top of page
Search

Pocong Di Belakang Pintu Bilik...

Assalammu'alaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Saya Izzah berasal dari Johor Bahru. Saya ingin berkongsi sebuah kisah seram yang pernah saya alami suatu ketika dahulu. Saya sekarang dah berumur 21 tahun. Pengalaman saya ini berlaku semasa saya kecil, ketika usia saya dalam lingkungan 4-5 tahun.


Semasa saya kecil, saya memang selalu nampak makhluk halus tetapi benda itu tidak pernah tunjukkan mukanya. Saya hanya selalu nampak bayang-bayang yang berwarna hitam besar sangat. Saya pernah cerita pada mak dan ayah, tetapi mereka sangkakan yang saya tipu ataupun tak mengambil endah, maklumlah saya terlalu kecil ketika itu. Mungkin pada pendapat mereka, saya mereka-reka cerita. Yang peliknya, sewaktu saya tidur dengan mak, dia akan muncul. Dia muncul seumpama hendak menangkap saya. Siapa saja akan takut, lagi pula masa itu saya kecil lagi. Tetapi bila saya tidur bersama ayah, benda itu tidak akan muncul. Jadi saya memang akan senang tidur kalau ayah saya ada bersama.


Ayah saya pula seorang doktor, memang susah nak ada di rumah. Satu hari, saya tidur di rumah nenek saya. Saya kalau tidur di rumah nenek saya, saya memang akan tidur dengan makcik saya. Sebab mak saya selalunya akan berbual dengan nenek dan atok sampai lewat malam. Jadi satu hari, ketika saya sedang tidur, saya tiba-tiba tersedar dari tidur kerana saya mendengar satu bunyi letupan yang kuat.


Saya terbangun sebab saya terkejut, sekali apabila saya membuka mata, saya ternampak ada "Gula-gula" (Pocong) di dalam bilik makcik saya. Benda itu betul-betul berdiri di belakang pintu bilik. Saya terkejut dan menjerit sebab ketakutan. Makcik saya yang terdengar jeritan itu masuk untuk tenangkan saya. Makcik saya bertanya kenapa, saya jawablah ada Pocong di belakang pintu. Yelah saya masih kecil lagi masa itu, mestilah tak pandai nak tipu kan?

Makcik saya cuba tenangkan dan menarik saya baring semula ke katil untuk tidur. Sedang cuba lelapkan mata dengan perasaan yang takut, makcik saya boleh lagi bertanya, "Ada lagi ke hantu itu?" Saya buka mata sedikit demi sedikit, Ya Allah nak tahu tak benda itu sedang buat apa? Ia melompat-lompat atas perut makcik saya. Saya bagitahu makcik saya dengan nada ketakutan "Dia... Dia... Dia tengah lompat-lompat atas perut Cik Ma..." Ya Allah, saya tak tipu, memang kalau anda dengar macam kelakar dan lawak tetapi itulah kisah seram saya.


Yang sedihnya, selepas saya bagitahu makcik saya, dia bukan nak tenangkan saya, dia boleh terus lari masuk ke bilik makcik saya yang lagi satu dan tinggalkan saya keseorangan diri. Keesokan paginya, bila bercerita kepada semua ahli keluarga, barulah saya dapat tahu yang makcik saya itu penakut! Bila teringat balik memang kelakar, tapi masa terjadinya hal itu, Allah sahajalah tahu perasaan saya.


Terima Kasih.... Assalammu'alaikum...

190 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page