Assalamualaikum KC,
Nama saya Aiman, berasal dari negara Brunei Darussalam. Saya ingin mengongsikan salah satu peristiwa ngeri yang pernah saya alami semasa saya berada di sekolah, di mana sekolah ini memang terkenal di negara saya.
Di sekolah ini saya berhasrat untuk menjadi salah seorang anggota majlis pelajar. Sekiranya ingin menyertai majlis pelajar, peserta hendaklah menjalani satu program yang diberi nama "Kem Waja". Program ini melibatkan sekitar tiga puluh orang pelajar. Kami semua hendaklah bermalam di sekolah selama seminggu.
Kami diberikan tempat tinggal iaitu di sebuah hostel yang telah disediakan oleh pihak sekolah tersebut. Satu bilik digunakan oleh tiga orang pelajar tetapi di dalam satu bilik hanya ada dua tempat tidur. Jadi kami bertiga hendaklah bergilir-gilir menggunakan tempat tidur tersebut. Keadaan selama seminggu itu, seseorang hendaklah tidur di atas lantai dengan hanya beralaskan tilam dan dua yang lain tidur di atas tempat tidur disediakan.
Pada malam ketiga, semua pelajar dikehendaki membuat aktiviti malam yang telah disediakan oleh mantan majlis pelajar dan guru-guru pengawas. Kawasan tempat kami tidak jauh dari dorm pelajar, tetapi hendaklah berjalan sedikit melalui bangunan sekolah. Selepas membuat aktiviti, kami diarahkan untuk balik semua ke bilik masing-masing. Dalam perjalanan balik semula ke dorm kami, saya macam terasa ada sesuatu yang sedang melihat kami semua tetapi saya hanya anggap semua itu sebagai permainan di dalam fikiran saja. Sampai di dorm dan semua pelajar pun masuk ke bilik masing-masing untuk beristirehat dan tidur sebelum menunaikan solat Tahajjud dan solat Subuh.
Sampai di bilik, dua orang rakan saya terus baring dan tidur kerana terlalu lelah dari aktiviti awal tadi. Saya mengambil kesempatan untuk membuka telefon bimbit saya kerana hendak membalas kiriman sms dari keluarga yang hampir tiga hari tidak jumpa saya. Saya tengok jam sudah menunjukkan pukul 2.45 pagi, jadi saya pun duduk menghadap tingkap bilik yang dibuka kerana kalau hanya mengharapkan kipas siling memang panas bilik dibuatnya.
Tiba-tiba saya ternampak dari hujung mata saya ada sesuatu yang bergerak di luar tingkap bilik saya! Pada mulanya saya tidak terfikir apa-apa kerana sudah keletihan, cuma yang membuatkan saya rasa hairan, bilik saya terletak di tingkat dua, jadi agak mustahil untuk ada sesiapa di luar tingkap saya. Selang beberapa saat, saya ternampak dengan jelas seperti ada sesuatu yang melompat di luar tingkap bilik saya dan pada masa itulah saya baru sedar yang ada di depan mata saya adalah makhluk Pocong!
Saya cuba beranikan diri dan berkata, "Aku tak ganggu kau, kau jangan ganggu aku!" gertak saya dengan nada yg agak rendah tetapi tegas kerana tidak mahu membuat rakan-rakan bilik saya terbangun. Pada mulanya ia berhenti tetapi setelah beberapa minit kemudian, makhluk tersebut melompat dan berada tepat di depan tingkap bilik saya! Saya tidak mahu melanjutkan perkara ini lantas bangun dari tempat duduk dan terus baring di tempat tidur saya sambil membaca surah Al-Fatihah dan surah Ayatul Kursi sebelum lelapkan mata.
Terima kasih KC dan selamat Malam Seram!
Comments