top of page
Search

Pocong Gergasi (Bahagian Pertama)

Bismillahirrahmannirrahim...


Assalammualaikum wbt...


Salam sejahtera KC! Terima kasih kerana sudi mengetengahkan kisah saya. Panggil saja saya Bonda. Saya berasal dari Johor dan kini tinggal di Sarawak. Di sini saya ingin berkongsi kisah yang pernah berlaku ketika saya remaja. Untuk pengetahuan KC, hijab Bonda terbuka ketika berusia tiga belas tahun lagi sehinggalah hijab saya ditutup sekitar lapan tahun dahulu. Ada beberapa kejadian kronik berlaku sehingga saya meminta seorang Pak Kiai untuk menutup hijab saya dan anak-anak saya.


Bayangkan dari remaja hingga mempunyai dua orang anak, hidup Bonda ‘meriah‘ dengan kehadiran makhluk-makhluk yang tidak sepatutnya saya nampak. Maaf kata, sampai satu tahap saya rasa bosan sehingga saya siap berkata, “Hah... Nak lalu, lalu ajelah! Tak payah terjengah-jengah...” Sampai begitu sekali. Terus kepada kisah yang Bonda ingin kongsikan bersama KC serta para pembaca blog Malam Seram. Pengalaman ini terjadi ketika Bonda berusia empat belas tahun. Kejadian berlaku di Johor Utara. Begini ceritanya.


Pada awal tahun 90-an, setelah ayah Bonda pencen dari perkhidmatannya sebagai anggota pasukan tentera, kami sekeluarga berpindah ke salah sebuah daerah di Johor Utara. Oleh kerana ketika itu belum banyak lagi kawasan taman perumahan, ayah mengambil keputusan menyewa untuk sementara di sebuah rumah berdekatan dengan rumah arwah datuk. Rumah ini berada di bawah lereng bukit. Di depan rumah ini ada sebatang pokok kekabu yang boleh dikatakan tinggi dan tingginya melebihi tiang elektrik. Kedudukan pokok ini betul-betul berada di lorong masuk ke rumah sewa ini.


Walaupun Bonda dan adik lelaki Bonda yang muda setahun dari Bonda kurang suka dengan rumah itu, tapi apakan daya sebagai anak, kami terpaksa menurutkan saja. Entahlah, tidak tahu kenapa. Apabila kami dua beradik tengok saja rumah itu hati kami berdua rasa kurang selesa. Senang kata, SERAM! Hari pertama kami berpindah segalanya berjalan lancar. Rumah ini rumah kampung di mana rumah atas adalah papan dan bahagian dapur separa papan separa batu.


Bilik airnya terletak di belakang sekali dan yang paling Bonda tidak suka adalah tandasnya berasingan iaitu di kawasan luar rumah (jaraknya 100 meter dari dapur!)! Bayangkan kalau waktu malam tiba-tiba terasa hendak buang air! Alahai, berbaik sangka sajalah. Masa mula-mula pindah, kami adik beradik terasa pelik apabila kawan-kawan sekolah bertanya lokasi rumah kami, reaksi yang diterima kesemuanya bertanyakan keadaan rumah itu atau mereka terasa hairan kenapa kami sekeluarga berpindah di situ.


Pelikkan? Bonda ada bertanyakan kepada emak tetapi emak hanya terdiam saja. Nak tanya ayah rasanya Bonda akan dapat jawapan yang sama. Jadi sudahnya kami adik-beradik hanya mendiamkan diri. Kawasan rumah itu sangat semak dan kotor. Jadi ayah panggil adik-beradiknya untuk bergotong-royong bersihkan dan terangkan kawasan rumah. Pada malamnya kami tidak tidur di sana. Kami semua tidur di rumah arwah datuk. Hanya pada siang saja kami akan berada di sana. Perkara ini berlarutan sehingga seminggu.


Pada satu hari adik lelaki Bonda tertinggal buku sekolahnya di rumah tersebut. Jadi dia ambil keputusan pergi ke rumah tersebut untuk mengambil buku tersebut. Memandangkan pada ketika itu sudah hampir waktu Maghrib, ayah sudah pastinya TIDAK SAMA SEKALI membenarkan kami berada di sana. Untuk pengetahuan semua, ketika itu kami sekeluarga tidak dibenarkan berada di rumah atau kawasan rumah tersebut dari waktu Maghrib hinggalah ke waktu pagi esoknya. Perkara ini berlarutan hingga sebulan lamanya. Nampak tak betapa kroniknya rumah ini. Disewa tapi tidak boleh tinggal di sana buat sementara.


Oleh kerana adik Bonda amat memerlukan buku sekolahnya kerana dia akan menduduki ujian pada hari esoknya, dia nekad untuk ke sana dan mengambilnya. Jadi dia mengajak Bonda untuk ke sana dengan menaiki motorsikal. Ketika kami sampai di sana, langit sudah kelihatan kekuningan. Orang tua sering katakan itu MAMBANG KUNING. Bonda berhentikan motor di atas tepi bukit di bahagian kanan berhadapan dengan rumah sewa tersebut. Pantas adik Bonda turun bersendirian menuju ke pintu dapur yang berada di kawasan bawah bukit. Sebelum dia turun, Bonda berpesan agar dia cepat-cepat ambil buku dan terus keluar sebab:-


1) Waktu hampir senja, ditambah pula dengan langit yang betul-betul kekuningan

2) Bonda sudah mula terasa tidak sedap hati dan meremang, sebab jiran berdekatan sudah mula tutup jendela rumah mereka

3) Tiba-tiba keadaan sekeliling menjadi sunyi sepi seperti kata orang-orang tua, malaikat sedang lalu


Bonda: “Dik... Cepat sikit tau! Ambil buku lepas tu terus keluar. Jangan lupa tutup balik pintu dapur tu. Lampu jangan pulak kau padam. Kang kena marah dengan ayah...


Adik: “Yelah... Tahulah orang...” Adik Bonda hanya mengiakan saja. Ketika Bonda bercakap dengannya, Bonda tidak memandang ke arahnya sebab Bonda sedang tongkatkan motor (enjin tidak dimatikan ). Mata Bonda memandang ke depan dan tidak memandang ke bawah bukit. Sambil itu Bonda jerit lagi pada adik, “CEPAT!“ tanpa langsung tidak memandang ke arahnya. Sebenarnya Bonda takut hendak memandang ke rumah itu. Lima minit telah berlalu tapi adik Bonda belum lagi keluar dari rumah. Langit semakin kuning. Seekor burung pun Bonda tidak nampak terbang di langit. Hati Bonda sudah mula rasa cuak...


(Kisah bersambung...)

368 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
bottom of page