Assalamualaikum KC,
Nama saya Anas, berasal dari Kuching, Sarawak. Saya penggemar rancangan Malam Seram dan kisah-kisah yang KC sampaikan sememangnya menyeramkan.
Saya ingin berkongsi pengalaman saya yang berlaku pada penghujung tahun 2013 di sebuah rumah agam yang lama di Kuching. Rumah agam tersebut digelar sebagai "Rumah Os". Saya tidak berapa pasti mengapa rumah itu dipanggil sebagai "Rumah Os" tetapi ada cerita mengatakan rumah itu adalah milik kepunyaan orang British pada zaman penjajahan di Sarawak. Rumah itu telah lama ditinggalkan atas sebab yang menyeramkan, ada yang kata isteri pemilik rumah ini mati bunuh diri di dalam kolam renang rumah tersebut dan mayatnya ghaib, wallahu'alam saya pun tidak pasti kesahihannya.
Kembali pada kisah saya, saya dan dua orang teman bernama Hakim dan Firdaus, bercadang untuk membuat satu penerokaan seram, jadi kami memilih rumah tersebut sebagai sasaran kami. Kami begitu teruja untuk membuat explorasi kami pada waktu itu siap dengan segala lampu suluh dan peralatan lain. Kami bertiga pergi ke rumah tersebut menggunakan dua buah motosikal, kami memang rasa amat teruja masa itu.
Setelah sampai kami di "Rumah Os" tersebut, saya dengan seorang rakan saya dah semangat hendak masuk ke dalam, tetapi rakan saya yang lagi seorang, Hakim namanya, tiba-tiba terdiam. Saya pun bertanya padanya, "Kim, kau kenapa ni? Tadi kau juga yang rasa seronok?" Lalu Hakim menjawab, "Aku rasa lain macam lah, aku tak nak masuk lah...", lalu kami yang lain berasa amat jengkel kerana yang memberi cadangan untuk pergi ke sini adalah Hakim sendiri. Firdaus pula bersuara, "Kalau macam tu, aku dengan Nas saja yang masuk, kau jaga depan pagar ni, kalau ada apa-apa kau panggil kita aje..." Hakim hanya mengangguk kepala dengan cepat.
Tanpa melengahkan masa, saya dan Firdaus pun masuk ke dalam perkarangan rumah tersebut. Dah setengah jalan kami menuju ke ruang perkarangan rumah tersebut, Hakim tiba-tiba panggil kami berdua, "Hoiii korang...". Kami pun pusing ke arahnya, kami pun membuat isyarat sambil bertanya, "Apa hal?" Mulut Hakim bergetar-getar menjawab, "Tak ada apa-apa lah..."
Saya dan Firdaus pun teruskan perjalanan. Hampir sampai dekat depan pintu rumah itu, Hakim tiba-tiba terpekik, "Hoiii! Keluar cepat keluar! Jangan masuk!" Kami pun terkejut dan lihat Hakim dah mula hidupkan motosikal, terus dia pecut keluar dari kawasan itu. Saya dan Firdaus tidak membuang masa, terus kami keluar dari kawasan rumah itu dan pergi ke arah di mana Hakim telah beredar dengan menaiki motosikal kami.
Kami bertiga berhenti dan lepak sebentar di depan sebuah kedai serbaneka 24 jam. Saya bertanya pada Hakim, "Kau ni dah kenapa terpekik terlolong tadi?" Hakim dengan muka yang pucat dengan suara bergetar memberitahu, "Ingat tak masa aku mula-mula panggil korang, aku nampak ada perempuan rambut panjang ikut korang dari belakang, aku panggil lah korang. Lepas tu, perempuan tu hilang tiba-tiba, aku ingatkan halusinasi aku. Lepas tu korang jalan balik masuk ke dalam, dia muncul balik..."
Hakim bersambung selepas itu dia nampak perempuan itu memeluk saya dengan Firdaus dari belakang dan dia melihat ke arah Hakim dan senyum ke arahnya! Naik meremang badan saya bila dia cakap macam itu. Bila diingatkan balik kisah itu, itu adalah pengalaman seram saya dan rakan-rakan yang tidak dapat saya atau kami lupakan.
Itulah kisah saya. Terima kasih dan selamat malam...
Comments