top of page
Search

Pocong Di Kawasan Kilang Kelapa Sawit

Assalammu'alaikum,


Saya Muhd Farhanniza dari Bukit Mertajam, Penang. Apa yang saya ingin kongsikan bukanlah kisah saya, sebab banyak kisah seram yang saya ada semuanya dari pengalaman orang seperti anggota keluarga dan juga pengalaman isteri saya. Jadi di sini apa yang saya ingin ketengahkan adalah pengalaman abang saya, di mana ia pernah kongsikan pada saya masa saya pulang ke kampung untuk saya ketengahkan di Malam Seram.


Abang saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah kilang kelapa sawit di kampung saya yang terletak di Kuala Kurau, Perak. Apa yang saya ingin gambarkan adalah kilang ini betul-betul berada di tengah-tengah ladang kelapa sawit yang luas dan gelap. Ia beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Selepas waktu bekerja habis tak akan ada lagi yang bertugas melainkan hanya pengawal keselamatan sahaja. Pada waktu itu abang saya syif malam dan kena bertugas selama 24 jam.


Dalam satu syif memang ramai pengawal keselamatan yang bertugas, tetapi kesemuanya ditugaskan di pelbagai pondok pengawal yang terdapat di kawasan ladang yang amat luas dan besar ini. Ada 8 pondok pengawal kesemuanya dan dalam satu pondok akan ada dua pengawal yang bertugas. Jarak setiap satu pondok pengawal jauhnya hampir 2 kilometer, ada pondok di setiap jalan keluar masuk yang berjumlah enam kesemuanya, satu di kawasan kilang di tengah-tengah dan satu di rumah banglo untuk pegawai atasan yang bekerja di situ.


Pada mulanya abang saya bertugas di pondok yang berada di banglo dengan seorang rakan sekerka. Pada waktu itu abang saya tiba untuk mulakan tugas seawal jam 9 malam. Ketika itu abang saya kata nyamuk sangatlah banyak. Biasalah, di ladang kelapa sawit, tak tahan digigit nyamuk. Yang peliknya rakan sekerjanya selamba membuta. Abang saya sudah tidak tahan, jadi dia pun ambil keputusan untuk memasang ubat nyamuk. Selepas pasang, kurang sikit nyamuk, tapi tak lama, selepas 10 minit datang lagi nyamuk.


Abang saya pun hairan, "Ehh,kenapa nyamuk macam banyak ni, ubat nyamuk dah pasang 2 keping berkepul asap, tak kan tak lari?" Abang saya pun toleh ke kirinya tengok pada ubat nyamuk yang dia pasang tadi di bawah meja kalau-kalau terpadam. Yang hairannya cuma tinggal kaki ubat nyamuk saja. Dia toleh ke kanan pada ubat nyamuk yang kedua, juga sama hanya tinggal kaki sahaja. Abang saya pelik, takkan dah habis dalam masa 10 minit, sedangkan satu boleh bertahan sehingga sepuluh jam. Teman sekerjanya masih lagi tidur.


Abang saya pasang lagi dua keping ubat nyamuk dan letak di tempat yang sama. Selepas sepuluh hingga lima belas minit masih sama juga. Abang saya toleh lagi untuk melihat ubat nyamuk yang dipasang. Tapi kali ini bukan ubat nyamuk habis tetapi kedua-duanya hilang dengan kaki tempat letak ubat nyamuk sekali. Pada mulanya dia rasa tidak sedap hati untuk pasang untuk kali ketiga. Terpaksa bekerja dalam keadaan yang banyak nyamuk. Apabila jam memasuki tepat 12 tengah malam, abang terpaksa bergerak dan bertukar ke pondok yang berada di kawasan kilang. Di situ kerjanya membuat laporan setiap jam ke dalam buku, bermula pada pukul satu pagi harus membuat rondaan, selang seli dengan teman sekerjanya untuk jam seterusnya. Untuk jam pertama, giliran abang saya buat rondaan.

Keadaan kilang memang gelap, cuma bercahayakan lampu tiang elektrik pintu masuk dan cahaya bulan saja pada waktu itu. Di kawasan belakang kilang agak gelap, hanya yang ada cahaya yang samar-samar. Di luar pagar kilang sekelilingnya semua hutan kelapa sawit. Pagar jenis besi yang boleh nampak luar. Sewaktu membuat rondaan di kawasan ini dia macam terperasan sesuatu di hujung matanya berada di luar pagar. Bila dah terperasan, secara automatik abang saya tertoleh, terlihat objek putih panjang di atas pelepah kelapa sawit.


Pada mulanya tidak rasa apa-apa pada awal melihatnya. Makin lama abang saya tenung objek putih tadi, makin meremang apabila dia perasan makin lama dia tenung, makin jelas kelihatan seperti susuk tubuh yang berkafan seperti pocong dan di bahagian mukanya yang gelap. Apa yang lebih menyeramkan keadaan, susuk tubuh itu berdiri di hujung pelepah daun kelapa sawit dalam keadaan berdiri tegak tapi dalam senget 80 darjah mengikut lenturan pelepah sambil ikut bergerak apabila ditiup angin.


Abang saya mengambil keputusan untuk batalkan rondaan ke tempat seterusnya. Terus berjalan dalam keadaan laju ke pondok pengawal. Sewaktu berjalan sempat abang saya toleh ke belakang sekali lagi untuk melihat, tapi susuk tubuh di atas pokok itu hilang dari pandangan. Itu yang membuat abang saya terus berlari. Takut kalau ia muncul di hadapannya pula. Keesokan harinya abang saya membuat helah pada penyelianya dan berkata dia tidak membuat rondaan seterusnya kerana ternampak ada ular duduk betul-betul di bawah tempat rondaan. Kerana "kejadian" itu, pihak kilang menambah tiang lampu di semua kawasan kilang. Hahaha...


Sampai sini saja kisah dari saya, maaf kalau tak seram. Terima kasih ketengahkan di blog Malam Seram. Insya Allah jika ada kesempatan lagi saya akan kongsikan pengalaman ibu atau isteri saya yang mereka pernah ceritakan pada saya. Walaupun kisah ini benar, anggaplah ia sebagai satu hiburan, jangan terikut-ikut ataupun percaya, kerana tiada sesiapa pun yang boleh mengesahkan kejadiannya.


Assalammu'alaikum dari saya Muhd Farhanniza Jamaludin...

348 views1 comment

Recent Posts

See All

1 Comment

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating

Wah this is my horor story...

Like
bottom of page