Mungkin saya terlalu penat atau mungkin saya terbawa-bawa kejadian pada malam-malam sebelumnya, saya pun tidak tahu. Yang saya tahu, dalam hanya masa beberapa minit, saya tertidur dan telahpun menghadapi satu situasi yang begitu menyeramkan.


Jika benda yang merangkak itu tidak menakutkan saya langsung, lelaki bengis yang telah cuba mencekik leher saya berjaya untuk menakutkan saya, dan saya membuat keputusan untuk tidak tidur di dalam bilik orang tua saya lagi. Malam itu, tanpa membuang masa, saya terus mengambil bantal dan selimut, hidupkan lampu dapur dan tidur di ruang tamu. Saya rela bermalam di atas sofa daripada di dalam bilik orang tua saya, lagi-lagi dengan posisi katil yang berada di tengah-tengah bilik.

Itu sahaja kisah saya. Sampai sekarang, saya tidak memberitahu kedua orang tua saya tentang apa yang saya alami. Itupun kerana ia tidak pernah berlaku lagi semenjak ibu mengatur semula semua perabot di rumah dan katil mereka bertukar posisi di sebelah pintu pula. Selepas beberapa minggu, saya cuba untuk tidur di dalam bilik mereka seorang diri sekali lagi dan Alhamdulillah tidak ada benda misteri yang berlaku pada saya lagi.


Terima kasih kerana sudi mengetengahkan kisah saya, dan selamat malam kepada semua...

348 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page