top of page
Search

Pocong Menyerupai Wajah Kakak!

Assalamualaikum KC,


Saya Hana ingin bercerita tentang kakak saya yang pernah diganggu semasa dia pergi acara perkhemahan bersama kawan sekolahnya di Ulu Yam. Kisahnya bermula semasa kakak saya tertegur sesuatu yang pelik. Orang tua berpesan, jangan tegur bila kita masuk rumah orang. Jadi mulut kakak saya celupar sangat, dia pergi tegur dan bertanya, "Siapa yang kemas khemah aku ni? Tadi masa kita pergi mandi sungai, khemah bersepah. Peliknya..." dengan nada yang agak kuat.


Keesokan harinya, mereka semua pulang ke rumah masing-masing dengan perasaan gembira tanpa menyedari yang kakak saya dah menegur sesuatu yang tidak patut ditegur. Kakak saya sampai di rumah ketika hari sedang senja. Malam hendak tidur, kakak saya mula rasa gelisah. Pusing kanan tak kena, pusing kiri pun tidak kena. Kemudian dia tukar posisi terlentang sambil mukanya menghadap siling dan kipas sambil cuba lelapkan mata.


Tiba-tiba badannya tidak boleh bergerak seperti ada orang yang mengikat. Mulut, kaki, tangan, senang cerita satu badanlah. Memang tidak boleh bergerak dan tidak boleh menjerit, apatah lagi sebut sepatah perkataan pun tidak boleh. Kakak saya pun buka matanya dan tiba-tiba dia ternampak ada benda yang berbungkus seperti pocong dan berwajah sama sepertinya sedang berdiri di sisi katilnya! Benda itu membongkokkan badannya hingga permukaan wajahnya betul-betul berada di depan kakak saya!


Ya Allah, masa itu kakak saya hendak menangis tidak boleh, hendak buat apa-apapun tidak boleh. Kakak saya mula cuba membaca surah-surah lazim seperti Al-Fatihah dan Al-Ikhlas tapi makhluk itu mengejek bacaan kakak saya sambil menggoyangkan badannya kiri ke kanan. Bukan itu saja ia ikut membaca sekali sambil mentertawakan surah-surah yang kakak saya baca itu. Yelah ustaz saya ada berkata, bila kita tidak khusyuk, syaithan memang suka.


Kakak saya cuba pejamkan mata, kosongkan fikiran dan hanya yakin pada Allah. Hanya fikir kekuasan Allah saja. Kakak saya mula membaca surah Ayatul Kursi dengan penuh khusyuk. Sepatah kakak saya baca dalam hati dengan betul. Bila kakak saya membuka mata, makhluk pocong itu mula menjadi merah sangat pada wajahnya. Matanya betul-betul menatap mata kakak saya dengan tajam dan kakak saya pejamkan mata lagi dan sambung membaca lagi Ayat Kursi.


Bila kakak saya membuka semula matanya, makhluk pocong yang menyerupai kakak saya itu pun hilang dan baru kakak saya boleh gerakkan badannya dan menjerit sekuat hati sambil menangis teresak-esak. Pagi itu dia cerita pada mak saya. Mak saya berkata, "Itulah kau, Mak dah cakap mulut tu jaga. Tapi kau degil. Haaa kan dah kena benda tu ikut. Rasakanlah..." Sejak peristiwa itu kakak saya memang fobia dengan makhluk pocong. Walaupun kartun kelakar yang berbentuk seperti pocong pun dia tak boleh tengok sebab dia akan menjadi takut sangat.


Itu saja cerita yang saya boleh kongsikan.

Harap semua terhibur. Selamat malam semua...

279 views1 comment

Recent Posts

See All
bottom of page