Assalamulaikum KC dan pembaca blog Malam Seram,
Saya Miemie. Di sini saya ingin berkongsi cerita seram saya yang terjadi di Desa Idaman Senai, Johor ketika pulang dari kerja. Sebelum saya mulakan kisah ini, saya ingin berkongsi bahawa saya selalu kerja lembur (OT) untuk mendapatkan gaji lebih, jadi setiap hari saya akan bekerja hingga jam 9 malam. Saya pergi bekerja menaiki motor jadi kuranglah menghadapi masalah kesesakan lalu lintas ketika waktu pulang.
Nak dijadikan cerita, kebetulan hari yang saya terkena kejadian aneh ini pada waktu senja, hujan pula turun secara gerimis. Saya hanya bekerja sampai jam 7 malam sahaja. Seorang kawan di tempat kerja memberitahu saya supaya balik lepas waktu Maghrib, tapi saya jenis degil dan teruskan juga perjalanan pulang. Kawasan kilang saya ini di daerah perdalaman, jadi untuk pulang saya harus melalui kawasan kelapa sawit. Memang kawasan Desa Idaman Senai ada lampu jalan, tapi tak semua yang hidup. Memang perasaan saya untuk melalui kawasan kelapa sawit itu berdebar tiap kali tetapi kali ini debarannya agak lain sedikit kerana betul-betul pada waktu Maghrib, lagi-lagi sedang hujan gerimis, jadi otak kita berfikir ke lain jugalah tak boleh tidak.
Semasa melalui jalan merentasi kawasan kelapa sawit tersebut, tiba-tiba motor saya menjadi berat. Saya masih sambung membawa juga, berat macamanapun saya tetap bergerak sampai di simpang tiga untuk melintas ke seberang jalan. Semasa saya berhenti, saya cuba toleh dan tengok ke belakang. Memang tidak ada apa-apa. Tengok tayar, tak pancit. Saya henjut-henjut motor untuk pastikan tiada apa-apa yang kekurangan atau tidak elok. Untuk sedapkan hati saya tepis perasaan takut dan sambung perjalanan tetapi dalam keadaan beratlah motor saya. Saya malas nak fikir panjang, saya teruskan membawa motor hingga ke rumah saya.
Nasiblah rumah dengan tempat kerja memang tidak jauh, dalam dua puluh minit sudah sampai. Jadi setibanya di rumah, saya basuh kaki sebelum masuk ke dalam rumah sebab saya ada seorang anak kecil. Sewaktu saya sampai di rumah, dahlah perasaan pada awalnya memang dah rasa tidak sedap, badan pula terasa lain macam dan tiba-tiba seram sejuk. Masih hendak sedapkan hati, saya sangkakan mungkin saya hendak terkena demam atau jatuh sakit sebab terkena hujan dalam perjalanan pulang. Maklum juga naik motor sewaktu, angin sekeliling juga memainkan peranan. Suami saya sempat bertanya kenapa dengan saya apabila saya masuk ke dalam rumah, saya hanya katakan tidak ada apa-apa, cuma tidak sedap badan.
Dipendekkan cerita, waktu tidur pun tiba. Suami, saya dan anak saya yang paling kecil tidur satu katil, anak yang pertama dan kedua tidur di bilik lain. Malam itu saya tidak boleh tidur, saya pusing kiri dan kanan, tidak juga dapat lelapkan mata. Saya ambil keputusan untuk bermain permainan di telefon bimbit. Sedang saya bermain, tiba-tiba saya terdengar seperti ada benda melompat-lompat di tangga rumah saya.
Rumah saya jenis teres dua tingkat, jadi bunyi itu semakin lama semakin dekat dan kedengaran seperti naik ke tingkat atas di mana bilik-bilik tidur berada. Memang perasaan dan jantung saya seperti hendak roboh rasanya. Saya terus berhenti bermain dan tarik selimut perlahan-lahan, sambil menjenguk untuk melihat apa yang naik di atas tangga. Pintu bilik saya memang tidak tertutup. Saya cuba kejut suami tetapi dia seakan-akan tidur mati. Jadi saya peluk anak saya.
Semakin lama semakin dekat bunyi lompatan itu dan tiba-tiba senyap. Ya Allah saya ingatkan tidak ada apa-apa, rupanya bunyinya berhenti seketika sebab makhluk pocong berdiri betul-betul di atas tangga! Ia kemudian sambung melompat dan terus melepasi dinding rumah saya! Saya menggigil ketakutan dan pada hari esoknya saya demam. Demam yang saya alami melarat hingga hari yang ketujuh. Suami membawa saya berubat di Kluang Johor. Rupanya saya pulang dari kerja tempohari membonceng makhluk tersebut hingga ke rumah. Sejak itu saya sudah tidak pulang lewat atau kerja lembur lagi. Memang serik!
Terima kasih kerana sudi ketengahkan kisah seram saya ini...
Comments