top of page
Search

Pocong Gergasi (Bahagian Kedua & Terakhir)

Uishh... Kau ambil buku ke cetak buku dik oii...” rungut hati Bonda. Lama sangat ambil buku. Bonda memang tidak mahu dan tidak akan memandang ke rumah itu. Entahlah macam ada sesuatu. Ditambah pula ayah, emak, arwah datuk, nenek serta pakcik seperti merahsiakan sesuatu dari kami adik-beradik.


Dalam pada Bonda merungut-rungut, Bonda jerit sekali lagi dari motor menyuruh adik Bonda cepat sedikit. Kuat juga Bonda menjerit masa itu. Sebabnya nak paksa adik cepat dan nak hilangkan rasa seram. Gila mahu tunggu lama-lama kat situ. Sudahlah kawasan sekililing sunyi. Jiran seperti bersepakat duduk diam-diam dalam rumah.


Selang seminit terdengar pintu dapur ditutup. Walaupun jarak antara Bonda berdiri dengan pintu dapur yang menghala ke belakang sejauh 40 meter, oleh kerana suasana sunyi dan pintu sedikit berkarat, memang dapat dengar dengan jelas. Spontan kepala Bonda menoleh ke bawah bukit. Kelihatan adik Bonda berjalan sambil menjinjit dengan beg plastik yang berisi buku dalam genggaman tangannya. Dalam hati Bonda berkata, ”Lahhh... Kata tadi nak ambil satu buku aje. Ni sampai satu beg plastik...


Entah bagaimana pandangan mata Bonda boleh terpandang bangsal usang yang berada sepuluh langkah di sebelah adik Bonda. Jantung Bonda ketika itu tiba-tiba seakan terhenti. Bonda seperti tidak boleh bernafas langsung. Nak tahu apa yang Bonda nampak? Betul-betul di sebelah adik yang sedang berjalan naik ke atas bukit, Bonda ternampak terbaring sekujur tubuh yang sudah dikafankan atau kata lainnya P.O.C.O.N.G!!!!! Ya Allah saiz POCONG tersebut sangat panjang – 3 kali ganda besarnya dari saiz manusia biasa!


Kalau POCONG ini ditegakkan atau didirikan, Bonda rasa tingginya melebihi ketinggian pokok kekabu yang berada di depan rumah sewa kami. Sangat panjang hinggakan bahagian kaki dan kepala POCONG tersebut terjulur keluar dari bangsal tersebut. Hanya badannya saja yang berada di dalam bangsal yang tidak berdinding itu. Bonda cuba kerdipkan mata dan cuba untuk berpaling ke arah lain tapi langsung tidak boleh! Seolah kelopak mata Bonda ditongkat agar terbuka dan kepala Bonda dipegang supaya terus melihat POCONG GERGASI tersebut!


Yang lebih menakutkan lagi, adik Bonda berjalan betul-betul di hujung kain balutan yakni di bahagian kepala POCONG tersebut!!! Bonda nak buat apa?! Nak pekik suruh adik lari, tapi suara tak boleh keluar. Nak beri isyarat badan, adik langsung tidak memandang ke arah Bonda. Badan Bonda terkaku di situ. Allahu Rabb! Demi Allah inilah pertama kali Bonda melihat makhluk yg dinamakan P.O.C.O.N.G.


Adik Bonda berjalan sambil menjijit beg plastic berisi buku seolah-olah tidak sedar apa yang berada di sebelahnya. Bonda takut, seram, kalut dan bermacam-macam perasaan yang ada pada masa itu. Bonda tidak tahu apa yang patut dibaca ataupun dibuat. Terang lagi bersuluh benda itu berada betul-betul di hadapan Bonda. Dalam hati berkata, "Cepatlah adik... Cepatlah jalan. Janganlah kau pandang tepi... Cepat dik..."


Mata Bonda sudah mula rasa panas. Air mata nak keluar tapi macam tersekat. Yang boleh Bonda buat ketika itu ialah beratib, "Ya Allah jauhkan ia dari kami, peliharalah kami..." Bonda beratib dan terus beratib. Terasa lambat sangat Bonda rasa adik Bonda berjalan walhal bukannya jauh pun. Tiba-tiba benda itu kelihatan seolah-olah hendak bangkit dari pembaringan. Boleh kedengaran bunyi papan seperti digerakkan.


Bonda beratib dengan lebih laju. Memohon pertolongan dari Yang Maha Pelindung. Mohon maaf itu saja yang boleh Bonda buat ketika itu. Bonda langsung tidak boleh berfikir dengan betul. Yang hairannya, adik Bonda langsung tidak perasaan atau nampak sosok POCONG itu atau mendengar bunyi papan digerakkan. Dia jalan bersahaja. Cuma Bonda perasan langkahnya semakin dipercepatkan.


Apabila adik Bonda hampir sampai ke tempat di mana Bonda berdiri, dengan kuasa Yang Maha Besar serta Maha Pengasih, azan Maghrib pun berkumandang. Serentak dengan itu terasa seperti Bonda terlepas dari satu bebanan yang berat. Terus Bonda boleh bernafas dan terasa seperti darah mengalir laju. Bonda tarik nafas dalam-dalam. Langsung laju Bonda berteriak kecil, “Allahu Akbar!!!”.


Adik terkejut melihat keadaan Bonda. Sebab mata Bonda dah terbeliak dan nafas tercungap-cungap. Sebelum adik bertanya, Bonda terus berkata, "Kau jangan toleh... Naik motor ni cepat!!!" Adik Bonda terus henyak punggungnya di tempat duduk belakang. Alhamdulillah tidak ada masalah untuk hidupkan motor dan Bonda terus pecut balik ke rumah arwah datuk. Sempat lagi Bonda toleh ke bangsal tadi. POCONG GERGASI itu sudah ghaib. Lega hati Bonda. Masa itulah baru teringat surah-surah lazim dan ayat pendinding diri. Bonda terus baca sambil menunggang motor.


Sampai di rumah kami dimarahi oleh arwah datuk. Arwah seperti tahu apa yang terjadi kepada kami. Mungkin melihat muka kami pucat. Terus dia menyuruh kami masuk ikut pintu dapur, mandi dan berwuduk. Nasib kami baik sebab ayah tidak ada ketika itu. Kalau tidak habislah kami berdua dipukul. Malam tersebut saya ceritakan kepada adik apa yang telah berlaku petang tadinya. Dia betul-betul terkejut.


Buat pengetahuan semua, rumah tersebut dipanggil RUMAH HANTU sebabnya memang kerap penampakan makhluk-makhluk halus di situ. Tuan rumah asalnya merupakan sepasang suami isteri yang ‘membela’. Sang suami membela tiga ekor makhluk. Begitu juga sama jumlahnya dengan isterinya. POCONG GERGASI yang Bonda nampak adalah kepunyaan sang isteri! Mereka meninggal dunia tanpa sempat mewariskan keenam-enam makhluk belaan mereka kepada sesiapa dan kesemua makhluk tersebut berkeliaran di dalam dan kawasan rumah tersebut!


Kami tinggal bersama ‘mereka’ selama tiga bulan lamanya serta bertahan sewa di rumah tersebut selama setahun setengah. Itulah permulaan pengalaman yang menakutkan yang Bonda alami ketika tinggal di rumah sewa tersebut. Banyak lagi yang kami alami termasuk LANGSUIR BERGAYUT DI ATAS BUMBUNG BILIK AIR.


Sekian... Salam dari Borneo...


Bonda...

356 views1 comment

Recent Posts

See All

1 Comment

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Ahmad Solehuddin
Ahmad Solehuddin
Aug 14, 2022

Takut

Like
bottom of page