Assalamualaikum KC dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog Malam Seram,
Nama saya Syamsul dari Pandan Indah, Kuala Lumpur. Berikut adalah kisah yang ingin saya kongsikan yang berlaku beberapa tahun lepas kepada sahabat saya. Pada hari tersebut, saya bersama rakan-rakan sepejabat pergi bercuti di Melaka dan bermalam di sana. Salah seorang rakan saya (Fazreen, bukan nama sebenar) terpaksa pulang awal pada malam tersebut kerana pada keesokan paginya dia perlu menghantar ibunya untuk membuat pemeriksaan di hospital.
Kami menasihati beliau supaya bertolak besok pagi selepas Subuh sahaja kerana pada waktu itu sudah jam 1 pagi, tetapi dia takut terlewat dan ingin terus pulang ke Kuala Lumpur pada ketika itu juga. Kawan saya pulang memandu seorang diri melalui jalan lama untuk pulang ke KL sebelum menghala keluar ke Lebuhraya Seremban. Jalan lama ini memang gelap dan kurang kereta yang lalu.
Dalam perjalanan pulang, waktu itu sekitar dalam pukul 2 pagi, kawan saya ternampak seorang pakcik berkopiah putih, berkain pelikat dan berbaju Melayu sedang berjalan seorang diri di tepi jalanraya yang gelap itu. Dalam hati dia berkata, nak ke mana pakcik ini jalan seorang diri dalam gelap kerana pada waktu itu, jalan itu tiada rumah yang berdekatan, kiri kanan hutan dengan pokok-pokok sahaja.
Setelah melepasi pakcik itu, dalam beberapa meter, tiba-tiba pakcik itu dah duduk sebelah tempat duduk pemandu sambil memandang luar tingkap! Kawan saya dah menggigil masa itu. Kawan saya suka mendengar lagu-lagu rok yang berunsur keras, memang semasa memandu dia pasang lagu-lagu itu. Selepas pakcik itu tumpang keretanya, terus ditukar kepada bacaan surah-surah suci.
Masa memandu kawan saya dah tak toleh kiri, tengok depan saja. Kemudian dia telefon salah seorang dari kami di sini minta jangan putuskan panggilan, dan temankannya. Dia beritahu yang dia dah jadi UBER (Maksudnya menjadi pemandu UBER menumpangkan orang). Selepas beberapa ketika, dia tengok sebelah kerusi itu sudah tiada orang. Baru hendak rasa lega sedikit, apabila dia melihat cermin atas yang menampakkan keadaan di tempat duduk belakang, rupanya pakcik itu dah berpindah tempat duduk di belakang, betul-betul di belakang tempat duduk pemandu.
Sepanjang perjalanan, Fazreen membaca ayat-ayat suci yang dia tahu. Kami menyuruhnya berhenti minum di R&R atau lepak di mana-mana dahulu supaya benda itu boleh keluar. Lantas dia pun berhenti di stesen minyak berdekatan. Semasa sedang mengisi minyak, budak yang sedang mengepam minyak menegur, "Bagus abang ni, jalan bawa ayah..." Fazreen tercengang lalu berkata, "Ayah??? Mana ada???" Budak itu terus menjawab dengan selamba, "Ohhh... Takpe saya faham... Baik-baik jalan bang...."
Semasa melalui perhentian tol, budak perempuan yang sedang bertugas juga seolah-olah
perasan rasanya sebab dia pandang tempat lain sambil menyuruh Fazreen bergerak dengan cepat. Akhirnya dia berhenti di R&R selama dua jam. Selepas rasa tidak ada apa-apa, barulah dia sambung perjalanan ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu. Nasihat saya, kalau jalan pada waktu malam ternampak apa-apa yang pelik, tak payahlah menegur, buat bodoh sudah...
Terima kasih dari saya, Syamsul Aziz...
Comments