top of page
Search

Pocong Di Depan Rumah!

Assalammu'alaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,


Saya Nadia dari Johor Bahru. Kisah ini memang dah lama saya nak kirimkan tapi belum berkesempatan. Kisah yang saya nak kongsikan berlaku pada diri saya sendiri, kejadian ini berlaku sewaktu saya berusia 8 tahun. Sekarang saya sudah berusia 30-an tahun, namun kejadian seram ini masih segar dalam ingatan saya.

Ia berlaku di rumah keluarga saya di Taman Johor Jaya. Waktu itu tahun 1997, masih belum banyak lagi pembangunan dan perumahan di sekitar kawasan dan masih lagi banyak kawasan pokok-pokok dan hutan kecil. Rumah saya berdekatan dengan landasan keretapi yang menghubungkan PTP Port dengan Johor Port (keretapi bawa kontena sahaja, ada juga dengar cerita ada orang bunuh diri dekat landasan keretapi itu tapi saya tak tahulah kesahihan cerita itu sebab dulukan tak ada media sosial, hanya cerita dari mulut ke mulut saja).

Berbalik pada cerita saya semula, pada malam itu saya sedang menonton televisyen bersama Mama dan adik saya. Waktu menunjukkan pukul 11 malam. Kemudian Mama hendak tidurkan adik saya di dalam bilik. Saya tak mahu tidur lagi kerana hendak tonton rancangan di televisyenu sampai habis baru saya akan masuk bilik tidur. Sedang saya asyik menonton televisyen, saya terdengar seperti bunyi orang sedang mencangkul tanah. Pada mulanya saya sangkakan bunyi efek dari rancangan yang sedang saya tonton itu, tetapi saya macam pelik kerana dalam rancangan yang saya tonton tiada pun adegan orang yang sedang mencangkul tanah.


Kemudian saya fokus mendengar dari mana datangnya bunyi itu dan saya rasa bunyi itu datang dari depan, lebih tepat lagi, di luar halaman rumah saya. Saya terus bangun, sebab tadi saya tonton televisyen sambil baring atas lantai. Saya terus menuju ke pintu rumah. Ketika itu pintu papan rumah saya jenis lama yang ada lubang kunci yang boleh kita teropong dan tengok siapa yang berada di luar rumah.


Semasa saya sedang cuba hendak fokus apa yang berada di luar rumah, tiba-tiba saya ternampak ada satu pergerakan berwarna putih seperti "POCONG" berada di depan pintu pagar rumah! "POCONG" itu membuat pergerakan seperti sedang merukuk dalam solat, akan tetapi pergerakannya diulang-ulang dengan laju seperti orang sedang mencangkul, tetapi tak ada pun cangkul yang dipegang cuma bunyi seperti ia sedang mencangkul tanah.


Selang beberapa saat saya melihat benda itu, bulu roma sudah meremang dan jantung mula berdegup kencang. Saya terus matikan televisyen dan masuk ke dalam bilik, di mana Mama dan adik sedang tidur dan tutup pintu. Saya cuba lelapkan mata tapi rasa gelisah dan tidak dapat tidur kerana telinga masih terngiang-ngiang bunyi cangkulan itu. Nasib baik itu saja gangguan yang saya alami pada malam itu...


Sekian sahaja pengalaman seram yang saya lalui. Terima kasih kerana ketengahkan kisah saya di blog Malam Seram!

Wassalam,


Nadia

362 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page