Assalamualaikum KC,
Saya Kyra, berasal dari Johor Bahru. Saya ingin menceritakan tentang tempat saya bekerja di kawasan Johor Bahru ini. Saya bekerja di salah sebuah pusat karaoke dan sudah bekerja di situ dah hampir empat tahun. Pada mulanya saya tidak tahu yang tempat kerja saya itu berhantu, sehinggalah pada satu hari seorang pekerja lama mula bercerita tentang tempat saya bekerja ini.
Pusat karaoke yang saya bekerja ini merupakan sebuah kedai yang besarnya setinggi tiga tingkat. Di tingkat ketiga dan paling atas ini yang paling menyeramkan dan tiada sesiapa yang berani naik seorang diri. Namun pada satu hari itu, saya terpaksa bekerja lembur kerana rakan sekerja saya bercuti dan tiada yang menggantikan tempatnya. Atas sebab-sebab kekurangan kakitangan, maka terpaksalah saya bekerja lembur.
Tunang saya yang bekerja satu tempat dengan saya tidak dapat bekerja lembur sama kerana ada hal di luar, jadi saya pun buat kerja macam biasa melayan kerenah pelanggan itu ini, tapi bila dah sampai waktu hendak tutup, saya dan seorang lagi teman sekerja bersama dengan pengurus kemas sambil mengemop lantai dan sebagainya. Tiba-tiba pengurus menyuruh saya kemas tingkat tiga, teman saya lagi seorang kemas tingkat dua dan pengurus sendiri kemas di tingkat bawah sekali.
Semasa saya hendak pergi mengemas dan saya jejak tingkat tiga itu, memang saya dah mula rasa meremang di tengkuk dan tangan saya tetapi saya fikir saya bekerja hendak cari duit lebih, jadi saya mula mengambil kain untuk lap meja dan mula mengemas dari bilik ke bilik. Bila sampai saja bilik di sebelah hujung dan sedang saya mengemas, tiba-tiba saya terdengar seperti ada orang masuk ke dalam tandas perempuan. Saya biarkan kerana sangkakan mungkin ada pelanggan yang belum pulang, jadi saya sambung kemas dan lap meja sambil menyanyi.
Tidak lama kemudian saya terdengar suara perempuan menyanyi mendayu-dayu! Saya dah terpaku dan tergamam, saya terus ambil barang-barang saya hendak keluar apabila mata saya ternampak ada kain putih terbang laju dekat depan bilik saya kemas. Saya pun cepat-cepat keluar bilik menuju ke tangga dan turun ke bawah. Alangkah terkejutnya apabila saya ternampak sosok perempuan berbaju putih dan lidahnya panjang sampai ke lantai merangkak sambil menuju ke arah saya!
Tanpa membuang masa, saya cepat-cepat turun ke bawah, ambil beg saya dan terus balik tanpa memberitahu pengurus saya sehinggalah saya dah sampai di rumah. Nasib baik saya tidak dimarahi pengurus dan dia faham keadaan saya pada malam itu. Itulah kejadian yang sangat menyeramkan bagi saya. Saya masih bekerja di tempat yang sama tapi saya tidak lagi berani untuk naik ke tingkat tiga untuk mengemas seorang diri lagi. Kalau berkemas pun mesti ada teman sekerja lain yang menemani sama.
Terima kasih KC dan selamat malam...
Comentarios