Search

Resort Berhantu Di Pahang

Assalammualaikum KC, Saya Ridaa, peminat setia dari Pahang. Kisah saya ringkas berkenaan gangguan di sebuah resort yang berhantu. Pengalaman saya ini terjadi pada awal tahun 2019. Saya telah menjemput tunang saya dari Selangor atas urusan kerja di Pahang. Tunang saya sampai pada pukul 9 malam. Saya menjemput dia dan terus menghantarnya ke resort, ditemani ibu saya. Status kami masih tunang jadi tak manislah kalau ke hulu ke hilir berduaan, lebih-lebih lagi waktu malam pula. Bila sampai di resort, tunang ke meja penyambut tamu untuk menambil kunci sebab dia dah tempah bilik lebih awal melalui cara dalam talian. Saya dimaklumkan pun selepas dia dah buat tempahan. Resort ini dekat saja dengan rumah saya, sekitar lima minit dah sampai. Bila dah beres, saya bawa kereta masuk ke dalam sedikit. Tunang duduk di depan, mak pula di belakang. Sebelum sampai depan bilik, kami terpaksa melalui sebuah jembatan kecil di resort tu. Seram dan sunyi sangat, tiada pengunjung lain melainkan tunang saya seorang!


Resort ini jenis bilik sebuah seperti chalet kebanyakan. Depan deretan bilik-bilik itu merupakan hutan tebal dan dari kejauhan baru nampak lampu samar-samar yang dipasang tepi pantai tempat nelayan letak sampan dan bot. Bunyi cengkerik memecah kesunyian, memang suasana seperti dalam hutan. Keadaan gelap dan hanya berpandukan beberapa bilik yang dipasang dengan lampu depan. Dalam hati tertanya, boleh ke tunang saya tidur seorang diri pada waktu malam? Sebab saya pun macam tak sedap hati pada malam itu. Selepas melihat bilik semua, saya pun pulang dengan mak. Hati memang rasa tidak sedap dan bulu roma asyik meremang. Bila sampai rumah, ayah tanya tunang sewa hotel mana? Saya pun jawablah nama resort tersebut. Ayah pun terus istighfar dan berkata, “Itukan tempat berhantu!” Dalam hati saya hanya Tuhan saja yang tahu. Dahlah tunang saya jenis yang penakut tapi hendak buat macamana? Doakan saja yang dia dilindungi dari perkara yang tidak diingini. Sementara itu di resort, tunang saya mandi, makan nasi yang saya bungkuskan dan qada' semula waktu solat yang tertinggal. Semasa mendirikan solat, tunang saya terdengar bunyi seperti kuku sedang mengerik almari di belakangnya dan rasa seperti ada orang yang berdiri di belakangnya. Dia cuba untuk tidak endahkan dan usaha menghabiskan solat. Selepas itu tunang saya pun terus tertidur sebab kepenatan. Tidak lama kemudian, tunang saya terjaga sebab terdengar ketukan dalam almari. Bila dia bingkas bangun dan membuka almari itu, tiada pula cicak atau serangga. Kerana dah mula tak sedap hati, dia hidupkan lampu bilik. Walaupun lampu bilik dihidupkan, terdengar di bilik sebelah seperti bunyi suara orang sedang berbisik-bisik. Apabila dijenguk melalui tingkap, tidak nampak sesiapa dan deretan bilik-bilik berikutnya gelap gelita. Dia pun cuba sambung tidur.


Baru nak terlelap, terdengar bunyi lagi dari arah almari dan bilik air. Bunyinya seperti ada orang yang mengetuk. Bila duduk di atas katil dan pandang ke arah almari keadaan senyap saja. Sambung tidur semula dan sekali lagi terdengar dalam almari macam bunyi batu yang dilontar kuat dan melantun. Sedangkan dalam almari memang kosong dan lopong tak berisi apa-apa barang pun. Waktu itu baru pukul 11 malam. Dia terus mesej saya dan saya pun terus bergegas menjemputnya tidur di rumah saya selepas ayah menyuruh saya kerana dia juga bimbang. Semasa saya tiba di kawasan resort tersebut dan hendak sampai ke bilik tunang saya, lepas pada salah satu jembatan kecil di situ meremang habis bulu roma saya. Mak yang berada di sebelah membaca Ayat Kursi. Kereta saya letakkan di depan bilik dan memandang ke arah hutan itu. Sementara tunggu tunang berkemas, saya terperasan seperti ada cahaya merah di kejauhan dan macam ada sosok tubuh yang berdiri. Saya naikkan lampu tinggi untuk pastikan. Tapi tidak ada orang. Cahaya merah itu tiba-tiba menjadi dua seperti menyerupai sepasang mata. Saya turunkan lampu dan fikir mungkin ada benda berkilat sebab itu bercahaya bila terkena lampu kereta saya.


Untuk pastikan lagi saya naikkan sekali lagi lampu. Menjelma dua biji mata itu! Saya tenung lama dan sangkaan saya masih mengatakan ia hanya sesuatu yang berkaca. Namun tiba-tiba mata itu bergerak! Ia seperti mengelak dan hilang dan kemudian muncul semula. Perkara ini berulang-ulang untuk beberapa minit. Saya tidak rasa itu kucing sebab ketinggian pancaran cahaya kereta agak tinggi dan bukan rendah seperti saiz kucing. Mak menegur dan menyuruh saya turunkan lampu. Tunang pun terus masuk ke dalam kereta dan kami bergerak keluar dari situ. Memang seram dan menakutkan keadaan pada malam itu.


Sekian dari saya. Wassalam...

162 views0 comments

Recent Posts

See All

Tugasan Terakhir Di Pembentungan...

Assalamualaikum, Selamat malam saya ucapkan kepada KC dan juga para pembaca blog Malam Seram. Nama saya Nazri dan saya berasal dari Kampar, Perak, Malaysia. Saya ingin berkongsi kisah pengalaman yang

Misteri Bertukar Tempat

Assalammu’alaikum KC, Nama saya Linda. Saya ingin berkongsi satu kejadian misteri di mana ia berlaku pada awal tahun 1980an. Pada waktu itu, umur saya sekitar tujuh atau lapan tahun. Ibu saya pula mer

Akibat Tidak Tutup Tingkap

Salam KC, Saya Jalia dan kejadian yang akan saya ceritakan ini terjadi apabila saya berada di dalam menengah empat. Pada hari itu, saya mengemas bilik, turunkan langsir dan ubah posisi katil, almari d